- WS Rendra.
Pengumuman kerajaan melancarkan mySalam, yang merupakan skim insurans bagi golongan B40, adalah langkah yang amat berbahaya untuk jangka masa panjang.
Walaupun kelihatan seperti kaedah untuk melindungi hak penjagaan kesihatan golongan B40, namun sebetulnya mengimport masuk skim insurans ke dalam sistem nasional hanya akan menghakis akses kesihatan yang sekarang ini sudah sedia ada terbuka untuk semua.
Isyarat yang disampaikan adalah bahawa hanya golongan yang mempunyai insurans memiliki akses kepada dan perlindungan penuh penjagaan kesihatan.
Dikhuatiri pada penghujungnya, sistem yang menjadikan insurans sebagai bahan sandaran akan memakan tuan apabila akan ada mereka yang memerlukan penjagaan kesihatan namun dinafikan hak ketiadaan insurans atau takat perlindungan tidak mencukupi.
Lebih-lebih lagi bagi sistem insurans yang tidak jelas kaedah pencarumannya. Apa yang merisaukan adalah saat apabila sistem penjagaan kesihatan dipasakkan kepada wang dan kos.
Rakyat yang memerlukan bantuan akan mula dibeza-bezakan di antara mereka yang disubsidikan dan mereka yang mempunyai lindungan penuh.
Inilah yang sudahpun terjadi dalam negara-negara yang meletakkan caruman insurans sebagai kaedah menyelenggara kos sistem penjagaan kesihatan mereka.
Sebagai contoh di Amerika Syarikat, rakyat tanpa insurans tidak punya pilihan dalam hal penjagaan kesihatan jika mereka tiada wang untuk membiayai keperluan kesihatan; walaupun untuk mendapatkan pembedahan yang mungkin menyelamatkan nyawa.
Lebih buruk lagi, sistem yang dipaksikan kepada caruman insurans turut menyaksikan bagaimana hospital menaikkan kadar yuran perkhidmatan dan ubat-ubatan berpuluh kali ganda. Malah sejak tahun lalu, kadar inflasi dalam kos perubatan di AS melangkaui kadar inflasi keseluruhan ekonomi negara itu.
Penyudahnya dalam tahun 2010, kerajaan AS terpaksa membelanjakan lebih AS$40 bilion untuk jumlah bil perubatan rakyat tanpa insurans dek kerana kos ubatan yang dinaikkan mendadak oleh hospital dan farmasi bagi mengaut keuntungan bersama wang syarikat insurans.
Apakah terlalu bobrok sistem penjagaan kesihatan di Malaysia sehingga kita begitu ingin berhakim kepada beruk? Sedangkan kita sudah dididik untuk menjadikan yang buruk itu sempadan dan hanya mengambil yang baik sebagai teladan.
Sudah nyata dan ketara, sistem penjagaan kesihatan yang dikaitkan dengan insurans seperti di AS adalah sistem yang rosak.
Bagaimana nanti nasibnya untuk rakyat yang tidak punya perlindungan insurans? Adakah 3.9 juta rakyat dalam golongan M40 yang tidak terlindung akan terpinggir untuk mengemis penjagaan kesihatan di hospital awam yang kini dilihat terlalu paria untuk dikunjungi rakyat Malaysia mempunyai insurans?
Seharusnya dengan bajet subsidi yang diambil untuk mewujudkan mySalam, jumlah yang sama sudah memadai untuk menaikkan taraf dan menambahkan bekalan ubatan di hospital-hospital awam.
Mengapa perlu wujud ketirisan dengan mengimport masuk sistem baru sedangkan sistem sedia ada sudah bergerak lincir? Adakah kerana wujud syarikat insurans yang akan mengaut keuntungan besar sambil merompak rakyat Malaysia tanpa disedari?
Kerajaan yang telah dibentuk dengan sepakat pilihan rakyat sepatutnya mengutamakan kesejahteraan rakyat dan bukannya memperkenalkan sistem yang sudah terbukti berlendir kotor, berselut tamak-haloba di negara luar.
Jangan nanti dek kita menyangkakan bedena timbul, terpeluk bangkai babi bengkak hanyut.
Oleh : Fatihah Jamhari