Tuesday, January 8, 2019

Macam Ada Yang Tak Kena....!

Inkues Timbul Tanda Tanya
ALLAHYARHAM Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah setelah diserang oleh beberapa individu yang belum dikenal pasti dalam satu rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Setelah bertarung nyawa selama 21 hari, Muhammad Adib akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember lalu. Ayah Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid berkata, “Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela.”

Timbalan Yang di Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitiskan air mata ketika bertitah dan mahukan pihak yang bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

Pada 26 Disember lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye menyatakan laporan akhir bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dijangka siap dalam tempoh sebulan (iaitu di penghujung Januari iini).

Pada hari berikutnya, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, Peguam Negara (selaku Pendakwa Raya) akan mengarahkan majistret (di bawah Seksyen 339 Kanun Acara Jenayah) untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Terkejut dengan pengumuman ini, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyatakan, walaupun keputusan mengadakan inkues dalam bidang kuasa Peguam Negara, tindakan terbarunya ini menimbulkan spekulasi seolah-olah Peguam Negara ‘masih keliru’ tentang punca kematian Muhammad Adib, pada hal Polis Diraja Malaysia telah pun membuka kertas siasatan dan mengklasifikasi kes tersebut sebagai kes bunuh.

Mengikut Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, inkues bagi kes itu adalah tidak perlu dan hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.

Curiga
Mengikut Yahaya Abdul Rahman (seorang bekas majistret dan kini pengamal undang-undang), inkues biasanya diadakan apabila berlaku kematian mengejut atau kematian berlaku dalam keadaan mencurigakan, seperti dalam kes kematian Teo Beng Hock (TBH).

Dalam kes Muhammad Adib, di mana mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah yang dialaminya, jika individu yang menyerangnya dapat dikenal pasti, maka individu berkenaan boleh terus dikenakan pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tidak perlu lagi diadakan inkues, kecuali tujuan utama ia diadakan adalah bagi menunjukkan kepada seluruh dunia tentang ketelusan tindakan kita.

Tindakan Muhyiddin berhubung inkues ini menimbulkan tanda tanya disebabkan beliau sendiri telah menyatakan di Dewan Rakyat pada 29 November lalu bahawa satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat rusuhan yang berlaku di kuil berkenaan. Siasatan itu diberi nama Op Seafield.

Beliau turut menyatakan pada hari itu bahawa disebabkan insiden itu ada unsur-unsur jenayah, siasatan akan segera dijalankan bagi mengenal pasti pesalah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Bertolak dari ucapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada hari itu, secara logiknya siasatan awal pada masa itu (di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan) sepatutnya diteruskan menjadi satu siasatan di bawah Seksyen 302 (kesalahan membunuh), bukan dihentikan untuk memberi laluan kepada inkues.

Undang-undang inkues pernah dihuraikan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Teoh Meng Kee lawan Pendakwa Raya [2014] 5 MLJ 741, iaitu melibatkan inkues TBH.

Inkues TBH di hadapan majistret bermula pada 27 Julai 2009 dan berakhir pada 14 November 2009. Seramai 37 saksi memberi keterangan, termasuk 12 pakar. Akhirnya pada 5 Januari 2011, Majistret mengumumkan keputusan terbuka (open verdict). Terkilan dengan keputusan itu, perayu (abang TBH) memohon semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi.

Pemohon mahu Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan majistret itu dan memutuskan berlaku satu pembunuhan yang menyalahi undang-undang (unlawful killing). Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan itu dan mengekalkan keputusan majistret.

Apabila kes ini dirayu ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah putuskan bahawa keputusan majistret dan Mahkamah Tinggi itu adalah salah, dan keputusan yang betul dalam kes TBH adalah bahawa kematiannya disebabkan oleh … an unlawful act or acts of persons unknown, inclusive of MACC officers who were involved in the arrest and investigation of the deceased.

Dua perkara boleh kita pelajari daripada kes TBH. Pertama, majistret (yang mengendalikan inkues) boleh melakukan kesilapan dan kesilapan itu perlu dibetulkan melalui semakan kehakiman, satu prosedur yang memakan masa.

Kedua, walaupun kesilapan majistret dan Mahkamah Tinggi akhirnya dapat diperbetulkan, ia tidak memberi makna hakiki kepada keluarga mangsa kerana di penghujung inkues dan semakan kehakiman itu, status quo awal masih kekal – iaitu pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian TBH masih lagi belum dapat dibawa ke pengadilan.

Di bawah Arahan Amalan No. 1 Tahun 2007, Garis Panduan Inkues, dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya pada 5 Januari 2007, ada dijelaskan bahawa satu inkues bukan satu perbicaraan, tidak ada orang yang dituduh atau membela diri, ia hanya satu siasatan mengenai sebab kematian (cause of death), dan tidak ada sabitan atau hukuman di penghujungnya.

Garis panduan itu selanjutnya menyatakan bahawa apabila inkues itu selesai, majistret hendaklah menyerahkan dapatannya (findings) kepada Pendakwa Raya.

Sewaktu mengumumkan keputusannya, majistret tidak boleh menamakan sesiapa pun yang bersalah secara jenayah atau sivil, sebaliknya mengumumkan salah satu dari tiga perkara berikut, open verdict (keputusan terbuka, maksudnya tak tahu apa punca kematian), verdict of misadventure (kematian disebabkan kemalangan), atau death by person or persons unknown (kematian disebabkan oleh orang tertentu).

Inilah nanti yang bapa Muhammad Adib akan dimaklumkan di penghujung inkues. Ikut jalan ini, matlamat mendapatkan keadilan bagi Muhammad Adib masih jauh lagi.

2 comments:

  1. Undang2 pun kadang tak telus...

    ReplyDelete
  2. numpang share ya min ^^
    bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
    daripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
    F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
    ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^

    ReplyDelete