Thursday, February 27, 2020

Iktiraf UEC? Tak Boleh: Teo Kok Seong

Silibus UEC tidak selari dengan kehendak pendidikan negara
Kerajaan diminta untuk tidak mendengar sebarang tuntutan dari masyarakat Cina yang mahukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang sama sekali tidak pernah menyokong kehadiran UEC dalam sistem pendidikan negara.

“Saya tidak menyokong UEC diiktiraf dan kerajaan tidak boleh sesekali mengiktiraf UEC ini, justeru itu kerajaan jangan sesekali menerima tuntutan masyarakat Cina.

“Dua tuntutan lain juga tidak boleh diterima, di mana masyarakat Cina ingin menjadikan UEC sebagai syarat kemasukan ke IPTA (institusi pendidikan tinggi awam) dan kedua, kemasukan pekerjaan di sektor awam.

“Jadi, itulah dua tuntutan masyarakat Cina yang tidak pernah ada dalam sistem pendidikan kebangsaan kita,” katanya ketika di hubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa telah bersetuju untuk meneruskan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk Sijil Peperiksaan Bersama UEC (PISMP-UEC).

Memetik laporan portal China Press, kelulusan dari Dr Mahathir itu disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Merujuk portal berbahasa Cina itu, Nie Ching dilaporkan berkata, PISMP-UEC adalah satu-satunya cara untuk lepasan sijil berkenaan masuk ke dalam sektor kerajaaan.

Namun katanya, KPM bukan sahaja meneruskan program ijazah perguruan untuk UEC, bahkan juga kepada lepasan persijilan agama, seperti Sijil Menengah Agama dan Sijil Menengah Ugama.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, UEC ditolak kerana tidak menggunakan bahasa Melayu dan silibus kokurikulum kebangsaan.

Katanya, pada tahun 1992, kerajaan pernah menawarkan UEC untuk masuk dalam sistem pendidikan negara, tetapi perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Mereka (pendidikan Cina) tidak mahu kerana mereka ingin terus gunakan bahasa Mandarin serta menjalankan kokurikulum mereka sendiri.

“Jadi tidak mengapa, tetapi mereka merupakan institusi pendidikan swasta.

“Sekarang mereka tuntut supaya UEC diiktiraf untuk masuk ke IPTA dan sektor pekerjaan awam, maknanya mereka nak iktiraf UEC sebagai institusi pendidikan kerajaan. Itu tak boleh,” katanya lagi. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment