Kedaulatan
Oleh itu, ada pejuang dan sarjana Melayu, seperti Prof. Emeritus Datuk Zainal Kling yang menyarankan istilah “kedaulatan Melayu” adalah selaras dengan padanan Inggerisnya Malay sovereignty. Kedaulatan Melayu tampaknya lebih lunak dan ilmiah serta kurang menimbulkan konotasi negatif atau rasa sensitif pada warganegara keturunan bukan Melayu.

Istilah itu selaras dengan istilah “martabat Melayu” yang saya gunakan dalam beberapa wacana lisan dan tulisan untuk menunjukkan bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini.

Bangsa Melayu memang telah berdaulat dan bermartabat sejak awal abad Masihi dengan wujudnya Kerajaan Melayu lama seperti Campa (abad ke-3 hingga abad ke-14 Masihi), Langkasuka (abad ke-6 Hingga abad ke-7 Masihi) dan paling terkenal serta luas jajahan takluknya Kerajaan Sriwijaya (abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi).

Sesudah itu muncul kesultanan Melayu di pelbagai pusat tamadun Melayu di seluruh Kepulauan Melayu seperti Kesultanan Samudera Pasai, Kesultanan Aceh, Kesultanan Melaka, Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Kesultanan Kutai, Kesultanan Patani dan Kesultanan Johor-Riau-Lingga.

Pokoknya, dengan istilah ketuanan, kedaulatan atau martabat, seluruh warganegara Malaysia perlu akur kepada hakikat bahawa bangsa Melayu mempunyai kedudukan yang khusus di negara ini. Pengiktirafan akan kedaulatan dan martabat bangsa Melayu itu direalisasikan melalui peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan.

Pemaktuban peruntukan itu berasaskan faktor sejarah dan realiti pada waktu kemerdekaan dicapai dan dipersetujui para pemimpin yang mewakili kaum-kaum utama pada waktu itu, iaitu Melayu, Cina dan India.

Antara perkara yang berkaitan dengan kedaulatan dan martabat Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah kedudukan Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu (kemudian ditambah dengan Bumiputera).

Empat perkara itulah yang menjadi pancang utama kenegaraan dan dikenal juga sebagai kontrak sosial yang merupakan baiah rakyat.

Perihal kedaulatan dan martabat Melayu itu turut dijadikan dua daripada tiga asas Kebudayaan Kebangsaan yang dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971.

Asas pertama Kebudayaan Kebangsaan ialah kebudayaan asal rantau ini yang merujuk kepada kebudayaan Melayu. Asas kedua ialah unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai. Asas ketiga pula ialah Islam sebagai unsur penting.

Asas pertama dan ketiga itu jelas berkaitan dengan kedaulatan dan martabat Melayu. Demikian juga dalam bidang ekonomi, pewujudan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (1970-1990) yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat Malaysia.

Ini berkaitan rapat juga dengan kepentingan orang Melayu yang perlu dibela dan diperkasakan dalam pembangunan negara.

Sebagai rumusan, kedaulatan, martabat dan kepentingan Melayu perlu diberi perhatian oleh pihak mana pun yang mentadbirkan negara kerana perkara itu menjadi asas penting kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara di sisi memupuk keadilan sosioekonomi rakyat.

Gagasan Malaysia baharu mestilah diisi dengan agenda dan program pengukuhan pancang kenegaraan dan kontrak sosial itu, bukan pencairan atau pengurangannya.

Kedaulatan, martabat dan kepentingan Melayu, sebagaimana penegasan tokoh sejarah Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, perlu terus dipertahankan dan diperkukuh dalam proses pembinaa negara (nation building) Malaysia.

Seandainya pancang itu dirobohkan, maka negara kita kehilangan asas kenegaraan yang penting.

Penting ditegaskan juga bahawa pancang itu sama sekali tidak menafikan atau mengurangkan hak warganegara bukan Melayu kerana hak itu turut dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh : Awang Sariyan