Sunday, December 23, 2018

Rasionalkah pilihan raya PBT?

NAMPAKNYA DAP secara tegas dan konsisten mahu mengembalikan semula pilihan raya pihak
berkuasa tempatan (PBT). Walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendirian bahawa ia tidak akan diadakan kerana berkemungkinan boleh mewujudkan konflik berasaskan perkauman, parti itu tetap menafikannya.

Sebagai respons kepada ketegasan Perdana Menteri itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa Dr. Mahathir tidak dapat maklumat tepat apabila mendakwa pilihan raya PBT boleh mengundang masalah antara kaum.

Ini kerana pemimpin veteran itu yang dikatakan pejuang utama isu berkenaan menegaskan, masalah polarisasi kaum agak mustahil akan terjadi kerana ia telah diperbetulkan berdasarkan statistik pada 2010.

Jika dilihat kepada perbandingan fakta yang ‘diangkat’ Kit Siang itu, agak janggal apabila ia disandarkan kepada maklumat dalam tempoh hampir satu dekad. Dan sudah tentu dalam tempoh lapan tahun ini, pertambahan penduduk akan berlaku dengan pesatnya terutama melibatkan jumlah penduduk di bandar-bandar besar.

Kebimbangan Dr. Mahathir itu ada asasnya. Jika langkah mengadakan pilihan raya PBT diadakan, ia boleh menghasilkan keputusan yang salah antara bandar dan luar bandar sekali gus berkemungkinan mewujudkan konflik disebabkan perbezaan kaum.

Perkara itu turut diakui Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pro­f. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang menyatakan Malaysia belum bersedia untuk mengembalikan pilihan raya PBT yang telah dihentikan hampir 55 tahun lalu.

Walaupun negara ini berasaskan masyarakat majmuk, tahap perpaduan antara kaum dan etnik masih belum mencapai graf memuaskan. Jika langkah ini mahu diteruskan, ia akan memburukkan lagi hubungan sesama masyarakat sekali gus tidak mungkin akan mencapai matlamat pendemokrasian seperti apa yang diperjuangkan pemimpin parti politik tertentu.

“Negara kita belum bersedia untuk mewujudkan semula pilihan raya PBT kerana ia akan menjejaskan hubungan antara etnik yang pada masa ini kurang baik. Apa yang paling utama, kita perlu memperbaiki dahulu perpaduan kita. Jadi memadailah pilihan raya diadakan untuk pemilihan di peringkat pusat dan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Memang benar, langkah mewujudkan pilihan raya PBT ini adalah sebagai memenuhi amalan sistem demokrasi baik apabila rakyat sebagai pembayar cukai berhak menentukan siapakah yang akan bertanggungjawab menggerakkan sistem pentadbiran di kawasan yang mereka tinggal.

Namun, jika melihat kepada senario kependudukan di negara ini terutama di bandar, majoritinya dikuasai satu kaum sahaja. Jika sesuatu kawasan itu dikuasai Cina, maka sudah tentu perwakilan peringkat PBT akan dikuasai kaum berkenaan sekiranya pilihan raya diadakan.

Dan situasi ini tidak baik kerana tidak wujud keseimbangan antara kaum dalam matlamat perkongsian kuasa. Kok Seong turut membangkitkan kecenderungan berpihak kepada kaum-kaum tertentu tidak dinafikan akan timbul, selain berlaku percanggahan ideologi yang boleh mengakibatkan masalah pentadbiran kucar-kacir.

“Kalau kawasan Cina, merekalah yang akan berkuasa dan ini sudah tentu tidak baik sebab kita nak lihat pihak yang berkuasa itu seimbang dari segi perkongsian kuasa antara kaum seperti sekarang ini dalam membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof turut mengulas berhubung dakwaan dan rasional untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Pertama, berhubung salah guna kuasa apabila ketiadaan pilihan raya PBT. Pemilihan yang dilaksanakan melalui lantikan kerajaan didakwa mengurangkan tahap akauntabiliti.

Walaupun dakwaan ini ada asasnya, ia boleh diatasi dengan melantik wakil-wakil parti politik yang memerintah kerajaan negeri menjadi anggota majlis PBT.

Kedua, dari sudut pembaziran. Sesuatu pilihan raya tentunya memerlukan perbelanjaan besar dan sudah tentu wang itu datang daripada rakyat.

Pihak yang akan bertanding dalam pilihan raya PBT akan terlibat dalam kempen dan sebagainya sekali gus mendorong mereka menyalahgunakan aset, kemudahan, media dan jentera kerajaan untuk tujuan meraih undi. Semua ini tidak akan menguntungkan rakyat.

Ketiga, ialah berhubung nisbah perwakilan untuk rakyat. Realitinya, kebanyakan rakyat sudah pun diwakili oleh dua orang wakil rakyat. Penambahan seorang lagi wakil rakyat melalui pilihan raya PBT kelihatan tidak perlu.

Keempat, bandar adalah milik semua. Ia bukan milik penduduk tinggal di bandar sahaja, tetapi turut dimiliki penduduk luar bandar atau pinggir bandar yang setiap hari datang bekerja di kawasan itu.

Oleh itu, penduduk di bandar tidak mempunyai hak eksklusif untuk menentukan siapa yang layak menguruskan bandar. Dari perspektif penempatan mengikut kaum, Muhammad Fathi turut mengakui sebahagian besar penduduk di bandar adalah kaum Cina.

Jika dilaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur misalnya, calon Melayu dan India lebih sukar mendapat sokongan. Sedangkan hakikatnya, ramai orang Melayu dan India juga menjadi penduduk setia Kuala Lumpur khususnya pada waktu bekerja.

Mereka turut menjadi sebahagian warga kota yang menghabiskan sebahagian masa dan wang mereka di sini. Justeru, adalah lebih wajar jika kepimpinan PBT ditentukan kerajaan bagi memastikan keseimbangan dalam ketetapan dasar serta keadilan untuk semua.

Oleh : Maisarah Sheikh Rahim

Thursday, December 20, 2018

Apa Istimewanya Waytha Moorthy?

Walaupun bertalu-talu desakan dihala kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menggugurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana disifatkan sebagai gagal menjalankan tugas dengan betul, tetapi setakat ini tiada tindakan diambil.

Ini sesuatu yang pelik daripada Dr. Mahathir kerana jika menyusuri corak kepemimpinan beliau ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003, kesilapan yang dilakukan sehingga menjejaskan imej kerajaan tadbirannya dianggap sebagai satu `dosa besar’.

Dr. Mahathir tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya. Ini sekali gus menyuntik rasa `seram’ dalam kalangan menteri Kabinet serta penjawat awam untuk melakukan sebarang kesilapan, apatah lagi `bermusuh’ dengan rakyat.

Namun, perkara itu tidak berlaku hari ini, apabila Dr. Mahathir setakat artikel ini ditulis masih belum membuat keputusan sama ada mahu menggugurkan Waytha Moorthy atau tidak, meskipun kemarahan rakyat semakin memuncak terhadap pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu.

Desakan bukan hanya dalam kalangan pihak pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, tetapi juga daripada `anak-anak buah’ Dr. Mahathir iaitu Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang sehingga ke tahap menghantar memorandum mendesak supaya Waytha Moorthy dilucutkan jawatan.

Tindakan Armada yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu nampaknya lebih rasional dan melihat isu ini telah memberi kesan negatif kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hakikatnya Dr. Mahathir tidak perlu teragak-agak untuk membuat keputusan kerana Waytha Moorthy bukanlah sebahagian daripada kepemimpinan PH dan tiada kaitan pun dengan parti itu. Waytha Moorthy merupakan pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jadi tiada isu pun keputusan menggugurkan Waytha Moorthy itu akan memberi kesan kepada hubungan dalam kalangan kepemimpinan PH. Buatlah keputusan segera wahai Perdana Menteri, jangan sampai rakyat muak dengan kerajaan PH.

Bagi Waytha Moorthy pula, biar pun Dr. Mahathir belum membuat sebarang keputusan, namun sebagai seorang pemimpin, beliau seharusnya memahami desakan yang disuarakan kebanyakkan rakyat dan meletak jawatan dengan sendirinya.

Beliau telah diberikan layanan yang baik oleh Dr. Mahathir sehingga dilantik menjadi Senator, diberi peluang memegang jawatan menteri penuh menjaga portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial. Ini dilihat sebagai `sumbangan’ Dr. Mahathir untuk memadam skeptikal rakyat terhadap Waytha Moorthy yang didakwa memperjuangkan satu kaum sahaja.

Lagi pun, Waytha Moorthy bukan tidak pernah melakukannya, pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN), beliau telah meletak jawatan sebagai Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Apa salahnya melakukannya sekali lagi, jadilah seorang yang berjiwa besar, letaklah jawatan segera.

Oleh : Syukri Shaari

Wednesday, December 19, 2018

Sebuah Puisi Untuk Muhammad Adib

HARI INI BUMIKU MENANGIS

Hari ini airmataku menitis,
Bumiku juga turut menangis,
Pada peristiwa yang trajis,
Pada darah dia yang merenjis.

Orang-orang yang bangsat,
Yang tidak tahu hormat,
Membunuh insan yang berkhidmat,
Tanpa alasan melainkan jahat.

Sebalik mereka ada lidah penghasut,
Api permusuhan disembur disebut,
Segala pembohongan diangkut disangkut,
Kononnya di sini mereka hidup merempat melukut.

Setelah ditabur baik budi,
Diberi ruang berkongsi bumi,
Tidaklah pula tahu hargai,
Apakah itu jasa dan bakti.

Kita ingin hidup damai dan aman,
Sama berkongsi pemberian Tuhan,
Tapi, ada adab ada sempadan,
Itulah kehidupan seorang insan.

Namun..
Jika cacing naik ke mata,
Yang dicari hanya sengketa,
Maka kasarlah yang diminta,
Bangkit amarah bangkit segala.

Tiada penawar bagi pengkhianat,
Bawalah mereka khalayak rakyat,
Hukum dan undang mesti diangkat,
Jika pertiwi mahu harmoni selamat,
Perosak kedamaian mesti ditamat.














Oleh : Dr MAZA.

Wednesday, December 12, 2018

Provokasi Singapura: Mat Sabu Jangan Membisu

JOHOR BAHRU - Dewan Muda Johor (DMJ) menggesa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu perlu segera mengeluarkan kenyataan bagi menunjukkan pendirian serta ketegasan Malaysia dalam soal kedaulatan serta keselamatan negara.

Menurut DMJ, mereka mengambil serius konflik pertikaian antara Malaysia dan Singapura membabitkan sempadan ruang udara dan maritim, lebih lagi melibatkan Johor.

“Tindakan membisu sehingga ke hari ini dan membiarkan perkara tersebut tanpa sebarang maklum balas daripada Menteri Pertahanan sangat mendukacitakan.

“DMJ menggesa beliau segera memberikan fokus terhadap isu dan keselamatan negara,” menurut DMJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

DMJ juga berpendapat insiden bot dan kapal dipercayai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dicabar pihak Singapura dengan melakukan pemanduan bot secara berbahaya merupakan satu tindakan provokasi melampau.

Selain itu, tambah DMJ, tindakan tersebut juga boleh mendatangkan kemalangan kepada anggota keselamatan yang sedang bertugas menjaga kedaulatan negara.

“DMJ khuatir jika tiada sebarang perbincangan segera antara kedua negara ia akan memberi kesan terhadap rakyat Malaysia khususnya nelayan di negeri ini yang bergantung sumber rezeki di perairan Johor,” kata DMJ. - : http://www.utusan.com.my

Wednesday, December 5, 2018

Lain kali Cakap Biar Te­raanggg...

Yang ditanya berkaitan subjek Sejarah di sekolah, tetapi jawapan Menteri rupa-rupanya tidak merujuk kepada perkara itu sebaliknya sejarah secara umum.

Setelah hampir 24 jam tular, itulah penjelasan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menerusi kenyataan Setiausaha Akhbar beliau, Sharul Aman Mohd. Saari. Memetik perenggan kedua kenyataan akhbar itu:

“Semasa menjawab so­alan tambahan YB Pontian, YB Dr. Maszlee hanya menyebut bahawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.”.

Memanglah, tapi apa yang ditanya Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) masih berkisar subjek Sejarah se­perti mana soalan asal, bukan sejarah umum.

Ini kerana soalan tambahan masih perlu dalam konteks soalan asal dan sebab itu satu lagi soalan tambahan selepas Ahmad iaitu daripada Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) juga berkaitan subjek Sejarah sekolah.

Dalam soal Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat nampaknya Ahmad dan Nik Nazmi lebih arif, mereka pun bukan junior di legislatif se­perti Dr. Maszlee. Kalau ada yang tidak faham rujuk Perkara 24 (3) Peraturan Mesyuarat.

Sebenarnya apa yang berlaku semalam dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat itu harus menjadi pengajaran agar hal sama tidak berulang.

Pertama jika ada kesilapan laporan, eloklah segera diperbetulkan bukan hingga 24 jam. Untuk fail saman fitnah pun, faktor masa itu penting.

Kedua, berhentilah main politik lebih-lebih lagi di Dewan Rakyat. Serahlah kepada mereka yang lebih berpengalaman untuk tunjuk silat bab ini. Bijak mana pun, kalau tahap rookie, elok perhati dulu. Buku teks dengan dunia politik sebenar berbeza.

Ketiga, ingatlah kata-kata Tan Sri P. Ramlee kepada Ibrahim Pendek yang ketika itu datang berjumpanya untuk meminjam buah dadu dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Apa katanya:

“Lain kali cakap biar te­raanggg..”.

Oleh : Herman Hamid

Monday, December 3, 2018

Siapa Yang Mahu Buang Bangsa, Agama....Sila Tepuk !

Buang bangsa, agama demi perpaduan?
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Seorang pengkritik sosiopolitik mencadangkan supaya identiti bangsa
dan agama dalam kad pengenalan rakyat Malaysia dibuang demi mencapai perpaduan dalam negara.

Aktivis tersebut, Mariam Mokhtar turut menyenaraikan lima perkara lain yang perlu dilakukan untuk mencapai integrasi nasional.

“Jika anda mahu integrasi nasional, ini yang pelu dilakukan : buang ‘bangsa’ dan ‘agama’ dalam kad pengenalan; haramkan perkauman dan dasar afirmatif; kurangkan jurang kekayaan antara yang berada dan tidak berada.

“Juga, jangan politikkan bahasa; beri layanan sama rata antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur serta berikan kebebasan media dan kebebasan memberi pendapat,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today di sini hari ini.

Beliau yang juga kolumnis di portal tersebut berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Integrasi dengan Integriti: Tanpa Takut dan Berpihak di Holiday Villa, dekat sini malam tadi. - utusan online

Sunday, December 2, 2018

ICERD, Kuil & Himpunan Rakyat

Pada pengamatan saya, Himpunan Rakyat 8 Disember yang bermula dengan penganjuran Kongres Tolak ICERD 25 November, anjuran Ummah, lebih mirip kepada satu Himpunan Rakyat Malaysia, menentang usaha songsang dan pembohongan oleh Senator P. Waytha Moorthy.

Saya tak faham mengapa seorang yang mempunyai rekod sebegitu buruk dilantik menjadi Menteri Kabinet. Sudahlah begitu kelakuannya, dilayan ibarat ‘menatang minyak yang penuh.’ Jika sudah mindanya pembangkang, setelah berada dalam kerajaan pun ia kekal berminda pembangkang. Itulah perangai pelik Moorthy.

Lihat sajalah bagaimana beliau menangani kemelut tragedi kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya. Logikkah sebagai seorang menteri Kabinet beliau boleh membuat kenyataan menyalahkan PDRM secara terbuka dalam insiden kekecohan di kuil itu.

Jika pun ragu mengenai tindak tanduk PDRM, sepatutnya beliau berbincang secara tertutup terlebih dahulu dengan menteri bertanggungjawab. Jika beginilah caranya beliau berperanan sebagai seorang menteri, tak dapat hendak dibayangkan bagaimana kerajaan akan terus berperanan dengan berkesan, apatah lagi dalam agenda berkaitan perpaduan.

Oleh kerana tragedi di kuil itu berlaku dalam masa sama ketika sekumpulan rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan menentang ratifikasi ICERD, secara tidak langsung timbul kebimbangan akan berlaku ketegangan etnik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri apa yang beliau lakukan? Isu ratifikasi ICERD beliau kecohkan, di kuil yang kecoh beliau cetuskan kontroversi. Kini tragedi di kuil berkenaan sudah reda, tapi belum isu ratifikasi ICERD. Walaupun Perdana Menteri sudah membuat kenyataan menangguhkan ratifikasi ICERD, menteri yang ghairah untuk meratifikasinya belum pun menarik balik usaha beliau itu. Begitu juga dengan beberapa NGO yang selama ini mencaturkan inisiatif ini, mereka juga masih berdiam diri. Maknanya, isu ratifikasi ICERD ini masih ibarat api dalam sekam. Justeru, Himpunan Rakyat 8 Disember wajar diteruskan dan akan terus waspada.

Sayugia dinyatakan di sini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) komited terlibat sama dalam penganjuran Kongres 25 November itu ialah kerana tema kongres tersebut dan statusnya sebagai himpunan perpaduan rakyat Malaysia.

Saya difahamkan oleh penganjur bahawa semua institusi politik turut dijemput, tetapi hanya UMNO dan Pas menerima undangan mereka. Maka, silaplah kenyataan Lim Guan Eng, kepada media secara tertutup pada 23 November lalu yang melabelkan Kongres 25 November itu dan himpunan yang bakal diadakan pada 8 Disember sebagai acara anjuran ekstremis bersama UMNO dan Pas.

Usaha Ummah dan banyak pihak menolak ratifikasi ICERD ini tidak rumit untuk difahami. Tun Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara sudah membuat penjelasan yang amat mudah untuk difahami, jika kita membuka minda dan memilih untuk memahaminya. Ia bukan sekadar menjaga kepentingan Islam dan bumiputera. Jauh lebih penting daripada itu ialah melindungi kedudukan negara ini sebagai negara berdaulat dengan Perlembagaannya sudah cukup sempurna.

Buat sekian lamanya kita hidup aman damai dilindungi oleh Perlembagaan itu. Mengapa perlu ada campur tangan asing mempersoalkan cara dan tindak-tanduk kita dalam mentadbir urus negara? Setuju dengan ratifikasi ICERD samalah juga halnya dengan menyerahkan kembali kedaulatan negara kepada penjajah asing, kali ini penjajah global. Inilah salah satu bahana globalisasi dalam era baharu ini. Globalisasi ada kesan positif dan ada negatif. Globalisasi bukan sekadar dalam bidang ekonomi, semua bidang kini sudah diglobalisasikan termasuk agenda international policing, penyebaran international values dan pelbagai lagi.

Jika Waytha Moorthy meragui keterangkuman Perlembagaan itu dalam hal berkaitan kesaksamaan hak setiap warga negara, beliau boleh merujuk kepada peruntukan-peruntukan yang ada dalam Perlembagaan itu. Perkara 8 misalnya, iaitu mengenai kesamarataan, amat jelas maksud dan kandungannya yang meletakkan semua orang sama rata di sisi undang-undang.

Dalam kekalutan ini rakyat Malaysia yang sama-sama cintakan negara ini wajib bangkit untuk bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memudahkan beliau mentadbir-urus negara.

Isu ICERD ini sudah dipolitikkan menjadi isu sensitif. Satu isu seperti itu jika dibiarkan mampu mengheret bersamanya beberapa isu lain menjadi sensitif. Maka, amat bertepatan sekali usaha Ummah ini disokong semua pihak bagi mengadakan Himpunan Rakyat Malaysia 8 Disember ini.

Ia adalah perhimpunan aman terbuka kepada semua golongan dan institusi untuk turut sama. Ia adalah himpunan kedaulatan negara, mengajak semua rakyat komited mempertahankan kedaulatan negara. Ini bukan himpunan mencari populariti. Ia akan dijadikan himpunan berkala bila mana dirasakan perlu berbuat demikian.

Ini bukan himpunan politik dan bukan juga himpunan yang boleh dipolitikkan. Tidak salah bagi Presiden UMNO dan Presiden Pas membuat kenyataan menyokong, malah kehadiran mereka bersama penyokong masing-masing amat dialu-alukan.

Itu adalah komitmen mereka untuk menjayakan himpunan itu kelak kerana mereka juga cintakan keharmonian dan kedamaian. Diharapkan Lim Guan Eng juga sudi hadir, sekalipun berbeza ideologi politik. Demi perpaduan nasional pastinya beliau juga sama seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi cintakan kedamaian dan perpaduan.

Kita ada acuan dan cara sendiri dalam menyelesaikan apa juga perbezaan dan kemelut sesama kita. Apa perlunya campur tangan asing mengajar kita bagaimana mentadbir urus negara?

Lebih baik jika Waytha Moorthy suruh mereka perbetulkan konflik di Myanmar. Di sana ratifikasi ICERD diperlukan. Bukan di sini, bukan di bumi berdaulat ini. Kepada Dr. Mahathir, kami terima siapa saja wakil rakyat yang dipilih secara sah dalam PRU-14 untuk menerajui portfolio perpaduan, asalkan bukan Waytha Moorthy. Himpunan 8 Disember nanti pun beliau tak perlu hadir!

Oleh : Dr. Hasan Mad
          - Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Saturday, December 1, 2018

Haa...Haaa....Lucunya Negara Ku !

PM sifat Waytha Moorthy, Maszlee telah lakukan terbaik
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Ketika banyak pihak mempertikaikan prestasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, namun Tun Dr. Mahathir Mohamad pula melihat sebaliknya.

Malah, Perdana Menteri menyifatkan kedua-dua pemimpin itu telah melakukan yang terbaik sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai menteri sehingga kini.

"Tiada 'kuliah' (diberikan), hanya bercakap sahaja, mereka telah melakukan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis "Special Night With Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin menasihati Waytha Moorthy dan Maszlee agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan mendengar nasihat Dr. Mahathir. - utusan online


Teguran sinis untuk dua menteri
KUALA LUMPUR: ‘Keletah’ dua menteri yang sejak kebelakangan ini mengundang isu sehingga sering menghiasi halaman depan akhbar disaran lebih berhati-hati dan tunduk kepada nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Friday, November 30, 2018

Pak Menteri Jadilah Orang Yang Bijak....

Rasisme Agama Dan Kaum Di Malaysia Semakin Tenat
Rasisme di Malaysia aku lihat semakin parah bukannya datang dari masyarakat tetapi dari ahli politik yang mengapi-api orang ramai. Isu terbaru ialah si Moorty si pak Menteri memburukkan Malaysia
di luar negeri sebagai rasis dimana kaum lain selain Melayu terutama kaum India terpinggir. Kedua ialah isu ICERD (Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) yang kini semakin panas dan dianggap akan merampas hak keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan Perkara 153. Yang paling terbaru ialah Sultan Selangor mengarahkan semua papan tanda yang bertulisan cina di tarik balik dan diganti dengan Bahasa Melayu. Ini pun akan dipolitikkan tidak lama lagi. Dan pelbagai lagi isu perkauman yang aku lihat semakin buruk.

Belum lagi isu kecil seperti budak melayu perempuan dimaki oleh budak india kerana tidak mahu memegang arak yang dibelinya. Dan terbaru juga seorang wanita cina dimaki oleh budak melayu kerana menjual arak. Ini baru kes arak yer..Ada banyak lagi rentetan rasis dan agama kalau aku nak tulis disini penuh satu muka surat.

Dari pentadbiran Barisan Nasional hingga ke Pakatan Harapan aku lihat semua ahli politik adalah pengecut. Adakah mereka tidak melihat isu rasis dan agama semakin teruk dinegara ini. Sikap mendiamkan diri dan tidak ambil peduli akan memburukkan lagi keadaan pada masa akan datang. Apabila tension sesuatu kaum sedikit demi sedikit diusik, makin lama makin panas dan akhirnya akan ujud pertempuran kaum .

Mungkin ada pihak akan mengatakan takkan sampai pertempuran kaum, gila ker kau Hanif!!!

Bila berbicara tentang kaum ini, ada pelbagai acuan didalamya. Ada jenis cool, ada jenis atas pagar dan ada jenis yang fanatik. Jenis fanatik ini yang kita risau seperti Moorty yang menyalakan api kemarahan kaum Melayu. Kita bukan berbicara tentang tension invidu tetapi bercerita tentang tension sekelompok manusia yang setiap hari diomokkan tentang isu rasis ini.

Dan bagi kaum yang diomokkan setiap hari bahawa hak mereka akan dicabul dan mereka dipinggirkan. Lama kelamaan mesti termakan viral sedemikian kerana bukan satu pihak sahaja yang berkata sedemikian tetapi ramai pihak. Terutama sumber tak sah seperti di Facebook atau laman sosial lain yang rata-ratanya viral kasi panas bukannya menyejukkan keadaan .

Sebab tu aku kata ahli politik Malaysia ini bodoh atau banggang. Mereka nampak isu ICERD semakin panas, maka buatlah pendirian samada nak terima atau tidak. Jangan menyepi diri sahaja. Buat statement bahawa Malaysia nak terima atau tidak. Kalau nak terima apa sebabnya dan kalau tak terima apa sebabnya. Sebab kalau anda terima, maka orang Melayu akan naik angin dan jika anda tidak terima maka kaum lain akan naik angin. Pejelasan harus lengkap dan aku rasa tak sukar sebab kita ada ramai bijak pandai boleh susun ayat untuk ahli politik bodoh kita ini. That the meaning of leader, jangan buat rakyat tertanya-tanya dan pihak lain ambil kesempatan viralkan isu ini hingga aku dengar ada perhimpunan besar untuk menentang ICERD ini.

Perhimpunan ini bukan perhimpunan Bersih dimana semua kaum ada tetapi dalam kes ICERD ini perhimpunan ini adalah perhimpunan orang Melayu yang akan menjerit di jalan raya sambil memegang sepanduk menentang ICERD. Nak jadikan cerita masa tengah buat perhimpunan, ada satu mamat bangsa lain mengutuk lorat si Melayu ini nak berhimpun. Rasanya apakah akan terjadi? Inilah yang terjadi kes rusuhan kaum 1969 dahulu tapi bukan pasal ICERD ler tapi intinya ialah bangsa berlainan bergaduh, dari pergaduhan kecil hingga melarat ke seluruh Tanah Melayu. Anda mahu benda macam ini.

Dan lagi survey, mamat bangsa lain itu pula sebenarnya adalah pihak luar yang sengaja diupah untuk mewujudkan huru hara.

Kedua ialah kes si Moorthy ini tindakan harus diambil kerana ia memburukkan Malaysia di negara luar dan kata-katanya boleh diterimapakai kerana ia seorang Menteri. Cuba kalau yang kata itu rakyat biasa, apakah yang akan terjadi. Masuk lokap looooo… Tapi untuk Moorty ngak perlu cuma perlu gaduh-gaduh di Dewan Rakyat sahaja. Dulu ada ISA kasi ubah ganti dengan SOSMA yang tak berapa kuat sangat. Tapi kita ada undang-undang yang boleh dipakai untuk menangkap Moorty tapi tidak digunakan sebab atas strategi politik.

Ini yang mereka marah kenapa Moorthy bebas untuk berbicara dan tidak ditangkap untuk disoal siasat. Sebabnya beliau adalah Pak Menteri. Andai kata kalau tangkap Moorthy nanti akan menyebabkan kemarahan kaum lain dan menjejaskan parti tersebut. Tapi seprti aku katakan, setiap ahli politik ada tanggungjawab. Kalau tak mahu tangkap at least gantung beliau dari hadir Dewan Rakyat sebab memburukkan nama Malaysia. Rakyat mahu tindakan bukannya ahli politik yang pengecut dan menjaga periuk nasi mereka.

Aku terpanggil untuk menulis di artikel ini kerana ketakutan melihat senario sebegini tidak diambil tindakan pantas. Apabila melibatkan isu kaum dan agama, pihak kerajaan mesti memainkan peranan yang pantas. Aku sayang negara ini dan aku sayang dengan keharmonian dan perpaduan kaum negara ini. Janganlah asik menjaga kepentingan peribadi politik hingga sanggup mengunci mulut dan melihat sahaja. Pemimpin negara harus memimpin negara dengan ikhlas dan berani, benda yang salah harus ditegur dan jika ada masalah harus di cantas sebelum ia menjadi wabak atau masalah nasional.

Dan aku menjalankan tugas aku sebagai rakyat menegur pemimpin yang aku kategorikan sebagai pengecut bukan kerana aku Melayu tetapi sebagai rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan. Aku seorang Melayu dan tahu kelemahan Melayu iaitu jangan di cabar pasti melenting walau pun benda tu merosakkan diri sendiri. Janji puas..itu yang aku takut. Dan aku juga mempunyai rakan Cina dan India yang ramai, dan belum pernah kami bercerita tentang mempertikai hak melayu atau penguasaan ekonomi oleh cina kerana kami mempunyai nilai kontrak sosial yang kami hormati. Dan kontrak sosial ini aku lihat semakin rapuh kerana sikap pemimpin kita yang play safe.

Aku merayu selesaikan masalah ICERD dan Moorty ini serta beberapa isu yang melibatkan hal-hal perkauman dan agama. Kerajaan perlu bertindak sekarang sebelum menjadi parah. Bacalah sejarah dan lihat pertumpahan darah yang sia-sia pada tahun 1969. Tiada pihak yang menang jika kita bergaduh sesama sendiri. I love Malaysia

Oleh : Hanif Idrus

Thursday, November 22, 2018

Isu Papan Tanda Tulisan Cina Di Selangor

Tiada kelulusan Exco
SHAH ALAM 21 Nov. - Pemasangan papan tanda jalan dengan tulisan Cina di beberapa kawasan di negeri ini tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tem­patan Negeri Selangor pada 2017 tanpa dibawa ke MMKN.

“Saya kena semak sebab keputusan itu tidak ada dibawa ke MMKN. Apa pun, kita menjunjung kasih titah tuanku Sultan (tanggalkan papan tanda).

“Kita juga komited untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pusat Kaunseling Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana papan tanda bertulisan Cina boleh dipasang di daerah ini.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan diganti dengan papan tanda jalan satu bahasa iaitu bahasa Melayu.

Ditanya sama ada papan tanda jalan bertulisan Cina di daerah lain di negeri ini turut akan diturunkan, Amirudin membe­ritahu, pihaknya akan menye­mak perkara itu.

“Kita tunggu kertas (keputusan pasang papan tanda bertulisan Cina) itu sebab ia tidak diberi melalui MMKN.

“Kemudian kita akan lihat secara menyeluruh tentang papan tanda itu tetapi kerajaan ne­geri komited untuk menjunjung kasih titah tuanku,” ujarnya. - www.utusan.com.my

Tuesday, November 20, 2018

Basah Kena Kencing.....!

ICERD bertentangan Perlembagaan, masih mahu tegak benang basah?
Kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, ratifikasi ICERD akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Penegasan Perdana Menteri itu seperti dilaporkan Bernama nyata menyangkal kenyataan beberapa menteri sebelum ini.

Selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang berulang kali menyatakan soal hak istimewa bumiputera dan raja-raja Melayu tidak akan dibelakangi dengan ratifikasi konvensyen tersebut, beberapa menteri lain juga mengungkapkan nada yang sama.

Paling menarik perhatian tentunya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang meminta siapa yang tidak faham mengenai ICERD agar bertemu dengan beliau sebelum mahu mengatakan konvensyen itu bertentangan dengan Perlembagaan.

Tidak terkecuali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah - kementerian yang sebenarnya bertanggungjawab soal ratifikasi konvensyen antarabangsa. Kalau menterinya tuntas ketika hal ini kali pertama dibangkitkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat 15 Oktober lalu, perkara ini tidak meleret sebegini.

Hakikatnya, yang membantah sebarang hasrat Malaysia meratifikasi ICERD bukan baru, penentangan berlaku sebelum Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya lagi. Dan yang membantah bukan berkelulusan seperti Mujahid atau naratif mereka seperti Waytha Moorthy tetapi terdiri daripada pengamal undang-undang dan bekas hakim.

Memetik Facebook Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar:

“Dulu dan kini kami bantah, kerajaan pun berbeza. Macam mana jadi isu politik pula?,”

Dan apabila Dr. Mahathir secara jelas mengatakan ICERD akan melibatkan pindaan Perlembagaan, apakah ada lagi menteri yang mahu terus menegakkan benang basah atau parah lagi mahu bagi kelas undang-undang perlembagaan?

Harapannya tidaklah. Cukup dengan kenyataan Perdana Menteri di Port Moresby semalam.

Dan jika diamati, kenyataan Perdana Menteri itu satu bentuk kearifan atau wisdom. Beliau tidak memberi satu titik noktah tetapi menendang kembali bola kepada pihak-pihak yang beria-ia mahukan kerajaan meratifikasi ICERD.

Mesejnya barangkali, “boleh desak semahu mana pun, tetapi tetap tidak boleh diratifikasi kerana perlu pinda Perlembagaan. Hendak dua pertiga? Ini perlu disokong ahli Parlimen Melayu, Islam dan bumiputera. Mahukah mereka?,”

Justeru, kekalkanlah keharmonian, terimalah hakikat peruntukan Perlembagaan yang diwarisi sejak merdeka. Usahlah buat kerja sia-sia, bimbang lain pula terjadi.
utusan online

Sunday, November 18, 2018

Dimana Kejujuran Pakatan Harapan....

Waytha Moorthy pembohong besar, didesak disiasat, ambil tindakan tegas - Mufti Perlis
KANGAR 18 Nov. - Pihak berkuasa didesak menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy kerana didakwa telah melakukan pembohongan besar di luar negara untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, kenyataan Waytha Moorthy yang dibuat menerusi satu rakaman video hasil temu bual bersama seorang wartawan, berdurasi dua minit dan 38 saat itu jelas merupakan pembohong dan pengkhianat negara.

Kata beliau, dalam hal ini, seluruh umat Islam adalah diseru supaya wajib seia-sekata seterusnya bangkit tanpa mengira perbezaan latar politik dan fahaman, membantah kenyataan tersebut.

“Kita tidak terbayang wujudnya individu yang khianat kepada negara ke tahap sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd. Asri diminta mengulas satu rakaman video oleh Waytha Moorthy yang dipercayai dibuat di luar negara baru-baru ini dan tular di laman-laman sosial sejak semalam.

Berikut adalah terjemahan rakaman video tersebut yang dibuat di dalam bahasa Inggeris yang dipercayai turut disiarkan di laman web Hindraf.org

Thursday, November 15, 2018

Suara Hati DAP

Perlu sokong ICERD
 KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP berpandangan, jika parti itu mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Dalam satu kenyataan bersama, ADUN Tras, Chow Yu Hui dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata, seterusnya DAP perlu memperbetulkan sistem dan dasar perkauman Barisan Nasional (BN) secara beransur-ansur sekali gus menghentikan politik perkauman selama ini.

Desakan menerusi kenyataan bersama itu dibuat ketika DAP mengadakan kongres di peringkat negeri.

Berikut merupakan kenyataan penuh kedua-dua ADUN berkenaan yang disiarkan di laman sesawang dapmalaysia.org.

Setahu kita, pengisytiharan Deklarasi Setapak yang dirumuskan oleh pelopor DAP pada 1967 adalah satu bukti kepercayaan DAP bahawa prinsip kesaksamaan antara kaum mesti diterapkan dalam proses pembangunan negara terutamanya apabila kita berada dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum.

Dalam Deklarasi Setapak, pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label bumiputera dan bukan bumiputera.

Kalau kita melihatnya dalam konteks hari ini, ideologi DAP pada ketika itu adalah satu pendirian yang bersifat inklusif dan berpandangan jauh.

Namun begitu, lihat balik kepada dasar dan polisi yang kami kemukakan pada hari ini, adakah DAP semakin beranjak ke hadapan? Atau sebaliknya kami tidak lagi melihat kepada ideologi yang diperjuangkan selama ini?

Perlu ingat, Deklarasi Setapak adalah satu deklarasi yang telah membentuk hala tuju perjuangan DAP bagi merealisasikan impian Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Selama berpuluh-puluh tahun ini, DAP kekal menentang dasar asimilasi yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional, iaitu dasar Satu Bangsa, Satu Budaya, Satu Bahasa.

Sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin parti kita, sudah tentu boleh menjadi sebuah rujukan bagaimana penolakan dasar diskriminasi kaum dilakukan.

Visi DAP adalah membina sebuah masyarakat yang tiada pengasingan di antara warna kulit atau kaum. DAP memperjuangkan masyarakat yang memberi peluang saksama kepada setiap individu untuk mengejar dan merealisasikan impian masing-masing.

Itulah sebabnya DAP masih tetap berdiri teguh di atas tanah air ini sehingga hari ini dan kini berjaya mendapat mandat rakyat bertukar dari parti pembangkang ke parti memerintah selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) pada Mei lalu.

Maka, sebagai ahli DAP, kami patut memahami erti sebenar dan justifikasi kesamarataan kaum.

Jangan sesekali terpengaruh dengan kenyataan bahawa perpaduan rakyat hanya boleh dicapai dengan merendahkan status atau kedudukan kaum masing-masing.

Ini bukanlah erti kesaksamaan untuk setiap rakyat tetapi ia namanya ialah asimilasi semua rakyat.

Kita mesti tahu, perbezaan warna kulit bukannya satu dosa atau alasan untuk menafikan hak seseorang.

Tetapi politik yang berasaskan prinsip perkauman dan diskriminasi barulah penyumbang kemerosotan negara, dan sekali gus memusnahkan perpaduan negara kita yang tercinta ini.

Sekiranya DAP masih bertekad untuk menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, caranya bukanlah untuk menggesa rakyat merendahkan status bangsa masing-masing atau hanya membawa masuk ahli baru yang berlainan kaum.

Ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD.

Seterusnya, DAP perlu memperbetulkan sistem dan dasar perkauman Barisan Nasional secara beransur dan sekali gus menghentikan politik perkauman selama ini.

Gantikannya dengan dasar yang berkepentingan memelihara hak setiap kaum, agar semua bangsa di Malaysia dapat terus hidup makmur bersama, demi negara yang mendukung prinsip kita semua sama.

Wednesday, November 14, 2018

Peminjam PTPTN Paling Teruk Tertipu

UMPAMA jatuh ditimpa tangga, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibawa menaiki ‘roller coaster’ janji manis pilihan raya, bermula daripada pendidikan percuma, memansuhkan semua pinjaman atau penangguhan bayaran balik, tetapi akhirnya pemotongan wajib terus daripada gaji bulanan pula.

Berbanding pelbagai diskaun, pelepasan malah menjadikan biasiswa bagi graduan cemerlang oleh kerajaan tersdahulu, peminjam PTPTN kini tidak boleh ‘lari’ lagi apabila Menteri Kewangan sendiri mengumumkan potongan wajib dalam Bajet 2019.

Sebagai bekas peminjam PTPTN, saya tetap terasa kejutan itu walaupun saya sendiri sudah habis membayar pinjaman tersebut. Bukannya mahu menyokong keengganan segelintir peminjam membayar balik hutang tetapi memikirkan implikasi janji-janji manis manifesto parti politik.

Ahli politik yang rata-ratanya orang kaya, jika tidak jutawan dan bilionair, langsung tidak mampu merasai mahupun dapat membayangkan beban pinjaman pendidikan bagi rakyat marhaen.

Mereka dan ahli keluarga mereka mampu makan lobster setiap hari sedangkan rakyat marhaen hanya mampu makan udang kertas yang paling murah.

Sebab itu dari dahulu lagi anak muda sudah dinasihatkan jangan percaya janji manis orang politik kerana mereka tidak duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat peringkat akar umbi.

Nasi sudah menjadi bubur, apa pun keputusan kerajaan baharu kita perlu terima kecuali jika belia berani bangkit membantah seperti era pemerintahan kerajaan lama.

Saya cuma ingin nasihatkan, selepas ini fikir secara rasional dan realistik dalam mendengar dan menghadam janji manis orang politik lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya.

Oleh : Graduan UiTM

Tuesday, November 13, 2018

ICERD: Jangan Terburu-Buru

International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination, (ICERD) ialah perjanjian antarabangsa yang bertujuan menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum. Ia telah dibuka untuk ditanda tangani dan seterusnya disahkan oleh negara-negara sejak 21 Disember 1965.

Sehingga kini, 15 buah negara masih belum menandatangani dan membuat ratifikasinya, antaranya ialah Malaysia. Ratifikasi (ratification) dalam undang-undang antarabangsa bermaksud suatu negara menyatakan persetujuannya untuk terikat kepada suatu perjanjian jika pihak-pihak tersebut berhasrat untuk menunjukkan persetujuan mereka untuk terikat walaupun tidak dipaksa untuk mengikat.

Perbincangan tentang ICERD memerlukan kefahaman pemakaian undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan Malaysia. Terdapat dua teori penerimaan dan pemakaian undang-undang antarabangsa dalam suatu negara; (1) Doktrin Diperbadankan (Doctrine of Incorporation) dan (2) Doktrin Transformasi (Doctrine of Transformation).

Menurut ‘Doktrin Diperbadankan’, undang-undang antarabangsa secara automatik dimasukkan dalam undang-undang domestik setelah ia diratifikasi sehingga undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa menjadi satu, sama dan serupa (monism).

“Doktrin Transformasi” pula bermaksud undang-undang antarabangsa tidak secara automatik menjadi undang-undang tempatan. Dalam teori transformasi ini, undang-undang antarabangsa dan undang-undang tempatan adalah dua entiti berbeza dan berasingan (dualism). Penerimaan undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan negara hanya boleh dibuat melalui proses perundangan negara.

Malaysia menerima doktrin transformasi kerana tiada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan penerimaan undang-undang antarabangsa secara automatik. Oleh itu, semua instrumen yang menjadi sumber undang-undang antarabangsa, seperti Triti, Perjanjian dan Konvensyen tidak akan menjadi undang-undang negara kita sehinggalah kita meminda atau membuat undang-undang tempatan berkaitannya.

Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kesan bahawa kuasa untuk membuat atau menandatangi dan meratifikasi triti atau perjanjian di peringkat antarabangsa adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa Badan Eksekutif mempunyai kuasa untuk membuat perjanjian antarabangsa atau menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa, manakala kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa tersebut adalah terletak hak kepada Parlimen.

Oleh itu, bagi membolehkan suatu perjanjian antarabangsa itu berkuat kuasa Parlimen hendaklah meluluskan undang-undang bagi menjelmakan atau membuat pernyataan khusus tentang perkara-perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian tersebut bagi tujuan pelaksanaanya. Sekiranya tiada, maka instrumen antarabangsa yang telah dipersetujui oleh Badan Eksekutif tidak akan mengikat atau tidak boleh diamalkan atau tidak boleh diterima di mahkamah (prinsip berbeza dalam kes melibatkan Undang-Undang Adat Antarabangsa).

Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, antara lain bermaksud, sesuatu undang-undang yang bertujuan melaksanakan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui Malaysia di peringkat antarabangsa tidak boleh dibuat sekiranya undang-undang tersebut melibatkan hal-hal berkaitan hukum Syarak, adat orang Melayu atau undang-undang atau adat anak negeri Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, sesuatu rang undang-undang yang berkaitan dengan triti, perjanjian dan konvensyen yang ditandatangani oleh Persekutuan tidak boleh diperkenalkan dalam Parlimen tanpa rundingan dengan kerajaan mana-mana Negeri dalam Persekutuan. Peruntukan ini walau bagaimanapun masih belum ditafsirkan oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

Bercanggah
Kesimpulannya ialah, amalan Malaysia dalam penerimaan triti atau perjanjian antarabangsa adalah berdasarkan kepada ‘doktrin transformasi’. Walaupun Kerajaan (Eksekutif) telah mengesahkan perjanjian antarabangsa, tetapi ia tidak mempunyai kesan undang-undang dalam negara kecuali Parlimen telah meluluskan undang-undang untuk menguatkuasakan undang-undang bagi tujuan untuk perjanjian antarabangsa tersebut. Inilah hujah yang sering digunakan oleh pihak yang menyokong cadangan meratifikasi ICERD.

Hujah lain yang kelihatan dalam bicara berkaitan ICERD ialah, sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menandatangani dan meratifikasi sesebuah Perjanjian Antarabangsa, Kerajaan boleh meletakkan reservation atau pengecualian; atau kerajaan boleh membuat interpretative declaration.

Maksudnya kerajaan tidak perlu menerima keseluruhan perjanjian tersebut, tetapi boleh meletakkan pengecualian-pengecualian tentang perkara-perkara yang didapati bercanggah dengan undang-undang atau dasar negara, termasuk Perlembagaan Persekutuan, Akta atau Enakmen.

Atau, kerajaan boleh menyatakan definisi tersendiri kepada mana-mana peruntukan dalam perjanjian antarabangsa. (Lihat Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011).

Namun, menurut Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011 pengecualian kepada suatu ratifikasi perjanjian antarabangsa akan hanya diterima sekiranya ia tidak ditolak oleh negara-negara lain dan antara alasan yang boleh diberikan oleh negara-negara lain ialah, pengecualian tersebut menyebabkan objektif suatu perjanjian tersebut tidak tercapai. Pengecualian tersebut juga hendakalh diterima oleh 2/3 daripada negara-negara lain (Perkara 20 ICERD).

Dalam kes ICERD, sekiranya kerajaan mahu menandatangani dan meratifikasi perjanjian ini, perincian-perincian tentang pengecualian tersebut perlu didedahkan dan dibahaskan dengan matang supaya ia dapat difahami dan diterima oleh rakyat terbanyak.

Selain daripada itu, PBB mempunyai mekanisme tertentu untuk pelaksanaan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani. Mekanisme ini diwujudkan bagi memastikan setiap perjanjian yang diratifikasi oleh negara-negara mencapai objektifnya. Dalam kes ICERD, ia menyatakan dengan jelas bahawa suatu Jawatankuasa, yang dikenali sebagai Committee on the Elimination of Racial Discrimination (Perkara 8 ICERD).

Walaupun mekanisme PBB ini umumnya tidak begitu cekap dalam amalannya, tetapi, ia mempunyai sisten dan kekuatan tersendiri.Perkara pokok yang perlu dibincangkan dalam kes cadangan kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD ini ialah, adakah keistimewaan-keistimewaan yang diberikan kepada Melayu dan Anak Negeri serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain seperti yang ada dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah berbentuk diskriminasi?

Sekiranya ia adalah diskriminasi maka kesannya nanti ialah, PBB boleh menggunakan mekanismenya untuk meletakkan tekanan ke atas negara kita untuk mengubah apa jua undang-undang serta polisi-polisi berkaitan.

Namun sekiranya Perkara 153 yang menjamin keistimewaan dan kepentingan sah tersebut adalah suatu special measures yang satu-satunya bertujuan “securing adequate advancement of certain racial or ethnic group or individuals…in order to ensure …(their) enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedom”, ia bukanlah suatu diskriminasi perkauman.

Sekiranya begitu, ia masih boleh terus diamalkan negara sehingga tujuan tersebut telah dicapai. Sekiranya special measures tersebut telah mencapai objektifnya, ia hendaklah dimansuhkan untuk mencapai objektif ICERD (Perkara 1(4) ICERD). Ini adalah asas kepada mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan meratifikasi ICERD.

Pandangan ini mempunyai asas yang kukuh untuk menangani kesan negatif ICERD ke atas sensitiviti bangsa Melayu untuk jangkamasa panjang kepada ratifikasi ICERD. Oleh kerana ICERD ini masih diragui tentang kesan jangka panjang ke atas nilai dan identiti bangsa, perbincangan dan wacana intelektual perlu diteruskan dalam khalayak warga Malaysia sebelum ia dibawakan ke Parlimen untuk dibincangkan oleh para elit politik.

Malaysia tidak perlu terburu-buru menandatangani ICERD dan kita tidak perlu beremosi, menuding jari dan mengambil kepentigan kepartian, bincanglah dengan waras dan penuh wibawa. Ini soal nilai dan identiti bangsa dan negara kita yang berdaulat.

Oleh : Shamrahayu A. Aziz

Sunday, November 11, 2018

Antara ketuanan Melayu, Bumiputera, Cina dan India

TERAMAT sedih melihat apabila seorang menteri bertaraf negarawan tidak dapat membezakan antara perkara pokok dengan ranting. Atau lebih tepat lagi disebut sebagai fiqh awlawiyyat dengan maksud memahami keutamaan. Antara mana dia wajib, sunat, makruh dan haram.

Sebagai ahli politik, menteri dan negarawan, sudah tentu perkara ini sudah menjadi mainan bibir. Namun, ia tidak berlaku. Sudahlah sebelum ini kenyataan demi kenyataan penuh kontroversi. Ini tidak termasuk lagi isu menayang ‘body’, terbaharu isu ketuanan Melayu disensasi. Apabila menjadi viral, maka berlakulah apa yang disebut sebagai defensif.

Memanglah Melayu pada hari ini dilanda pelbagai masalah, seolah-olah Melayu tidak menjadi tuan lagi dalam negara sendiri. Tetapi itu bukan bermakna, kita menjadi celupar dengan berkata, ketuanan Melayu sudah berakhir. Fikir dulu sebelum berkata.

Tidakkah kita sedar bahawa ‘ketuanan’ setiap bangsa yang menjadi majoriti di dunia sentiasa mengakar. Sebut sahaja negara apa, China, India, Indonesia, Thailand, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan sebagainya.

Rantau ini asal-usulnya adalah kepunyaan orang Melayu. Sebab itu, seluruh dunia mengenali sebagai kepulauan Melayu atau Malay Archipelago. Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).

Sudah menjadi lumrah, sesiapa yang menjadi tuan di sesebuah negara itu, bangsa, agama dan institusi monarki (jika ada) akan lindungi atau kadangkala dimaktubkan dalam Perlembagaan. Misalnya, imuniti raja dan agama Buddha di Thailand. Di Thailand, imuniti raja mengatasi segala-galanya atau lebih dikenali sebagai ‘lese-majeste laws’. Undang-undang ini masih digunakan di kalangan negara-negara di dunia ini yang mengamalkan pemerintahan beraja seperti Poland, begitu juga Netherlands dan Sepanyol.

Sesiapa yang mengkritik atau menggugut raja Thailand akan dipenjara lebih 15 tahun tanpa dibicarakan. Undang-undang yang telah berusia lebih 100 tahun masih dipertahankan sehingga ke hari ini.

Seorang aktivis politik Thailand, Daranee Charnchoengsilpakul pernah ditangkap dan dipenjara tanpa bicara pada Julai 2008 kerana mengkritik institusi raja Thai. Begitu juga dengan seorang rakyat Australia, Harry Nicolaides, pengarang dan pensyarah kolej, dipenjarakan pada 31 Ogos 2008 lalu, kerana mengkritik keluarga diraja Thailand dalam novel yang diterbitkan dalam tahun 2005 berhubung akaun perbelanjaan keluarga diraja Thai.

Apakah kita tidak melihat bagaimana umat Islam dihina, dianiaya, dizalimi dan dibunuh saban hari kerana mereka tidak menjadi tuan lagi meskipun berada di tanah air sendiri.

Sebab itu saya sarankan ahli politik bertaraf menteri ini, banyakkan membaca bagi menambah ilmu. Sekadar menjadi pendebat terbaik, itu bukan jaminan kita akan menteri, pentadbir dan ahli politik yang baik dan disegani.

Konsep ketuanan Melayu merujuk kepada kepada Melayu sebagai tuan asal tanah ini. Melayu perlu diberikan hak yang sewajarnya. Inipun sudah termaktub dalam perlembagaan. Nampaknya, penjajah Inggeris lebih faham Melayu daripada kita sebagai rakyat Malaysia

Sebab itu, nama-nama penjajah iaitu bekas-bekas pegawai Inggeris yang memahami Melayu seperti Sir Frank Swettenham, Sir R.O Windsted, Sir George Maxwell, Sir Cecil Clementi, Ronald Bradel dan lain-lain lagi, turut mengingatkan penjajah British yang berpusat di London supaya jangan memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946, selepas Perang Dunia Kedua.

Pegawai penjajah yang memahami orang Melayu menasihatkan, jika Malayan Union bertujuan untuk membalas dendam terhadap Melayu dengan menarik hak istimewa Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu, orang Melayu akan bangkit menentang.

Nasihat ini tidak diendahkan Gabenor British berpusat di London, mereka bertegas melaksanakan agenda Malayan Union. Akhirnya, seluruh umat Melayu bangkit menentang Malayan Union sehingga Malayan Union terkubur dan seterusnya negara menuju kemerdekaan. Apakah menteri muda kita tidak belajar daripada sejarah ini? Naif sangat-sangat.

Selaku orang Cina yang memahami sejarah biar saya jelaskan sekali, ketuanan Melayu hanya tinggal nama, sebenarnya tuan adalah orang lain. Hujah saya yang pertama, siapakah yang menguasai ekonomi dan tanah-tanah strategik di negara ini? Siapa yang menjadi taukeh? Siapakah yang menjadi pekerja (hamba). Melayu/bumiputera atau Cina. Lebih dahsyat, membaca iklan perjawatan, “untuk Cina sahaja” atau for Chinese only. Apa! Ini Republik Rakyat China ke?

Kedua, dominasi bahasa Cina dan Sekolah Cina. Media elektronik dan cetak Cina semakin mengakar dengan bersemaraknya sekolah Cina yang bertambah saban tahun, melalui bantuan kerajaan sepenuhnya. Sedih mendengar, apabila ada pemimpin yang berkata, orang Melayu mesti belajar bahasa Cina kerana negara China akan bangkitkan sebagai kuasa ekonomi. Persoalannya, bagaimana pula Cina yang duduk di tanah air tercinta ini tidak perlu menfasihkan diri dengan bahasa Melayu. Kenapa kita begitu naif?

Ketiga, lihat pula budaya mereka berkembang. Tulisan Cina dan budaya Cina dipamerkan di khalayak tanpa segan silu seolah-olah budaya bangsa mereka mengakar dan majoriti. Rata-rata kita lihat, terutama di kawasan majoriti Cina, kebanyakan maklumat seperti banner, bunting, risalah, bahasa pengantara dan lain-lain, semuanya dalam bahasa Cina yang langsung tidak difahami oleh orang Melayu. Semua ini dibenarkan, tanpa kawalan. Sebab itu, apabila tiba musim perayaan, Malaysia seperti negara China, negara India dan negara Kristian. Tenggelam habis identiti Melayu dan Islam.

Keempat dan bukan yang terakhir, lambakan NGO-NGO mereka mengatasi NGO-NGO Melayu. Orang Cina sahaja ada lebih 9,000 mengatasi NGO-NGO bangsa lain termasuk Melayu. Ini tidak termasuk kebebasan menubuhkan persatuan di universiti awam dan awasta. Apabila ada sedikit sahaja hak mereka dicuit, lihat bagaimana mereka bangun dan bersatu. Tetapi kita masih buta.

Jangan haraplah kelibat mereka memakai baju Melayu dan bersongkok meskipun berada di Parlimen dan majlis rasmi, berbanding dengan Melayu yang terhegeh-hegeh memakai pakaian tradisi Cina dan kurta. Rata-rata kita lihat, mereka lebih rela dan berbangga memakai tali leher dan blazer daripada berasimilasi dengan budaya Melayu.

Peliknya, apabila Melayu mengangkat keris yang menjadi simbol dan identiti Melayu seperti yang pernah dilakukan oleh Naib Presiden UMNO, Hishamuddin Husein ketika Perhimpunan Agong UMNO suatu ketika dahulu, setiap hari akhbar Cina memainkan isu betapa rasisnya Melayu. Pendek kata, apabila Melayu mengagungkan Melayu itu rasis. Apabila mereka lakukan, itu hak selaras dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ketika cuti hari perayaan pula, jika kita cuti hari dua hari. Mereka pun dapat dua hari. Semua ini dilakukan ketika cuti sekolah. Ini tidak termasuk cuti-cuti yang lain. Desakan supaya Deepavali turut diberikan cuti dua hari sudah lama berkumandang. Punya baiklah Melayu tetapi mereka masih tidak puas hati.

Pada hemat saya, sebenar isu ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan politik. Mereka sengaja menggunakan isu ini untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu. Dengan harapan selepas ini tidak ada lagi satu bangsa yang mempunyai kelebihan atau keutamaan. Bila semua ini tiada, mudahlah untuk diranapkan.

Apakah kita sudah lupa bagaimana, Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) mendesak agar hak istimewa ini orang-orang Melayu dihapuskan pada tahun 1999?

Belajarlah…ambillah pengajaran wahai pemimpin negaraku. Lihatlah negara lain bagaimana mereka membina negara bangsa. Contohilah Brunei dan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Brunei mempunyai will power yang tinggi dalam membina negara. Apa jua perkara yang boleh mematikan ketuanan Melayu Islam di sana, segera diambil tindakan. Hak-hak bukan Melayu diberikan, tetapi dalam batas-batas tertentu, bukannya semuanya Malaysia Boleh!

Demi Allah, saya tidak pernah memusuhi Cina atau bukan Islam yang lain, kerana saya datang daripada lubuk yang sama. Jangan sama sekali pula ada Melayu memusuhi mereka kerana membaca artikel ini. Manusia, apa jua bangsanya, mereka tetap makhluk Allah. Saya hanya mahukan yang berhak diberikan haknya. Manakala, yang tidak berhak, berpada-pada dalam menuntut hak. Jangan pula kita mendiskriminasikan.

Saya hanya sangat benci kepada sikap ultra kiasu mereka yang tidak pernah puas dan sentiasa mahu memutarbelitkan sejarah.

Wednesday, November 7, 2018

Tidak Ada Keperluan Ratifikasi ICERD

Saya ingin menegaskan pendirian sebagai Timbalan Presiden UMNO bahawa tidak wujud keperluan meratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) oleh Malaysia.

Pertama, selari dengan misi dan visi Wawasan 2020 oleh YAB Perdana Menteri sendiri, negara ini mesti diurus, dibangun dan dimajukan dengan acuan dan cara kita sendiri.

Justeru kita harus membangunkan tanah air ini dan mengurus kepelbagaiannya dengan menggunakan kearifan tempatan. Telah nyata bahawa Malaysia adalah antara negara majmuk dan multiracial yang paling berjaya dalammenguruskan kepelbagaiannya, walaupun belum sempurna.

Kedua, pendirian YAB Perdana Menteri selama ini adalah untuk memastikan tuntutan atau keriuhan kelompok kecil atau minoriti tidak seharusnya diangkat dengan cara yang boleh memperjudikan kemaslahatan serta keamanan majoriti rakyat Malaysia. (Rujuk temuramah Tun Mahathir yang disiarkan di Washington Post pada 15 Mei 2002).

Maknanya, kepentingan semua kaum mesti diurus dengan pendekatan mengutamakan kepentingan kesejahteraan masyarakat secara kolektif. Justeru, di Malaysia, atas sifat kemajmukannya, diskriminasi positif diinstitusikan dalam perlembagaan bukan sebagai tindakan perkauman, tetapi usaha mengurangkan kesenjangan atau ‘inequality’.

Ternyata ia secara langsung bukan sahaja berjaya mengurangkan kesenjangan, tetapi mewujudkan keamanan, kerukunan dan kesejahteraan dalam Malaysia pascamoden.

Ketiga, kandungan, saranan serta penguatkuasaan ICERD adalah berpandukan doktrin, pemahaman serta saranan masyarakat luar yang asing dan tidak bertepatan dengan konteks dan fabrik sosial Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai keunikan tersendiri.

ICERD digubal pada tahun 1969, oleh beberapa negara barat yang berpengaruh berlandaskan doktrin kebebasan citra mereka. Di waktu itu, kebanyakan negara lain masih lagi berantakan dengan pelbagai konflik dalaman dan memperjuangkan kemerdekaan.

Yang menariknya, 12 tahun sebelum ICERD digubal, sebuah Negara Kesepakatan bernama Malaya telah dibentuk oleh tiga kaum terbesar penduduknya, iaitu Melayu, Cina dan India. 1957, ketiga-tiga kaum ini, telah membuktikan kepada negara lain di dunia bahawa sebuah negara pelbagai bangsa dan agama boleh dibentuk dengan aman hasil permuafakatan yang erat.

Harus diingat, pada 1957 juga, orang kulit hitam tidak boleh berada dalam bas yang sama dengan orang kulit putih. Apatah lagi menerima pendidikan di sekolah yang sama, atau universiti yang sama dengan bangsa kulit putih.

Jelas sekali, Malaysia dengan konsep negara Kesepakatannya, telah lama mendahului negara lain dalam membendung segala bentuk diskriminasi perkauman dalam apa jua bentuk.

Keempat, Malaysia dibentuk sebagai sebuah negara dengan karakternya tersendiri. Karakter ini tidak digubal oleh UMNO tetapi oleh sebuah suhuranjaya bebas antarabangsa yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid.

Suruhanjaya Reid semasa menggubal perlembagaan persekutuan, telah merujuk dan mendengar dengan sebanyak-banyaknya dari semua pemegang taruh tanah air ini.

Setiap satu luahan, saranan serta permintaan yang dikemukakan, telah dipertimbangan dan diolah dengan adil. Maka atas saranan dan kefahaman ahli Suruhanjaya Reid, wujudlah Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang mengikat dan menjadi asas Malaysia selaku sebuah negara hukum yang berdaulat.

Perlembagaan Persekutuan telah mengambil kira dan mengiktiraf Institusi Raja-raja, hak dan kepentingan khas orang melayu, pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Semua ini bukan sekadar sejarah yang termaktub. Tetapi inilah perjalanan sebenar sebuah negara yang semenjak sebelum dan sesudah merdeka dicorakkan oleh pemimpin dan parti-parti politik yang memperjuangkan nasib kaum masing-masing.

Kelima, tindakan meratifikasi ICERD akan memberi kesan kritikal kepada struktur dan demografi masyarakat Malaysia secara besar, radikal dan membimbangkan.

Ini termasuklah kedudukan serta masa depan institusi-institusi yang melakukan intervensi sosial yang kritikal seperti MARA, UiTM serta peruntukan Tanah Rizab Melayu.

Saya ingin jelaskan bahawa semua intervensi ini bukan sama sekali bertujuan untuk mendiskriminasikan mana-mana kaum atau kelompok.

Ia adalah instrumen penstrukturan semula masyarakat khusus untuk bangsa Melayu yang sangat tertinggal hingga saat ini. Lebih penting untuk diingat, Malaysia senantiasa telus dalam pelaksanaan intervensi sosialnya, dengan dasar yang jelas, tidak terselindung dan difahami oleh pelbagai kaum lain.

Keenam, pemerkasaan serta pengukuhan terhadap perlindungan dan pengiktirafan kaum dan etnik di Malaysia tidak pernah sama sekali diabaikan, apatah lagi dipinggirkan dalam memakna kemerdekaan dan membangunkan Malaysia.

Melalui pelbagai kesepakatan politik, pemimpin pelbagai parti politik berasaskan kaum, senantiasa mencari jalan dan formula untuk mengukuhkan kepentingan kaum masing-masing tanpa menidakkan kepentingan bangsa lain.

Selain peristiwa 13 Mei 1969, Malaysia tidak menyaksikan konflik perkauman yang serius tercetus atas sebab diskriminasi perkauman. Tidak ada sekolah Cina atau Tamil yang dihalang atau ditutup sesuka hati. Tidak ada perniagaan bukan Melayu yang dimiliknegarakan. Tidak ada dasar pengambilalihan tanah bukan melayu dan diserahkan kepada bangsa Melayu. Tidak ada.

Semua itu tidak pernah berlaku di Malaysia dan tidak akan berlaku selamanya. Malah Malaysia adalah contoh negara kesepakatan paling dinamik dan harmoni yang tiada padanan dengan negara lain. Sekalipun selama ini kita tidak meratifikasi ICERD.

Ketujuh, struktur serta pendekatan yang diambil oleh Malaysia bagi mengurus kepelbagaian kaum di negara ini tidak radikal dan tidak menimbulkan masalah serta konflik dalaman di negara kita. Keharmonian serta persefahaman antara kaum adalah perkara yang bukan sahaja menjadi nadi negara ini, tetapi identiti kita di pentas dunia.

Malah kekuatan sebenar Malaysia ialah kepelbagaiannya.

Ia telah memberikan Malaysia satu kedinamikan serta keanjalan yang tiada bandingannya. Dan kerana itu, kepelbagaian kaum di Malaysia senantiasa menjadi asas serta faktor pertimbangan dalam setiap tindakan Kerajaan baik dalam menggubal dasar luar, program ekonomi sehinggalah dasar pendidikan dan keselamatan.

Ada pihak yang cuba mempertahankan pelan meratifikasi ICERD ini dengan menghujahkan bahawa kita akan melakukan pengecualian kepada sesetengah artikel yang tidak sesuai dengan konteks tempatan seperti yang dilakukan oleh negara-negara, antara lain, Afghanistan, Perancis, Bahrain dan Switzerland.

Misalnya Malaysia boleh mencadangkan beberapa pengecualian seperti Artikel 4(c) tentang institusi awam yang berasaskan “diskriminasi” kaum bagi mempertahankan institusi kepentingan Melayu dan, Artikel 5(d)(iv) tentang hak memilih pasangan, bagi mengelakkan liberalisasi perkahwinan jantina yang sama.

Tetapi tidak boleh mudah termakan dan menerima bulat-bulat penjelasan sebegini. Ini kerana, sekalipun, wujud pengecualian tersebut, ini sama sekali tidak bermakna kita tidak akan terus menerus dikecam, ditekan dan dipaksa untuk menerima artikel-artikel tersebut.

Saya amat tersentuh dengan kebimbangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkenaan pemeteraian ICERD. Sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara, pengamal undang-undang yang berpengalaman dan autoritatif, kerisauan beliau perlu diberi perhatian oleh kita.

Beliau berpendapat, jika dimeterai, perjanjian ini akan memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada pelbagai pihak untuk mengambil kesempatan dan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen yang telah dimeterai.

Malah, menurut beliau, kerajaan akan seterusnya terpaksa menghapuskan ‘diskriminasi kaum’ dengan meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan hal tersebut.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah cuba mempertahankan ICERD. Beliau menggelarkan mereka yang menentang ICERD sebagai tidak memahami Perlembagaan Persekutuan secara terperinci kerana kononnya tiada perkataan ‘hak’, ‘ketuanan’ dan ‘Bumiputera’ dalam Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Islamic Renaissance Front (IRF), mengatakan yang kerisauan orang Melayu berhubung kesan ICERD adalah setakat ‘hearsay’ atau tidak benar. Ini kerana perjanjian tersebut telah menjelaskan secara terang, perbezaan di antara amalandiscriminatory dengan dasar afirmatif untuk memberdaya golongan Melayu-Bumiputera.

Sekalipun dua pihak ini menerima ICERD, saya yakin pandangan bekas Ketua Hakim Negara adalah jauh lebih menyeluruh, berasas dan mempunyai pemberat yang lebih baik.

Lebih penting, tanpa ICERD, ini tidak pernah sesekali bermakna yang kita akan menghentikan ikhtiar menambah baik perlindungan kepada golongan minoriti.

Usaha ini boleh dilakukan dengan mengadakan sinergi badan-badan bukan kerajaan (NGO) tempatan daripada fikrah yang pelbagai, memandangkan mereka lebih memahami konteks masyarakat Malaysia.

Dalam laporan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) bulan ini misalnya, ia telah menggariskan pelbagai masalah golongan marginal dan minoriti yang lebih utama untuk diperjuangkan. Malah mereka telah menggariskan bersama cadangan tindakan susulan yang patut dilakukan kerajaan dan NGO yang berkaitan.

Antaranya diskriminasi golongan Mualaf atau ‘saudara baru’ di tempat kerja yang boleh diatasi dengan memperkenalkan lebih banyak program sokongan dan penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi tempat kerja.

Demikian juga dengan kes diskriminasi yang menghalang lelaki-lelaki Muslim untuk bersolat Jumaat mahupun fardu.

Meskipun hak beragama dan mengamalkannya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi perkara ini hanya boleh dikuatkuasakan kepada badan dan entiti awam dan tidak pada majikan swasta. Oleh itu, solusi yang lebih konkrit adalahmemperkenalkan undang-undang menghukum majikan swasta yang menghalang penganut apa-apa agama untuk mengamalkan kepercayaannya ketika bekerja.

Berbanding meratifikasi ICERD yang bukan sahaja menjejaskan asas Perlembagaan Persekutuan dan tidak menyelesaikan masalah, adalah lebih baik untuk kita melihat isu sebenar dan memfokuskan kepada penyelesaiannya berasaskan acuan dan kearifan tempatan.

Tuntasnya, saya tidak merasa wujud kepentingan untuk meratifikasi perjanjian ini dan terikat kepadanya.

Pertama, ia tidak mengikut konteks Malaysia kerana berlainan acuan dan mengikut pemikiran Barat.Kedua, wujud alternatif lain selain meratifikasi ICERD. Ketiga, fokus perlu diberikan kepada kesan jangka masa panjang pasca ratifikasi kepada fabrik masyarakat Malaysia.Keempat, wujud kaedah pemerkasaan hak asasi manusia lain yang boleh diambil perhatian.

Sekarang bukan masanya untuk semua perkara yang sangat jelas dan termaktub menjadi kabur hanya kerana kita mahu menggunakan lensa barat dalam melihatnya.

Sekali lagi, saya, menolak ICERD.

Tuesday, November 6, 2018

Awas Agenda Tersembunyi ICERD

ADALAH suatu yang pelik lagi mencurigakan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy bersungguh-sungguh mahu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Ini menggambarkan seolah-olah akan atau telah berlaku diskriminasi kaum dan ICERD sebagai jalan keluarnya. Tunjukkan kaum mana satu menjadi mangsa diskriminasi?

Konvensyen ini sebenarnya sudah lapuk dan ketinggalan zaman malah banyak negara tidak membuat ratifikasi tersebut. Ada pemimpin di negara ini pula terhegeh-hegeh mahu menyambutnya. Konvensyen ini sebahagian daripada lakonan Barat seolah-olah menentang diskriminasi tetapi pada masa sama menjadi pemangkin diskriminasi yang memberi faedah kepada Barat.

ICERD bukan sahaja tidak bermanfaat malah mendedahkan negara ini pada jerat terma-terma yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Asal usul ICERD adalah Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 beracuan Barat. Lebih daripada itu, ICERD sangat lapuk dalam konteks Malaysia yang jauh lebih awal tampil sebagai penentang diskriminasi di pentas dunia.

Ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) masih lena dibuai mimpi, Malaysia telah bangkit menentang dasar apartied di Afrika Selatan. Apakah ini bukan penentangan terhadap diskriminasi? Kemudian Malaysia berada di barisan depan menentang pembersihan etnik Bosnia tahun 1990-an dan terbaru kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Malaysia tidak memerlukan ratifikasi hak asasi manusia yang lapuk seperti ICERD. Lebih menyulitkan apabila pengecualian di sesebuah negara terhadap perkara yang disebut dalam ICERD masih boleh dicabar oleh negara lain supaya digugurkan. Ini mendedahkan kepada satu penjajahan Barat terhadap hal ehwal dalaman negara ini.

Persoalan yang belum terjawab ialah kenapa teruja sangat dengan konvensyen yang lapuk ini? Adakah kaum tertentu dinafikan mendapat hak yang sama seperti orang Melayu dan bumiputera? Adakah orang Melayu penindas kejam seperti orang kulit putih di Afrika Selatan?

Bukanlah suatu yang mustahil kalau Perkara 153 (Hak-hak keistimewaan orang Melayu), Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), Perkara 89 (Tanah Rizab Melayu) dan Perkara 3(1) (Islam sebagai Agama Persekutuan) dibaca sebagai satu bentuk diskriminasi dalam acuan Barat. Ini merujuk Perkara 2.2 ICERD yang mengungkapkan bahawa segala bentuk diskriminasi kaum mesti dihentikan selepas tempoh masa tertentu.

Kalau dilihat dari sudut pandang yang penuh muslihat dan berkepentingan, kelihatan orang Melayu diberi kelebihan dan keistimewaan oleh Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun kalau diteliti dengan jujur, orang Melayu tidak menggunakan kelebihan itu, apa lagi untuk menindas kaum lain. Sebaliknya, orang Melayu yang ditindas secara terhormat kerana terlalu bertolak ansur dan ditolak secara beransur-ansur.

Lihatlah bagaimana Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak diendahkan oleh sesetengah dalam kalangan bukan Melayu. Keadaan ini ditambah dengan sekolah vernakular penghantar bahasa ibunda yang dibantu oleh kerajaan. Sudahlah ingkar Perkara 152 diberi bantuan pula. Ini mendukung Perkara 152 atau apa?

Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan pun telah digugah oleh pihak tertentu walaupun Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan kebebasan mengamalkan agama selain Islam. Tidak wujud langsung diskriminasi beragama terhadap kaum tertentu.

Menerima ratifikasi ICERD dengan sendirinya menafikan beberapa perkara teras dan asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Janji manis bahawa ada “pengecualian” terhadap perkara-perkara tertentu ICERD menimbulkan persoalan apabila frasa “menghapus diskriminasi” sangat kukuh dan dominan dalam konvensyen itu. Bacalah yang tersirat dari tersurat.

Sunday, November 4, 2018

Merungkai Isu Ketuanan Melayu

Isu ketuanan Melayu menjadi isu panas dari waktu ke waktu. Jika dahulu golongan yang membangkitkan isu itu rata-rata ialah kalangan bukan Melayu, kini sejumlah orang Melayu sendiri menjadi jurubicara untuk mempersoalkannya.

Isu ketuanan Melayu tampaknya berkait rapat dengan suasana politik semasa yang mencuba mengetengahkan kesaksamaan dan menghindari sentimen adanya keturunan yang dikatakan lebih utama daripada kaum lain.

Ketuanan Melayu dengan padanan bahasa Inggerisnya Malay superiority dianggap sensitif dalam konteks kepelbagaian kaum yang menjadi rakyat negara ini. Konotasi negatif yang dikatakan timbul ialah persoalan jika orang Melayu dikatakan tuan, adakah kaum-kaum lain jadi hamba.

Tentu tafsiran “Melayu tuan dan kaum lain hamba, itu bukan yang dimaksudkan oleh pendukung gagasan ketuanan Melayu. Namun itulah isu yang sukar dielakkan dalam polemik tentang ketuanan Melayu.

Kalangan yang menolak ketuanan Melayu, di samping yang berasaskan idealisme kesamarataan, khususnya dalam senario gagasan Malaysia baharu, ada pula yang berasaskan hujah undang-undang bahawa ketuanan Melayu tidak diungkapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu ketuanan Melayu dianggap ilusi semata-mata.

Ketara juga bahawa penolakan ketuanan Melayu berkaitan erat dengan dakwaan kegagalan pendukungnya, iaitu UMNO dalam merealisasikan gagasan itu selama enam dekad menjadi parti utama pemerintah.

Dalam konteks isu semasa, contoh yang turut disebut ialah kepalsuan konsep ketuanan Melayu apabila sejumlah tuan Melayu kecundang di tangan golongan yang bukan tuan.

Misalnya, seorang ahli perniagaan muda bukan Melayu bernama Jho Low dikatakan berjaya memperdayakan pemimpin Melayu sehingga mengucar-kacirkan kestabilan ekonomi dan politik negara. Maka timbul suara yang menyoal siapa yang sebenarnya menjadi tuan.

Ternyata bahawa isu ketuanan Melayu memang cukup rumit untuk dianalisis dan dirungkai. Golongan yang berpegang pada adanya dan pentingnya ketuanan Melayu berhujah bahawa istilah itu tidak semestinya diungkapkan dalam undang-undang negara, terutama Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana semangatnya wujud dalam sistem politik negara dan rantau alam Melayu sejak ratusan tahun lalu dalam sistem kesultanan Melayu dan berterusan dalam zaman moden meskipun dengan perubahan strukturnya, iaitu Raja Berperlembagaan.

Ketuanan Melayu dikaitkan dengan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini (dan malahan juga wilayah politik lain di Kepulauan Melayu) yang dengan sendirinya dianggap pemilik asalnya.

Maka itu “tuan” dalam konteks ketuanan Melayu tidak berkaitan dengan makna hubungan antara tuan dengan hamba, tetapi merujuk kepada pemilik asal tanah air.

Hujah itu selaras dengan fakta bahawa nama negara ini sebelum tertubuhnya Persekutuan Malaysia ialah Persekutuan Tanah Melayu yang dalam zaman penjajahan Inggeris terdiri daripada Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, di samping Negeri-negeri Selat.

Isu yang dibangkitkan oleh penentang ketuanan Melayu dalam konteks sejarah negara sesudah kemerdekaan pada tahun 1957, khususnya dengan pemberian kewarganegaraan kepada kaum-kaum yang asalnya merantau (atau sebenarnya lebih banyak yang dibawa oleh penjajah Inggeris) ialah - adakah taraf ketuanan Melayu masih relevan?

Kedaulatan
Oleh itu, ada pejuang dan sarjana Melayu, seperti Prof. Emeritus Datuk Zainal Kling yang menyarankan istilah “kedaulatan Melayu” adalah selaras dengan padanan Inggerisnya Malay sovereignty. Kedaulatan Melayu tampaknya lebih lunak dan ilmiah serta kurang menimbulkan konotasi negatif atau rasa sensitif pada warganegara keturunan bukan Melayu.

Istilah itu selaras dengan istilah “martabat Melayu” yang saya gunakan dalam beberapa wacana lisan dan tulisan untuk menunjukkan bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini.

Bangsa Melayu memang telah berdaulat dan bermartabat sejak awal abad Masihi dengan wujudnya Kerajaan Melayu lama seperti Campa (abad ke-3 hingga abad ke-14 Masihi), Langkasuka (abad ke-6 Hingga abad ke-7 Masihi) dan paling terkenal serta luas jajahan takluknya Kerajaan Sriwijaya (abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi).

Sesudah itu muncul kesultanan Melayu di pelbagai pusat tamadun Melayu di seluruh Kepulauan Melayu seperti Kesultanan Samudera Pasai, Kesultanan Aceh, Kesultanan Melaka, Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Kesultanan Kutai, Kesultanan Patani dan Kesultanan Johor-Riau-Lingga.

Pokoknya, dengan istilah ketuanan, kedaulatan atau martabat, seluruh warganegara Malaysia perlu akur kepada hakikat bahawa bangsa Melayu mempunyai kedudukan yang khusus di negara ini. Pengiktirafan akan kedaulatan dan martabat bangsa Melayu itu direalisasikan melalui peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan.

Pemaktuban peruntukan itu berasaskan faktor sejarah dan realiti pada waktu kemerdekaan dicapai dan dipersetujui para pemimpin yang mewakili kaum-kaum utama pada waktu itu, iaitu Melayu, Cina dan India.

Antara perkara yang berkaitan dengan kedaulatan dan martabat Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah kedudukan Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu (kemudian ditambah dengan Bumiputera).

Empat perkara itulah yang menjadi pancang utama kenegaraan dan dikenal juga sebagai kontrak sosial yang merupakan baiah rakyat.

Perihal kedaulatan dan martabat Melayu itu turut dijadikan dua daripada tiga asas Kebudayaan Kebangsaan yang dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971.

Asas pertama Kebudayaan Kebangsaan ialah kebudayaan asal rantau ini yang merujuk kepada kebudayaan Melayu. Asas kedua ialah unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai. Asas ketiga pula ialah Islam sebagai unsur penting.

Asas pertama dan ketiga itu jelas berkaitan dengan kedaulatan dan martabat Melayu. Demikian juga dalam bidang ekonomi, pewujudan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (1970-1990) yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat Malaysia.

Ini berkaitan rapat juga dengan kepentingan orang Melayu yang perlu dibela dan diperkasakan dalam pembangunan negara.

Sebagai rumusan, kedaulatan, martabat dan kepentingan Melayu perlu diberi perhatian oleh pihak mana pun yang mentadbirkan negara kerana perkara itu menjadi asas penting kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara di sisi memupuk keadilan sosioekonomi rakyat.

Gagasan Malaysia baharu mestilah diisi dengan agenda dan program pengukuhan pancang kenegaraan dan kontrak sosial itu, bukan pencairan atau pengurangannya.

Kedaulatan, martabat dan kepentingan Melayu, sebagaimana penegasan tokoh sejarah Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, perlu terus dipertahankan dan diperkukuh dalam proses pembinaa negara (nation building) Malaysia.

Seandainya pancang itu dirobohkan, maka negara kita kehilangan asas kenegaraan yang penting.

Penting ditegaskan juga bahawa pancang itu sama sekali tidak menafikan atau mengurangkan hak warganegara bukan Melayu kerana hak itu turut dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh : Awang Sariyan