Thursday, January 3, 2019

Pilihan Lain Sebelum Jual Aset Negara?

TAHUN 2019 akan menjadi tahun yang lebih mencabar. Ini adalah kerana ketidaktentuan ekonomi dan ketidaktentuan pendapatan kerajaan akibat harga minyak yang tidak menentu.

Terdapat ramalan yang mengatakan harga minyak akan kembali naik ke paras AS$70 setong pada 2019. Jika ini benar, Alhamdulillah.

Namun demikian, saya tidak berapa percaya kepada ramalan-ramalan sebegini.

Ini kerana penganalisa-penganalisa yang sama juga telah membuat ramalan sebelum ini bahawa harga minyak pada akhir tahun lepas akan meningkat melebihi paras AS$80, namun apa yang berlaku ialah harga minyak menjunam sehingga paras AS$50.

Saya pernah bekerja di Unit Perancang Ekonomi dalam sektor tenaga. Dan saya juga pernah bekerja menganalisa sektor tenaga di New York beberapa tahun lalu.

Dalam zaman sekarang, harga minyak dunia kini tidak lagi hanya ditentukan oleh kadar pengeluaran minyak seperti dalam buku teks ekonomi, tetapi ia juga banyak ditentukan oleh pasaran kewangan.

Sebab itu apabila OPEC memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran minyak untuk meningkatkan harga minyak, harga minyak tidak banyak berubah

Sebab itu juga apabila Banl Pusat Amerika Syarikat (AS), Federal Reserve Bank mengambil keputusan untuk menaikkan kadar faedah, harga minyak turun menjunam walaupun pengeluaran minyak telah diturunkan.

Sukar meramal
Jika kadar faedah AS naik lagi tahun depan, maka besar kemungkinan harga minyak dunia akan terus rendah kerana perkembangan ekonomi yang dijangka perlahan dan penjualan aset-aset kewangan berasaskan minyak.

Siapa yang mengikuti dan memahami realiti makroekonomi pasaran ini tahu yang adalah sukar untuk meramal apa yang Bank Pusat AS akan buat. Kesimpulannya, tiada siapa yang tahu sama ada harga minyak akan naik atau turun tahun ini.

Jika harga minyak dunia naik, maka kerajaan kita perlu menaikkan harga minyak di stesen minyak. Akibatnya inflasi akan meningkat dan kos sara hidup rakyat juga meningkat. Jika harga minyak dunia turun, kerajaan akan hilang pendapatan untuk berbelanja.

Dalam keadaan begini, kerajaan berada dalam keadaan kalah-kalah, kedua-dua senario tidak menyebelahi kita malah ekonomi negara kita bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh kuasa luar seperti OPEC, negara-negara pengeluar minyak besar yang lain dan Bank Pusat AS.

Kerajaan Barisan Nasinal (BN) dahulu sudah tahu lama perkara ini. Sebab itu kita perkenalkan GST untuk menstabilkan pendapatan kerajaan supaya kita tidak bergantung atau memperjudikan ekonomi negara kepada turun naik harga minyak dunia atau keputusan OPEC dan Bank Pusat AS yang umpama menyerahkan untung nasib rakyat Malaysia ke tangan kuasa luar.

Saya pasti ahli-ahli pakar dalam Council of Eminent Persons tahu akan hal ini tapi mengapa mereka kini berdiam diri?

SST ada impak?
Setelah GST dihapuskan dan digantikan dengan SST, kita berbalik kepada masalah lama yang sebenarnya telah kita selesaikan.

Keadaan ekonomi merudum kini bukanlah sebab legasi kerajaan lama, namun adalah kerana hasil tangan kerajaan baru ini sendiri.

Apabila mereka membuat keputusan untuk menghapuskan GST dan memperkenal SST, harga barang tetap naik namun hasil kerajaan hilang berbillion ringgit akibat ketirisan pendapatan kerajaan oleh peniaga yang lari dari membayar cukai.

Akibatnya kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak meningkat. Apabila harga minyak dunia turun, hasil kerajaan berkurangan dan rakyat tidak dapat bantuan.

Ekonomi jadi huru hara dan tidak menentu. Ini semua bukan salah hutang kerajaan dahulu atau 1MDB. Juga, dalam keadaan ini, sekiranya ekonomi semakin teruk tahun ini, kerajaan tidak akan ada duit untuk membuat pakej rangsangan ekonomi. Ini akan memburukkan lagi keadaan.

Potong, Pinjam, Jual
Sebelum ini saya pernah berkata kerajaan kini ada tiga pilihan untuk menangani masalah kewangan negara:

Pertama, memotong bantuan dan perbelanjaan kepada rakyat;

Kedua, meminjam dan menambah hutang negara untuk terus berbelanja;

Dan ketiga, menjual aset negara yang ada untuk menampung perbelanjaan. Ketiga-tiga pilihan di atas adalah pilihan yang tidak baik.

Menjual aset pada masa sekarang adalah pilihan yang paling teruk daripada ketiga-tiga pilihan tersebut.

Kita sepatutnya menjual aset pada waktu harga tinggi bukan waktu harga rendah, terutama apabila aset-aset ini adalah harta syarikat-syarikat awam yang telah kita bina selama puluhan tahun.

Aset yang selama ini milik rakyat kini dijual ke tangan persendirian dengan harga murah. Ini yang sedang berlaku kepada Tabung Haji.

Aset-aset kerajaan atau syarikat berkenaan kerajaan ini adalah umpama harta pusaka rakyat. Apabila kita menghadapi masalah kewangan semasa, kita tidak terus jual harta pusaka kita, kita perlu cari opsyen lain dahulu.

Menjual harta pusaka adalah pilihan terakhir. Sebabnya apabila kita jual harta ini kepada milikan persendirian adalah amat sukar untuk kita dapatkannya kembali.

Sebenarnya ada pilihan yang lebih baik sebelum kita menjual harta pusaka negara: iaitu mengembalikan GST supaya pendapatan kerajaan tidak bergantung kepada harga minyak dan faktor kuasa luar, dan untuk mengekang ketirisan cukai bagi menstabilkan pendapatan kerajaan.

Kembalikan GST
Selama setengah tahun ini kita sudah nampak bahawa SST menaikkan harga barang dan lebih memudaratkan daripada GST kerana ketirisan hasil cukai SST hanya menguntungkan tauke-tauke perniagaan yang lari cukai tetapi merugikan negara dan rakyat keseluruhan.

Oleh itu eloklah jika GST dikembalikan supaya mengurangkan mudarat atau menjadikan keadaan lebih baik daripada sekarang.

Saya faham jika Kerajaan PH membuat u-turn dan mengembalikan GST, mereka terpaksa menelan ego mereka. Saya juga tahu jika saya cadangkan ini mereka tidak akan buat kerana sebab yang sama.

Namun rakyat adalah lebih penting dari ego mereka. Ini bukan lagi soal politik, ini soal menjaga kebajikan rakyat dan negara. Seperkara lagi, semasa kita sedang memikirkan tentang keadaan ekonomi yang malap dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ke mana perginya Menteri Ekonomi kita?

Saya dengar beliau pergi bercuti ke luar negeri lagi. Rakyat tengah susah. Baliklah buat kerja. Ini bukan masa untuk bercuti.

Oleh : Isham Jalil

1 comment:

  1. numpang share ya min ^^
    bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
    daripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
    F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
    ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^


    ReplyDelete