ICERD, Statut ROM, TH dan isu lain telah lukakan hati orang Islam
Negara akan berdepan laluan sukar untuk beberapa tahun akan datang, selagi mana tiada perubahan drastik atau mandat baharu seperti yang diharapkan rakyat, kata Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar), Ab Jalil Backer.
Beliau berkata, walaupun kita sudah dalam milenia baru, orang Melayu mempunyai beberapa sensitiviti yang masih berakar teguh dalam diri mereka termasuk menolak sikap sombong, bongkak, menindas pihak yang lemah dan menghina lawan secara keterlaluan.
Katanya, orang Melayu makin hilang kepercayaan apabila pelantikan jawatan utama dan strategik seperti menteri kewangan, menteri komunikasi, peguam negara dan ketua hakim negara yang sebelum ini dikuasai oleh muslim diberi kepada DAP dan bukan Islam.
“Orang Islam mula curiga mengenai pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Mereka melihat DAP telah menjadi parti dominan dalam kerajaan.
“Beberapa naratif kerajaan kemudiannya termasuk isu ICERD, Statut ROM, Tabung Haji dan hal-hal berkaitan Islam dan Melayu telah melukakan hati orang Islam,” katanya menulis di kolumnis Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Jalil mendakwa, kemenangan parti pemerintah hari ini tidak didukung oleh masyarakat Bumiputera dan penganut Islam yang merupakan kelompok terbesar rakyat negara ini.
Dakwanya, perkara ini dapat dibuktikan pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu yang menunjukkan, hanya sekitar 25 hingga 30 peratus pengundi Melayu dan muslim menyokong Pakatan Harapan (PH).
“Pada awal pembentukan kerajaan baharu, orang Islam bersikap tunggu dan lihat kerana mereka percaya pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri akan menjaga kepentingan agenda Islam dan Melayu ini.
“Malangnya Dr Mahathir bermula dengan cara yang salah apabila menyerang dan menghentam dua parti terbesar orang Islam iaitu UMNO dan PAS. Tindakan mengaibkan bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Razak secara keterlaluan turut membuatkan majoriti orang Melayu berjauh hati dengan kerajaan.
“Dr Mahathir mungkin berharap dengan kecaman dan penghinaan yang dibuat akan menyebabkan orang Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Namun strategi kasar beliau tidak berjaya,” katanya.
Pada hemat beliau, kerajaan tidak lagi menikmati sokongan 30 peratus Melayu yang mengundi mereka dalam PRU14.
Dakwanya, jumlah itu susut dengan banyak berikutan rentetan pelbagai isu yang menunjukkan kerajaan gagal mempertahankan etos Islam dan Melayu dalam pentadbiran negara ini.
“Etos Islam dan Melayu dalam kerajaan ini penting kerana ia merupakan tonggak ketamadunan Tanah Melayu sejak lebih seribu tahun lalu.
“Ia juga merupakan asas pembentukan negara ini yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia. Namun lebih penting masyarakat Islam dan Melayu mewakili hampir 70 peratus penduduk negara ini. Sukar untuk mana-mana parti berdiri teguh tanpa sokongan kuat kelompok ini,” katanya. - www.ismaweb.net
No comments:
Post a Comment