Kerana penangan ini setiap minggu ada saja pelakunya dihadapkan ke mahkamah. Ke bab lain pula, industri ternakan negara dikatakan gagal. Ekonomi Malaysia ketinggalan dari negara tetangga, biarpun lewat lima tahun lepas terkehadapan.
Isu-isu pendidikan masih ‘bernyala’, ada yang sedang dipasang sumbunya. Belum lagi berkisar peluang rumit pekerjaan warga tempatan, lambakan pekerja asing, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kerenah birokrasi lain.
Segala macam ini yang terdedah kurang lima tahun ini memperlihat kuasa politik dan undang-undang yang ada sudah luntur. Memang boleh dibandingkan dengan pepatah bila pohon tumbang, kura-kura pun naik. Dalam persekitaran inilah kita berpolemik hari ini.
Jadi, marilah kita semua balik susur sejarah. Kemudian kaji undang-undang negara kita. Akhirnya rumuskan apa harus dibuat agar masa depan anak cucu kita tidak kacau nanti. Agar mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak tentang haluan dan kedudukan bangsa. Agar kita jangan seperti pantun bidalan:
Udangnya banyak di hilir
Ikan diatur dengan galah
Undang-undang memang mahir
Tapi bicara kita kalah
Dengan situasi politik tanah air yang cacamarba hari ini, soalnya kini bagaimana dapat kita pulihkan identiti bangsa yang sudah kabur?
Hal-hal berlaku depan mata hari ini semuanya soal berkaitan kehilangan budaya dan cara hidup yang dilarikan zaman, yang tolong ditiadakan oleh bangsa sendiri dan yang masih tiada jawapan jelas baginya.
Lebih jauh lagi yang kita orang Melayu bimbangi adalah ketinggian darjat institusi yang dihormati kelak dipersoalkan apabila berkonflik dengan peraturan, nilai antirasuah atau nilai rasuah yang mencelakan.
Jika rule of law telah dicabul mana-mana pihak, akhirnya rakyat akan gunakan kuasa undang-undang itu untuk membuat pagar atau tembok masing-masing. Masa itu sudah terlewat. Bak kata, lantai mana yang jongket, paku mana yang jongkang. Yang jongket pun terus jongket.
Bila Indonesia menamakan ibu negara baharunya Nusantara, mereka sebenarnya sedar dan tahu istilahnya cukup mega dan gah. Ertinya, ‘penguasaan’ gugusan kepulauan Melayu yang terdiri dari semua kepulauan di Indonesia sekarang, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Kalimantan, juga sebahagian Filipina selatan. Populasi 620 juta kawasan geopolitik Nusantara ini mewakili hampir 53 peratus gagasan ASEAN dengan GDP per kapita nominal AS$4,250.
Di Indonesia juga, ahli politik di sana digelar politikus, sebagai persamaan istilah bahasa Inggeris politician. Tapi panggilan politikus ini amat kurang sopan bunyinya. Seolah-olah ahli politik itu semacam tikus yang menyental barang makanan orang – juga bawa imbasan suka lari daripada alam nyata ke sudut-sudut atau rongga yang sukar diteliti orang. Ramaikah ‘sang politikus’ di Malaysia ini?
Bangsa yang mengambil iktibar berpandukan sejarah lampau untuk dijadikan pedoman dan hala tuju, diyakini akan terus maju. Rasuah, kartel, bahkan scammer pun barangkali takut hendak ‘hinggap’.
Oleh: Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment