Wednesday, December 5, 2018

Lain kali Cakap Biar Te­raanggg...

Yang ditanya berkaitan subjek Sejarah di sekolah, tetapi jawapan Menteri rupa-rupanya tidak merujuk kepada perkara itu sebaliknya sejarah secara umum.

Setelah hampir 24 jam tular, itulah penjelasan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menerusi kenyataan Setiausaha Akhbar beliau, Sharul Aman Mohd. Saari. Memetik perenggan kedua kenyataan akhbar itu:

“Semasa menjawab so­alan tambahan YB Pontian, YB Dr. Maszlee hanya menyebut bahawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.”.

Memanglah, tapi apa yang ditanya Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) masih berkisar subjek Sejarah se­perti mana soalan asal, bukan sejarah umum.

Ini kerana soalan tambahan masih perlu dalam konteks soalan asal dan sebab itu satu lagi soalan tambahan selepas Ahmad iaitu daripada Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) juga berkaitan subjek Sejarah sekolah.

Dalam soal Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat nampaknya Ahmad dan Nik Nazmi lebih arif, mereka pun bukan junior di legislatif se­perti Dr. Maszlee. Kalau ada yang tidak faham rujuk Perkara 24 (3) Peraturan Mesyuarat.

Sebenarnya apa yang berlaku semalam dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat itu harus menjadi pengajaran agar hal sama tidak berulang.

Pertama jika ada kesilapan laporan, eloklah segera diperbetulkan bukan hingga 24 jam. Untuk fail saman fitnah pun, faktor masa itu penting.

Kedua, berhentilah main politik lebih-lebih lagi di Dewan Rakyat. Serahlah kepada mereka yang lebih berpengalaman untuk tunjuk silat bab ini. Bijak mana pun, kalau tahap rookie, elok perhati dulu. Buku teks dengan dunia politik sebenar berbeza.

Ketiga, ingatlah kata-kata Tan Sri P. Ramlee kepada Ibrahim Pendek yang ketika itu datang berjumpanya untuk meminjam buah dadu dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Apa katanya:

“Lain kali cakap biar te­raanggg..”.

Oleh : Herman Hamid

No comments:

Post a Comment