Thursday, May 19, 2022

Mahkamah Beri Kerajaan, NFC ‘Peluang Akhir’ Selesai Saman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memberi peluang terakhir kepada Putrajaya dan National Feedlot Corporation (NFC) menyelesaikan saman untuk kerajaan mendapatkan semula bayaran pinjaman dan faedah kira-kira RM250 juta daripada syarikat itu.

Hakim Anand Ponnudurai buat sementara waktu menetapkan perbicaraan akan disambung semula 7 Nov ini, selepas membenarkan permohonan peguam NFC, K Kirubakaran untuk menangguhkan perkara itu.

“Saya akan memberi peluang terakhir kepada kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu atau perbicaraan akan disambung semula,” kata hakim tersebut.

Terdahulu, Kirubakaran memohon penangguhan dengan berkata, kedua-dua pihak masih dalam rundingan lanjut untuk mencapai penyelesaian.

“Kedua-dua pihak mengadakan banyak mesyuarat kerana ia melibatkan banyak pihak berkepentingan dan memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai persetujuan,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali mengesahkan kedua-dua pihak berada di peringkat perbincangan lanjut.

“Sebarang penyelesaian juga memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya.

Januari lalu, Anand menangguhkan prosiding untuk kedua-dua pihak menyelesaikan saman tanpa dicabar atau perbicaraan akan diteruskan hari ini.

Awal tahun ini, FMT melaporkan NFC dan beberapa pihak lain menghantar surat kepada Jabatan Peguam Negara memohon suatu penyelesaian.

Saman yang difailkan pada Jun 2019 itu menamakan NFC, pengerusinya Mohamad Salleh Ismail yang juga suami bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil, tiga anaknya dan enam syarikat milik mereka sebagai defendan.

Kerajaan menuntut daripada NFC dan keluarga Salleh sejumlah RM253.62 juta bersama faedah 2% setahun dan faedah mungkir sebanyak RM224.77 juta.

Putrajaya juga mahu mahkamah mengisytiharkan keluarga Salleh perlu membayar balik hutang sebanyak RM118.04 juta yang didakwa diseleweng daripada pinjaman itu.

Katanya, kerajaan juga berhak menuntut hak milik ekuiti ke atas hartanah yang dibeli dengan menggunakan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan kepada NFC. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment