Saturday, January 12, 2019

Haramkan Bukan Islam Perguna Al-Quran

KEHALALAN bab makan dan minum bagi orang Islam cukup sensitif.

Pendek kata, orang yang tidak solat pun mahu cari kedai makan yang halal. Apatah lagi yang mukmin. Malangnya, masih ada premis makanan yang menipu. Pengusaha bukan Islam ini mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk mengabui mata umat Islam. Ia juga dijadikan taktik mengumpan pelanggan Islam datang makan di kedai mereka.

Memang mengejutkan apabila pemeriksaan sepasukan anggota Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor ke atas restoran di Seksyen 25, Shah Alam, mendapati semua pekerja termasuk tukang masaknya, bukan Islam. Hanya dua pekerja beragama Islam.

Difahamkan restoran ‘India Muslim’ itu telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan dikatakan ada ayat al-Quran yang digantung di belakang kaunter restoran terbabit dan di sebelahnya tergantung bungkusan kuning disyaki peralatan pemujaan penganut Hindu.

Memanglah status halal res­toran India Muslim tidak bergantung kepada siapa pe­miliknya sama ada seorang penganut agama Islam atau pun tidak, sebaliknya berpandukan kepada sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun perbuatan tuan punya premis yang mengelirukan masyarakat Islam dengan menggantung ayat al-Quran di dalam restoran dan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Tindakan tegas perlu diambil ke atas pemilik premis terlibat supaya menjadi pengajaran dan tidak diulangi perbuatan yang sama. Ringkas cerita, haramkan premis dimiliki bukan Islam menggantung atau mempamer ayat al-Quran. Mereka yang ingkar, kenakan hukuman yang berat. Jika tidak, insiden ini akan berulang umpama tiada kesudahan.

Sebenarnya, undang-undang sudah ada. Akta Perihal Dagangan 2011 dan dua perintah di bawahnya iaitu Perintah perihal Dagangan (takrif Halal) 2011 dan juga Perintah perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) bagi menggantikan akta lama yang antaranya bertujuan menangani isu halal.

Dalam Islam, menjaga halal bukan hanya tidak makan babi tetapi juga ayam atau lembu yang tidak disembelih atau yang disembelih selain menyebut nama Allah. Konsep halal meliputi rantaian daripada awal sumber hinggalah ke meja makan atau from farm to fork. Sebab itu, isu halal ini hanya difahami oleh orang Islam. Syarikat atau premis makanan yang tidak ada pekerja Islam dibimbangi berlaku perkara syubhat dalam proses mencari atau menyediakan makanan kepada pelanggan Muslim.

Dalam menjaga makan dan minum, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Umat Islam mengambil berat soal halal dan haram makanan kerana ia menjadi darah daging kita. Terdapat banyak kesan buruk yang disebut oleh para ulama akibat pengambilan makanan dan minuman yang haram, antaranya:

*Hilang keberkatan dalam hidup. Kesan daripada pengambilan makanan dan minuman yang haram akan menghilangkan keberkatan dalam hidup dan juga harta benda, sekalipun perolehannya nampak baik, namun tidak kekal lama. Hidup pula tidak bahagia dan jiwa sentiasa gelisah tidak tenang, malah hidup penuh dengan pelbagai masalah.

*Doanya tidak makbul. Kesan pengambilan makanan dan minuman yang haram, doanya tidak akan diterima oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Seseorang lelaki melakukan perjalanan yang jauh, rambutnya kusut-masai, mukanya berdebu, menadah kedua belah tangannya ke langit dan berdoa : Ya Rabbi! Ya Rabbi! Pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diterima doanya itu? (Riwayat Muslim)

*Dagingnya akan dibakar dalam neraka. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tiap-tiap daging yang tumbuh dari benda yang haram, maka neraka lebih utama untuknya. (Riwayat Tirmidzi)

*Hati menjadi keras. Imam Ahmad ditanya bagaimana cara melembutkan hati. Beliau menjawab, dengan memakan makanan yang halal. Perlu diingatkan bahawa hati adalah anggota dalaman yang sangat penting dalam tubuh manusia, baik atau rosaknya anggota zahir adalah berpunca dari hati. Sebab itu Rasulullah SAW sangat memberi penekanan terhadap hati, sebagaimana sabdanya: Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan terdapat seketul daging yang apabila baik, nescaya baiklah seluruh tubuh badan dan apabila ia rosak, nescaya rosaklah seluruh tubuh badan, ketahuilah, itulah hati. (Riwayat Syaikan)

1 comment:

  1. Senang saja - Lambang,logo Islam jangan bagi bukan Islam pakai...Ini lambang Masjid pun KPDNKK bagi pada kilang bihun kafir...Macamana ka...? Tak Taham kita...Lain kali suruh diorang pakai lambang tokong ka...colok kaaa...Tak pa la ...Hai...Heran..heran...heran...Ka dah kembong poket tu...?

    ReplyDelete