PETALING JAYA: Pengumuman gabungan baru terdiri daripada ahli Parlimen Umno dan PAS yang dinanti-nantikan semalam tidak berlaku kerana pemimpin Pakatan Harapan merasakan ia permintaan “keterlaluan” Umno, FMT mendapat tahu daripada satu sumber yang mengikuti mesyuarat tertutup antara pemimpin politik sejak semalam.
“Mereka (pemimpin Umno) meminta terlalu banyak, jadi rundingan itu dihentikan sementara. Oleh itu tiada pengumuman,” katanya kepada FMT ketika spekulasi berhubung cubaan PPBM dan pemimpin bersekutu dengan Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan puak dalam Pakatan Harapan yang mahu Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.
Difahamkan, pemimpin Umno antara lain mahu Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan juga Tengku Adnan Tengku Mansor dilantik ke jawatan tertinggi dalam gabungan baru yang dirancang itu.
“Permintaan mereka segera ditolak.”
Sumber itu turut mendakwa Umno mencadangkan bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dimasukkan dalam Kabinet baru.
“Dr Mahathir Mohamad sedar Tok Mat disukai semua kaum dan lebih diplomatik, tetapi tidak boleh melantiknya kerana beliau tidak memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu.”
Sumber itu berkata, kebimbangan terhadap masa depan kerajaan negeri pimpinan PH turut dibincangkan.
“Ia adalah ‘status quo’ untuk semua negeri, walaupun jika gabungan baru ditubuhkan, kecuali untuk Selangor dan Pulau Pinang, yang akan jatuh ke tangan pembangkang jika tiada ahli PH mencukupi menyertai gabungan baru itu.”
Sebarang gabungan baru mungkin melihat penyatuan parti berasaskan Melayu seperti PPBM, Umno dan PAS, dengan beberapa ahli PKR yang bersekutu kepada Azmin.
Sumber itu berkata, perbincangan masih “diteruskan” berhubung “barisan baru” dengan 124 ahli Parlimen sudah menyuarakan sokongan mereka untuk penubuhan gabungan baru.
“Sekurang-kurangnya 10 ahli Parlimen dari Amanah dan DAP kekal neutral.”
Semalam, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menubuhkan gabungan baru terdiri daripada Umno dan PAS.
Langkah itu mungkin menyingkirkan DAP dari Putrajaya dan menghalang rancangan peralihan kuasa yang dijanjikan untuk Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Mahathir.
Hari ini, Anwar ditemani isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin PH, Lim Guan Eng serta Mohamad Sabu, menemui Mahathir di kediamannya di Seri Kembangan.
Ia difahamkan Pejabat Perdana Menteri sudah membatalkan semua mesyuarat rasmi Mahathir.
Perkembangan terbaru itu menyusul sidang media pada tengah malam Jumaat yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi beliau mahu.
Sumber sama memberitahu FMT, “ketegangan mendalam” berlaku ketika mesyuarat lewat malam itu yang sepatutnya menetapkan tarikh pengunduran Mahathir.
“Dalam mesyuarat itu, ada di kalangan mereka yang terlalu mendesak Mahathir. Tetapi, Mahathir berkeras beliau akan melepaskan jawatan selepas mesyuarat APEC,” katanya merujuk Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang akan diadakan di Kuala Lumpur November nanti.
“Anwar kata ‘okey’ tetapi sesetengah pemimpin dari Amanah ‘mendesak’ Mahathir.”
Sumber itu berkata, beberapa pemimpin PH mencadangkan Anwar dilantik sebagai timbalan perdana menteri, atau sekurang-kurangnya menyertai Kabinet.
“Tetapi, tiada menteri yang hadir dalam mesyuarat itu menawarkan kerusi mereka.
“Ya, ada yang tidak sabar dan hanya terus mendesak Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.” - www.freemalaysiatoday.com
Agenda licik menukar kepimpinan negara kerana menyedari Tun pada usia lanjut dan hanya menunggu masa.
ReplyDelete