Sebagai ahli politik, menteri dan negarawan, sudah tentu perkara ini sudah menjadi mainan bibir. Namun, ia tidak berlaku. Sudahlah sebelum ini kenyataan demi kenyataan penuh kontroversi. Ini tidak termasuk lagi isu menayang ‘body’, terbaharu isu ketuanan Melayu disensasi. Apabila menjadi viral, maka berlakulah apa yang disebut sebagai defensif.
Memanglah Melayu pada hari ini dilanda pelbagai masalah, seolah-olah Melayu tidak menjadi tuan lagi dalam negara sendiri. Tetapi itu bukan bermakna, kita menjadi celupar dengan berkata, ketuanan Melayu sudah berakhir. Fikir dulu sebelum berkata.
Tidakkah kita sedar bahawa ‘ketuanan’ setiap bangsa yang menjadi majoriti di dunia sentiasa mengakar. Sebut sahaja negara apa, China, India, Indonesia, Thailand, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan sebagainya.
Rantau ini asal-usulnya adalah kepunyaan orang Melayu. Sebab itu, seluruh dunia mengenali sebagai kepulauan Melayu atau Malay Archipelago. Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).
Sudah menjadi lumrah, sesiapa yang menjadi tuan di sesebuah negara itu, bangsa, agama dan institusi monarki (jika ada) akan lindungi atau kadangkala dimaktubkan dalam Perlembagaan. Misalnya, imuniti raja dan agama Buddha di Thailand. Di Thailand, imuniti raja mengatasi segala-galanya atau lebih dikenali sebagai ‘lese-majeste laws’. Undang-undang ini masih digunakan di kalangan negara-negara di dunia ini yang mengamalkan pemerintahan beraja seperti Poland, begitu juga Netherlands dan Sepanyol.
Sesiapa yang mengkritik atau menggugut raja Thailand akan dipenjara lebih 15 tahun tanpa dibicarakan. Undang-undang yang telah berusia lebih 100 tahun masih dipertahankan sehingga ke hari ini.
Seorang aktivis politik Thailand, Daranee Charnchoengsilpakul pernah ditangkap dan dipenjara tanpa bicara pada Julai 2008 kerana mengkritik institusi raja Thai. Begitu juga dengan seorang rakyat Australia, Harry Nicolaides, pengarang dan pensyarah kolej, dipenjarakan pada 31 Ogos 2008 lalu, kerana mengkritik keluarga diraja Thailand dalam novel yang diterbitkan dalam tahun 2005 berhubung akaun perbelanjaan keluarga diraja Thai.
Apakah kita tidak melihat bagaimana umat Islam dihina, dianiaya, dizalimi dan dibunuh saban hari kerana mereka tidak menjadi tuan lagi meskipun berada di tanah air sendiri.
Sebab itu saya sarankan ahli politik bertaraf menteri ini, banyakkan membaca bagi menambah ilmu. Sekadar menjadi pendebat terbaik, itu bukan jaminan kita akan menteri, pentadbir dan ahli politik yang baik dan disegani.
Konsep ketuanan Melayu merujuk kepada kepada Melayu sebagai tuan asal tanah ini. Melayu perlu diberikan hak yang sewajarnya. Inipun sudah termaktub dalam perlembagaan. Nampaknya, penjajah Inggeris lebih faham Melayu daripada kita sebagai rakyat Malaysia
Sebab itu, nama-nama penjajah iaitu bekas-bekas pegawai Inggeris yang memahami Melayu seperti Sir Frank Swettenham, Sir R.O Windsted, Sir George Maxwell, Sir Cecil Clementi, Ronald Bradel dan lain-lain lagi, turut mengingatkan penjajah British yang berpusat di London supaya jangan memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946, selepas Perang Dunia Kedua.
Pegawai penjajah yang memahami orang Melayu menasihatkan, jika Malayan Union bertujuan untuk membalas dendam terhadap Melayu dengan menarik hak istimewa Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu, orang Melayu akan bangkit menentang.
Nasihat ini tidak diendahkan Gabenor British berpusat di London, mereka bertegas melaksanakan agenda Malayan Union. Akhirnya, seluruh umat Melayu bangkit menentang Malayan Union sehingga Malayan Union terkubur dan seterusnya negara menuju kemerdekaan. Apakah menteri muda kita tidak belajar daripada sejarah ini? Naif sangat-sangat.
Selaku orang Cina yang memahami sejarah biar saya jelaskan sekali, ketuanan Melayu hanya tinggal nama, sebenarnya tuan adalah orang lain. Hujah saya yang pertama, siapakah yang menguasai ekonomi dan tanah-tanah strategik di negara ini? Siapa yang menjadi taukeh? Siapakah yang menjadi pekerja (hamba). Melayu/bumiputera atau Cina. Lebih dahsyat, membaca iklan perjawatan, “untuk Cina sahaja” atau for Chinese only. Apa! Ini Republik Rakyat China ke?
Kedua, dominasi bahasa Cina dan Sekolah Cina. Media elektronik dan cetak Cina semakin mengakar dengan bersemaraknya sekolah Cina yang bertambah saban tahun, melalui bantuan kerajaan sepenuhnya. Sedih mendengar, apabila ada pemimpin yang berkata, orang Melayu mesti belajar bahasa Cina kerana negara China akan bangkitkan sebagai kuasa ekonomi. Persoalannya, bagaimana pula Cina yang duduk di tanah air tercinta ini tidak perlu menfasihkan diri dengan bahasa Melayu. Kenapa kita begitu naif?
Ketiga, lihat pula budaya mereka berkembang. Tulisan Cina dan budaya Cina dipamerkan di khalayak tanpa segan silu seolah-olah budaya bangsa mereka mengakar dan majoriti. Rata-rata kita lihat, terutama di kawasan majoriti Cina, kebanyakan maklumat seperti banner, bunting, risalah, bahasa pengantara dan lain-lain, semuanya dalam bahasa Cina yang langsung tidak difahami oleh orang Melayu. Semua ini dibenarkan, tanpa kawalan. Sebab itu, apabila tiba musim perayaan, Malaysia seperti negara China, negara India dan negara Kristian. Tenggelam habis identiti Melayu dan Islam.
Keempat dan bukan yang terakhir, lambakan NGO-NGO mereka mengatasi NGO-NGO Melayu. Orang Cina sahaja ada lebih 9,000 mengatasi NGO-NGO bangsa lain termasuk Melayu. Ini tidak termasuk kebebasan menubuhkan persatuan di universiti awam dan awasta. Apabila ada sedikit sahaja hak mereka dicuit, lihat bagaimana mereka bangun dan bersatu. Tetapi kita masih buta.
Jangan haraplah kelibat mereka memakai baju Melayu dan bersongkok meskipun berada di Parlimen dan majlis rasmi, berbanding dengan Melayu yang terhegeh-hegeh memakai pakaian tradisi Cina dan kurta. Rata-rata kita lihat, mereka lebih rela dan berbangga memakai tali leher dan blazer daripada berasimilasi dengan budaya Melayu.
Peliknya, apabila Melayu mengangkat keris yang menjadi simbol dan identiti Melayu seperti yang pernah dilakukan oleh Naib Presiden UMNO, Hishamuddin Husein ketika Perhimpunan Agong UMNO suatu ketika dahulu, setiap hari akhbar Cina memainkan isu betapa rasisnya Melayu. Pendek kata, apabila Melayu mengagungkan Melayu itu rasis. Apabila mereka lakukan, itu hak selaras dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketika cuti hari perayaan pula, jika kita cuti hari dua hari. Mereka pun dapat dua hari. Semua ini dilakukan ketika cuti sekolah. Ini tidak termasuk cuti-cuti yang lain. Desakan supaya Deepavali turut diberikan cuti dua hari sudah lama berkumandang. Punya baiklah Melayu tetapi mereka masih tidak puas hati.
Pada hemat saya, sebenar isu ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan politik. Mereka sengaja menggunakan isu ini untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu. Dengan harapan selepas ini tidak ada lagi satu bangsa yang mempunyai kelebihan atau keutamaan. Bila semua ini tiada, mudahlah untuk diranapkan.
Apakah kita sudah lupa bagaimana, Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) mendesak agar hak istimewa ini orang-orang Melayu dihapuskan pada tahun 1999?
Belajarlah…ambillah pengajaran wahai pemimpin negaraku. Lihatlah negara lain bagaimana mereka membina negara bangsa. Contohilah Brunei dan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Brunei mempunyai will power yang tinggi dalam membina negara. Apa jua perkara yang boleh mematikan ketuanan Melayu Islam di sana, segera diambil tindakan. Hak-hak bukan Melayu diberikan, tetapi dalam batas-batas tertentu, bukannya semuanya Malaysia Boleh!
Demi Allah, saya tidak pernah memusuhi Cina atau bukan Islam yang lain, kerana saya datang daripada lubuk yang sama. Jangan sama sekali pula ada Melayu memusuhi mereka kerana membaca artikel ini. Manusia, apa jua bangsanya, mereka tetap makhluk Allah. Saya hanya mahukan yang berhak diberikan haknya. Manakala, yang tidak berhak, berpada-pada dalam menuntut hak. Jangan pula kita mendiskriminasikan.
Saya hanya sangat benci kepada sikap ultra kiasu mereka yang tidak pernah puas dan sentiasa mahu memutarbelitkan sejarah.
Oleh : Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
No comments:
Post a Comment