Tuesday, May 17, 2022

Macam Mana Anak Muda Nak Percaya Agamawan?

“UKURAN paling tinggi tentang adab seseorang itu adalah dia wajib menaruh perasaan malu terhadap dirinya terlebih dahulu.” – Plato

Baru-baru ini tular video yang dikatakan memaparkan aksi seorang cendekiawan ternama negara ini di sebuah pusat hiburan. Sejujurnya, pada pandangan saya tiada yang sensasi dengan lagak beliau dalam video tersebut. Sosok yang dikatakan sebagai sang pemikir itu dilihat hanyalah sedang bersantai dalam keadaan beliau menikmati persembahan langsung yang dimainkan sekumpulan pemuzik.

Namun, video itu langsung dilihat menggemparkan dan diperkatakan dengan hangat setelah mengambil kira cendekiawan sama adalah juga figura yang menasihati kerajaan, bahkan pihak istana dalam banyak perihal ehwal agama Islam. Lantas yang terhasil adalah desakan dan tuntutan masyarakat awam yang inginkan kesahan video dan penjelasan. Apakah benar agamawan yang disanjung tinggi telah mendedahkan diri kepada perkara yang boleh mendatangkan fitnah?

Setelah hampir dua minggu video disebarkan, masih tiada penjelasan mahupun penafian yang disiarkan. Sedangkan anak muda di laman media sosial semakin heboh bertanya. Sudah tentu apabila isu melibatkan figura ternama, orang ramai tidak senang duduk. Takut-takut fitnah yang tersebar memberi kesan terus kepada nilai sumbangan atau nasihat mereka kepada negara sebelum ini. Ini lebih-lebih lagi jika mereka yang terlibat memainkan peranan besar dalam penggarapan dasar, penggubalan undang-undang atau pembentukan jati diri negara.

Ketelusan yang dituntut oleh masyarakat di negara ini tidak hanya terhad kepada mereka yang mendalangi badan eksekutif atau pentadbiran negara. Sebaliknya, tuntutan ketelusan dan kebertanggungjawaban adalah juga merangkumi mereka yang berada dalam badan legislatif dan kehakiman termasuklah mereka yang menasihati, mengawasi dan mengawal selia badan-badan ini.

Tidak mudah kita lupa, dalam sistem dwiperundangan yang digunapakai di Malaysia, hal ehwal agama Islam bukan hanya melibatkan ibadah tetapi juga berkait dengan hal moraliti. Maka, kemusykilan orang awam adalah berasas. Adakah mereka yang terpalit dalam sebarang skandal moraliti mampu dan berkeupayaan untuk kekal objektif semasa menasihati kerajaan berkaitan isu moraliti? Atau apakah undang-undang mahupun peraturan moraliti yang menjadi alas bicara mereka hanya terpakai ke atas rakyat marhaen sedangkan mereka di kayangan bebas melakukan apa sahaja?

Dalam suasana tegang era pascamodenisme yang melihat bagaimana ramai anak muda merendah-rendahkan peranan agama dalam struktur pentadbiran negara, skandal moraliti seumpama ini tidak boleh dipandang ringan. Perlakuan, sikap dan percakapan mana-mana figura yang sanggup menempah nama dalam bidang keagamaan haruslah selari dan sepadan. Jika wujud waima sekelumit ketidakseimbangan dalam hal adab, moraliti atau akhlak mana-mana agamawan, bobrok sekali institusi yang mendukung figura itu.

GANGGUAN SEKSUAL
Inilah yang sedang banyak berlaku mutakhir ini. Apabila masyarakat disajikan dengan berita figura agamawan yang tidak segan dengan fitrah nama baik agama yang kononnya mereka pertahankan. Langsung kita baca tentang tuduhan kononnya agamawan A melakukan gangguan seksual, atau tohmahan agamawan B merogol wanita yang datang meminta nasihatnya, atau agamawan C dikatakan mengambil dana yayasan yang disantuninya.

Yang luntur bukan sahaja nama baik mereka secara peribadi tetapi juga kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama yang terlibat sama. Ketirisan kepercayaan tetap akan berlaku apabila orang ramai melihat para agamawan ibarat kepiting mengajar anak berjalan betul. Walhal mereka sendiri mempunyai pekung di dada yang dibawa ke hulu ke hilir.

Meskipun skandal melibatkan agamawan tidak hanya terbatas kepada agamawan Muslim tetapi di dalam negara yang mentakrifkan etnik terbesar yang mendominasi pentadbiran negara berdasarkan pegangan agama, sudah tentu tumpuan utama diberikan kepada skandal agamawan Muslim. Adakah institusi agama di Malaysia akan tegas mengambil tindakan untuk menghentikan fitnah tersebar kerana figura-figura yang tidak segan dengan amanah di pundak mereka? Atau adakah kita akan berdiam diri sehingga skandal habis diperkatakan khalayak umum?

Jika di negara maju seperti Australia, skandal agamawan Kristian ditangani secara terbuka termasuklah penyiasatan dan pertuduhan dihadapkan ke atas mereka yang terlibat. Sebagai contoh, Paderi Brian Houston telah disingkirkan daripada gereja Hillsong selepas penyiasatan dalaman mendapati beliau berlaku sumbang terhadap dua ahli jemaah wanita. Sedangkan Paderi Houston adalah antara pengasas gereja Hillsong yang merekodkan hampir 150,000 ahli jemaah di seluruh dunia.

Sebagai pendukung agama yang menekankan kebertanggungjawaban, Muslim di Malaysia harus sebulat suara menentang sebarang ketidaktelusan agamawan yang boleh mendatangkan fitnah kepada agama suci ini. Tidak adil untuk institusi keagamaan menuntut rakyat kembali kepada fitrah agama sedangkan institusi ini masih mengekalkan susuk-susuk yang sudah terpalit dengan skandal. Adalah lebih baik untuk institusi agama Islam bersikap terlalu berhati-hati daripada hilang kredibiliti dan mendatangkan kegusaran ramai.

No comments:

Post a Comment