SHAH ALAM 21 Nov. - Pemasangan papan tanda jalan dengan tulisan Cina di beberapa kawasan di negeri ini tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor pada 2017 tanpa dibawa ke MMKN.
“Saya kena semak sebab keputusan itu tidak ada dibawa ke MMKN. Apa pun, kita menjunjung kasih titah tuanku Sultan (tanggalkan papan tanda).
“Kita juga komited untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pusat Kaunseling Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana papan tanda bertulisan Cina boleh dipasang di daerah ini.
Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan diganti dengan papan tanda jalan satu bahasa iaitu bahasa Melayu.
Ditanya sama ada papan tanda jalan bertulisan Cina di daerah lain di negeri ini turut akan diturunkan, Amirudin memberitahu, pihaknya akan menyemak perkara itu.
“Kita tunggu kertas (keputusan pasang papan tanda bertulisan Cina) itu sebab ia tidak diberi melalui MMKN.
“Kemudian kita akan lihat secara menyeluruh tentang papan tanda itu tetapi kerajaan negeri komited untuk menjunjung kasih titah tuanku,” ujarnya. - www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment