Sunday, January 13, 2019

Terlajak Perahu Boleh Diundur

Hak kebebasan untuk bersuara merupakan hak asasi yang diiktiraf dunia. Artikel 19 Pernyataan Umum Tentang Hak-Hak Asasi Manusia atau dalam bahasa Inggerisnya Universal Declaration of Human Rights memperuntukkan bahawa “setiap orang berhak kepada kebebasan pendapat dan ekspresi; hak ini termasuk kebebasan untuk memegang pendapat tanpa gangguan dan untuk mencari, menerima dan menyebarkan maklumat dan idea melalui media dan tanpa mengira sempadan.”

Bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, hak kebebasan bersuara adalah antara salah satu asas sistem tersebut. Ini kerana, bagi sesebuah kerajaan yang dipilih rakyat, pengundi yang berpengetahuan adalah perlu. Oleh itu, kekangan terhadap aliran maklumat dan idea adalah bertentangan dengan konsep negara demokrasi. Rakyat perlu diberi kebebasan untuk bersuara supaya kekhilafan yang dilakukan pemerintah atau masyarakat dapat diperbetulkan.

Di Malaysia, hak kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) – setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara”. Walaubagaimanapun, hak bersuara di Malaysia bukanlah suatu hak mutlak tetapi terbatas kepada peruntukan undang-undang negara. Seperti yang termaktub di perenggan pertama Perkara 10(1), hak kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen menggubal undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara demi kepentingan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.

Antara contoh undang-undang yang digubal oleh Parlimen yang mengekang hak kebebasan bersuara adalah Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Fitnah 1957 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Terdapat pelbagai medium yang boleh digunakan rakyat untuk melaksanakan hak ini. Pada zaman serba moden ini, internet menjadi pilihan utama untuk rakyat menyuarakan pendapat terhadap sesuatu isu. Ini kerana internet adalah medium paling senang dan murah bagi seseorang mengutarakan pandangan kepada pemerintah dan khalayak ramai dengan capaian lebih luas dan tanpa sempadan.

Pandangan yang disalurkan melalui internet sangat berpengaruh sehinggakan pemerintah sesebuah negara boleh ditumbangkan. Sebagai contoh kejadian yang berlaku di negara-negara Arab yang dipanggil sebagai ‘Arab Spring’ telah menyebabkan beberapa kerajaan di sana jatuh disebabkan oleh maklumat yang disalurkan melalui internet. Malahan, internet telah memberi impak yang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14)lalu yang mana tampuk pemerintahan Kerajaan Malaysia berjaya diubah buat pertama kali dalam sejarah negara.

Malangnya, terdapat dalam kalangan rakyat negara ini menyalahgunakan hak bersuara dengan mengeluarkan komen-komen berunsur jelik, fitnah dan turut menghasut pembaca-pembaca lain sehingga memberi kesan buruk kepada negara.

Pada 6 Januari lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Susulan kenyataan tersebut, beberapa individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan komen-komen yang merendahkan martabat institusi diraja dan menyebabkan kemarahan rakyat Malaysia. Akibat daripada komen berkenaan, tiga individu ditahan oleh polis untuk membantu siasatan.

Buat masa kini, kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dibawah Akta Hasutan 1948. Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 memberi definisi yang luas terhadap definisi ‘kecenderungan menghasut’. Ini termasuk kenyataan-kenyataan yang mempersoalkan kedudukan raja-raja melayu dan merendah-rendahkan martabat mereka.

Sekiranya individu didapati bersalah dibawah akta tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan seterusnya, dipenjara tidak melebihi lima tahun.

Namun, terdapat ura-ura selepas PRU Ke-14 bahawa Kerajaan baharu sedang dalam kajian untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Walaubagaimanapun, kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut.

Pada hemat penulis, sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, tidak ada akta sedia ada yang standing dengan Akta Hasutan 1948 yang boleh mempertahankan isu-isu sensitif daripada dipersoalkan terutamanya kedudukan institusi Raja-raja.

Sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, ia membuka peluang kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab untuk mempersoalkan isu-isu sensitif termasuk kedudukan raja-raja. Walaubagaimanapun terdapat pengkritik-pengkritik yang menyatakan Akta Hasutan 1948 adalah bertentangan dengan hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, mereka lupa hak bersuara tersebut bukanlah hak yang mutlak kerana Perkara 10(1)(a) perlu dibaca bersama-sama peruntukan-peruntukan lain di dalam Perlembagaan yang membenarkan sekatan-sekatan dilakukan terhadap hak tersebut. Seperti yang dinyatakan penulis tadi, Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengubal undang-undang untuk menyekat hak kebebasan bersuara.

Selain itu, akta seperti Akta Hasutan adalah perlu bagi memberi kesan antara lain kepada Perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang seseorang daripada menganjurkan penghapusan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, atau kedudukan raja-raja Melayu. Sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, tidak ada peruntukan yang dapat memberi kesan kepada Perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan.

Akhir kalam, penulis berharap agar pengguna laman sosial dapat menggunakan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan provokatif yang boleh merosakkan keharmonian negara ini.

Ingatlah bahawa kata-kata yang diterbitkan boleh membawa kesan yang besar kepada negara. Terlajak perahu boleh diundur.

Oleh : M. Reza Hassan

1 comment:

  1. numpang share ya min ^^
    bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
    daripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
    F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
    ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^

    ReplyDelete