BARISAN Nasional (BN)-UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei 2018. Rakyat rata-rata tolak UMNO. Tolak BN. Dan tolak Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. Orang-orang Melayu di 139 kerusi Parlimen (majoriti Melayu) telah menunjukkan pilihan mereka dengan menolak Najib, barisan Kabinet dan kerajaan BN.
Rupa-rupanya seperti yang terkandung dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah, sebahagian daripada wang 1MDB telah digunakan oleh BN-UMNO untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013.
Di Indonesia, Partai Golongan Karya (Golkar) kalah pilihan raya umum (Pemilu) bertahun-tahun lamanya, tidak dapat kembali memerintah negara Indonesia. Parti liberal di Taiwan, kalah pilihan raya umum. Lima tahun duduk sebagai parti pembangkang, kini baru kembali menjadi kerajaan.
Di India, Parti Kongres pimpinan Indira Gandhi, kalah pilihan raya umum, sukar untuk kembali menjadi kerajaan. Perdana Menteri India, Narendra Modi masih di tampuk pemerintahan.
Di United Kingdom, Parti Buruh kalah pilihan raya umum, sampai sekarang sudah dua penggal ataupun hampir 10 tahun, kerajaan dari Parti Konservatif memerintah United Kingdom dan Great Britain.
BN-UMNO amat bernasib baik. Dalam 39 bulan sahaja duduk sebagai pembangkang dan rakan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kini UMNO berkuasa kembali di dalam sebuah kerajaan campuran di Putrajaya bersama PN. Walaupun nisbah 42:72 ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, BN-UMNO menguasai kerajaan dan Kabinet dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob leading the government.
Selama 22 bulan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan 17 bulan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kedua dalam penggal Parlimen ini. Untuk mengelakkan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim naik jadi Perdana Menteri, PN bersetuju menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
JOHOR
Sama seperti di Johor, untuk mengambil kembali kerajaan negeri daripada PKR dan DAP serta Parti Amanah Negara (Amanah), dipilih seorang calon yang dipersetujui oleh semua pihak untuk jadi Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad. Bila sudah kuat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan oleh Hasni setelah mendapat perkenan daripada Sultan Johor bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Bubar DUN tanpa berunding dengan rakan dalam kerajaan negeri Johor, iaitu PN. Bukan untuk minta persetujuan, hanya berunding ataupun paling tidak memaklumkan kepada rakan-rakan dalam kerajaan. Ini tidak berlaku. Akhirnya, perancangan dibuat oleh manusia. Allah SWT jua yang menentukan, Sultan Johor memilih calon lain sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.
Di Kerajaan Persekutuan, BN-UMNO amatlah bernasib baik. Hanya dengan 39 bulan ataupun tiga tahun tiga bulan, kerajaan kembali di tangan pemimpin UMNO.
Pemimpin ini pula, dalam masa enam bulan ini, very low profile dan turun ke bawah membantu rakyat dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir besar yang melanda negara.
Untuk menghadapi PRU15, BN-UMNO perlu berhati-hati sebelum membubarkan Parlimen. Jangan diikutkan hati ataupun nafsu mahu menguasai Kerajaan Persekutuan secara solo, tanpa rakan-rakan lain daripada PN.
Dahulu BN-UMNO berkuasa kerana BN didukung oleh 14 parti politik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kini, BN tinggal empat parti sahaja.
Tanpa sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 21 hingga 23 kerusi Parlimen, belum tentu BN-UMNO boleh membina sebuah kerajaan yang baharu di Putrajaya.
Pastikan betul-betul dahulu, strategi yang tepat, calon-calon yang terbaik, waktu yang terbaik, logistik sudah bersedia dan pastikan siapa kawan dan siapa lawan dalam PRU15 ini sebelum bubarkan Parlimen.
Oleh: Saiful Bahar
No comments:
Post a Comment