Sudah sampai masanya bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam proses perundangan dan perbicaraan tanpa mengira hierarki mahkamah itu sendiri, tegas Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Beliau berkata, penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dihalang oleh sikap hakim dan peguam, yang mana sebahagian daripada mereka tidak dapat menerima hakikat kedudukan bahasa Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Menulis dalam Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal berkata, ia jelas dilihat apabila prosiding mahkamah masih berterusan menggunakan bahasa Inggeris.
“Kenapakah perkara sebegini masih berlaku? Seolah-olah terdapat penolakan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah. Tidak lain tidak bukan ia disebabkan oleh sikap para hakim dan peguam itu sendiri.
“Ramai yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan tepat bagi mentafsirkan sesuatu. Oleh yang demikian ia tidak sesuai dijadikan bahasa pengantara di mahkamah.
“Hujahan ini tidak dapat diterima kerana jika kita tidak memberi ruang dan peluang kepada bahasa Melayu, bagaimanakah laras bahasa Melayu itu akan berkembang? Bahasa Inggeris telah jauh ke hadapan kerana penggunaannya yang meluas,” katanya.
Dalam pada itu, Zainul Rijal tidak menafikan bahawa ada juga hakim di mahkamah atasan yang bertegas mengarahkan perbicaraan dijalankan dalam bahasa Melayu.
Namun, ada juga dalam kalangan peguam dan hakim Melayu yang meminggirkan bahasa ibunda mereka sendiri dan mengagungkan bahasa asing atas pelbagai alasan, katanya.
“Realitinya, buat masa ini di mahkamah-mahkamah atasan, apabila sesuatu prosiding dilakukan dalam bahasa Melayu, seolah-olah peguam tersebut adalah peguam kelas kedua dan tidak dapat mengendalikan perbincangan dengan baik. Persepsi inilah yang harus dikikis daripada kalangan peguam dan hakim.
“Malah, ada juga yang mengatakan oleh kerana mereka belajar undang-undang dalam bahasa Inggeris, agak sukar bagi mereka mengendalikan kes dalam bahasa Melayu. Perkara ini sebenarnya adalah alasan terlalu remeh. Kita akan dapati bahawa ada universiti tempatan yang mengajar undang-undang dalam bahasa selain bahasa Melayu,” katanya.
Lebih dikesali, Zainul Rijal berkata, ada juga peguam yang mengandaikan sekiranya mereka menggunakan bahasa Melayu dalam perbicaraan, akan memprejudiskan hak-hak anak guam mereka daripada mencapai keadilan.
“Sebenarnya ini adalah manifestasi dan pengakuan mereka sendiri yang enggan menggunakan bahasa Melayu.
“Sebagai seorang warganegara Malaysia, sudah pasti tanggungjawab kita memartabatkan bahasa kebangsaan. Pihak kerajaan pernah menukar nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dengan harapan masyarakat bukan Melayu akan lebih terbuka hati mereka menggunakan bahasa tersebut, tetapi tindakan itu ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja,” katanya. - https://www.ismaweb.net

No comments:
Post a Comment