Pertama, selari dengan misi dan visi Wawasan 2020 oleh YAB Perdana Menteri sendiri, negara ini mesti diurus, dibangun dan dimajukan dengan acuan dan cara kita sendiri.
Justeru kita harus membangunkan tanah air ini dan mengurus kepelbagaiannya dengan menggunakan kearifan tempatan. Telah nyata bahawa Malaysia adalah antara negara majmuk dan multiracial yang paling berjaya dalammenguruskan kepelbagaiannya, walaupun belum sempurna.
Kedua, pendirian YAB Perdana Menteri selama ini adalah untuk memastikan tuntutan atau keriuhan kelompok kecil atau minoriti tidak seharusnya diangkat dengan cara yang boleh memperjudikan kemaslahatan serta keamanan majoriti rakyat Malaysia. (Rujuk temuramah Tun Mahathir yang disiarkan di Washington Post pada 15 Mei 2002).
Maknanya, kepentingan semua kaum mesti diurus dengan pendekatan mengutamakan kepentingan kesejahteraan masyarakat secara kolektif. Justeru, di Malaysia, atas sifat kemajmukannya, diskriminasi positif diinstitusikan dalam perlembagaan bukan sebagai tindakan perkauman, tetapi usaha mengurangkan kesenjangan atau ‘inequality’.
Ternyata ia secara langsung bukan sahaja berjaya mengurangkan kesenjangan, tetapi mewujudkan keamanan, kerukunan dan kesejahteraan dalam Malaysia pascamoden.
Ketiga, kandungan, saranan serta penguatkuasaan ICERD adalah berpandukan doktrin, pemahaman serta saranan masyarakat luar yang asing dan tidak bertepatan dengan konteks dan fabrik sosial Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai keunikan tersendiri.
ICERD digubal pada tahun 1969, oleh beberapa negara barat yang berpengaruh berlandaskan doktrin kebebasan citra mereka. Di waktu itu, kebanyakan negara lain masih lagi berantakan dengan pelbagai konflik dalaman dan memperjuangkan kemerdekaan.
Yang menariknya, 12 tahun sebelum ICERD digubal, sebuah Negara Kesepakatan bernama Malaya telah dibentuk oleh tiga kaum terbesar penduduknya, iaitu Melayu, Cina dan India. 1957, ketiga-tiga kaum ini, telah membuktikan kepada negara lain di dunia bahawa sebuah negara pelbagai bangsa dan agama boleh dibentuk dengan aman hasil permuafakatan yang erat.
Harus diingat, pada 1957 juga, orang kulit hitam tidak boleh berada dalam bas yang sama dengan orang kulit putih. Apatah lagi menerima pendidikan di sekolah yang sama, atau universiti yang sama dengan bangsa kulit putih.
Jelas sekali, Malaysia dengan konsep negara Kesepakatannya, telah lama mendahului negara lain dalam membendung segala bentuk diskriminasi perkauman dalam apa jua bentuk.
Keempat, Malaysia dibentuk sebagai sebuah negara dengan karakternya tersendiri. Karakter ini tidak digubal oleh UMNO tetapi oleh sebuah suhuranjaya bebas antarabangsa yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid.
Suruhanjaya Reid semasa menggubal perlembagaan persekutuan, telah merujuk dan mendengar dengan sebanyak-banyaknya dari semua pemegang taruh tanah air ini.
Setiap satu luahan, saranan serta permintaan yang dikemukakan, telah dipertimbangan dan diolah dengan adil. Maka atas saranan dan kefahaman ahli Suruhanjaya Reid, wujudlah Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang mengikat dan menjadi asas Malaysia selaku sebuah negara hukum yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan telah mengambil kira dan mengiktiraf Institusi Raja-raja, hak dan kepentingan khas orang melayu, pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Semua ini bukan sekadar sejarah yang termaktub. Tetapi inilah perjalanan sebenar sebuah negara yang semenjak sebelum dan sesudah merdeka dicorakkan oleh pemimpin dan parti-parti politik yang memperjuangkan nasib kaum masing-masing.
Kelima, tindakan meratifikasi ICERD akan memberi kesan kritikal kepada struktur dan demografi masyarakat Malaysia secara besar, radikal dan membimbangkan.
Ini termasuklah kedudukan serta masa depan institusi-institusi yang melakukan intervensi sosial yang kritikal seperti MARA, UiTM serta peruntukan Tanah Rizab Melayu.
Saya ingin jelaskan bahawa semua intervensi ini bukan sama sekali bertujuan untuk mendiskriminasikan mana-mana kaum atau kelompok.
Ia adalah instrumen penstrukturan semula masyarakat khusus untuk bangsa Melayu yang sangat tertinggal hingga saat ini. Lebih penting untuk diingat, Malaysia senantiasa telus dalam pelaksanaan intervensi sosialnya, dengan dasar yang jelas, tidak terselindung dan difahami oleh pelbagai kaum lain.
Keenam, pemerkasaan serta pengukuhan terhadap perlindungan dan pengiktirafan kaum dan etnik di Malaysia tidak pernah sama sekali diabaikan, apatah lagi dipinggirkan dalam memakna kemerdekaan dan membangunkan Malaysia.
Melalui pelbagai kesepakatan politik, pemimpin pelbagai parti politik berasaskan kaum, senantiasa mencari jalan dan formula untuk mengukuhkan kepentingan kaum masing-masing tanpa menidakkan kepentingan bangsa lain.
Selain peristiwa 13 Mei 1969, Malaysia tidak menyaksikan konflik perkauman yang serius tercetus atas sebab diskriminasi perkauman. Tidak ada sekolah Cina atau Tamil yang dihalang atau ditutup sesuka hati. Tidak ada perniagaan bukan Melayu yang dimiliknegarakan. Tidak ada dasar pengambilalihan tanah bukan melayu dan diserahkan kepada bangsa Melayu. Tidak ada.
Semua itu tidak pernah berlaku di Malaysia dan tidak akan berlaku selamanya. Malah Malaysia adalah contoh negara kesepakatan paling dinamik dan harmoni yang tiada padanan dengan negara lain. Sekalipun selama ini kita tidak meratifikasi ICERD.
Ketujuh, struktur serta pendekatan yang diambil oleh Malaysia bagi mengurus kepelbagaian kaum di negara ini tidak radikal dan tidak menimbulkan masalah serta konflik dalaman di negara kita. Keharmonian serta persefahaman antara kaum adalah perkara yang bukan sahaja menjadi nadi negara ini, tetapi identiti kita di pentas dunia.
Malah kekuatan sebenar Malaysia ialah kepelbagaiannya.
Ia telah memberikan Malaysia satu kedinamikan serta keanjalan yang tiada bandingannya. Dan kerana itu, kepelbagaian kaum di Malaysia senantiasa menjadi asas serta faktor pertimbangan dalam setiap tindakan Kerajaan baik dalam menggubal dasar luar, program ekonomi sehinggalah dasar pendidikan dan keselamatan.
Ada pihak yang cuba mempertahankan pelan meratifikasi ICERD ini dengan menghujahkan bahawa kita akan melakukan pengecualian kepada sesetengah artikel yang tidak sesuai dengan konteks tempatan seperti yang dilakukan oleh negara-negara, antara lain, Afghanistan, Perancis, Bahrain dan Switzerland.
Misalnya Malaysia boleh mencadangkan beberapa pengecualian seperti Artikel 4(c) tentang institusi awam yang berasaskan “diskriminasi” kaum bagi mempertahankan institusi kepentingan Melayu dan, Artikel 5(d)(iv) tentang hak memilih pasangan, bagi mengelakkan liberalisasi perkahwinan jantina yang sama.
Tetapi tidak boleh mudah termakan dan menerima bulat-bulat penjelasan sebegini. Ini kerana, sekalipun, wujud pengecualian tersebut, ini sama sekali tidak bermakna kita tidak akan terus menerus dikecam, ditekan dan dipaksa untuk menerima artikel-artikel tersebut.
Saya amat tersentuh dengan kebimbangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkenaan pemeteraian ICERD. Sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara, pengamal undang-undang yang berpengalaman dan autoritatif, kerisauan beliau perlu diberi perhatian oleh kita.
Beliau berpendapat, jika dimeterai, perjanjian ini akan memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada pelbagai pihak untuk mengambil kesempatan dan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen yang telah dimeterai.
Malah, menurut beliau, kerajaan akan seterusnya terpaksa menghapuskan ‘diskriminasi kaum’ dengan meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan hal tersebut.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah cuba mempertahankan ICERD. Beliau menggelarkan mereka yang menentang ICERD sebagai tidak memahami Perlembagaan Persekutuan secara terperinci kerana kononnya tiada perkataan ‘hak’, ‘ketuanan’ dan ‘Bumiputera’ dalam Perlembagaan Persekutuan.
Manakala Islamic Renaissance Front (IRF), mengatakan yang kerisauan orang Melayu berhubung kesan ICERD adalah setakat ‘hearsay’ atau tidak benar. Ini kerana perjanjian tersebut telah menjelaskan secara terang, perbezaan di antara amalandiscriminatory dengan dasar afirmatif untuk memberdaya golongan Melayu-Bumiputera.
Sekalipun dua pihak ini menerima ICERD, saya yakin pandangan bekas Ketua Hakim Negara adalah jauh lebih menyeluruh, berasas dan mempunyai pemberat yang lebih baik.
Lebih penting, tanpa ICERD, ini tidak pernah sesekali bermakna yang kita akan menghentikan ikhtiar menambah baik perlindungan kepada golongan minoriti.
Usaha ini boleh dilakukan dengan mengadakan sinergi badan-badan bukan kerajaan (NGO) tempatan daripada fikrah yang pelbagai, memandangkan mereka lebih memahami konteks masyarakat Malaysia.
Dalam laporan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) bulan ini misalnya, ia telah menggariskan pelbagai masalah golongan marginal dan minoriti yang lebih utama untuk diperjuangkan. Malah mereka telah menggariskan bersama cadangan tindakan susulan yang patut dilakukan kerajaan dan NGO yang berkaitan.
Antaranya diskriminasi golongan Mualaf atau ‘saudara baru’ di tempat kerja yang boleh diatasi dengan memperkenalkan lebih banyak program sokongan dan penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi tempat kerja.
Demikian juga dengan kes diskriminasi yang menghalang lelaki-lelaki Muslim untuk bersolat Jumaat mahupun fardu.
Meskipun hak beragama dan mengamalkannya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi perkara ini hanya boleh dikuatkuasakan kepada badan dan entiti awam dan tidak pada majikan swasta. Oleh itu, solusi yang lebih konkrit adalahmemperkenalkan undang-undang menghukum majikan swasta yang menghalang penganut apa-apa agama untuk mengamalkan kepercayaannya ketika bekerja.
Berbanding meratifikasi ICERD yang bukan sahaja menjejaskan asas Perlembagaan Persekutuan dan tidak menyelesaikan masalah, adalah lebih baik untuk kita melihat isu sebenar dan memfokuskan kepada penyelesaiannya berasaskan acuan dan kearifan tempatan.
Tuntasnya, saya tidak merasa wujud kepentingan untuk meratifikasi perjanjian ini dan terikat kepadanya.
Pertama, ia tidak mengikut konteks Malaysia kerana berlainan acuan dan mengikut pemikiran Barat.Kedua, wujud alternatif lain selain meratifikasi ICERD. Ketiga, fokus perlu diberikan kepada kesan jangka masa panjang pasca ratifikasi kepada fabrik masyarakat Malaysia.Keempat, wujud kaedah pemerkasaan hak asasi manusia lain yang boleh diambil perhatian.
Sekarang bukan masanya untuk semua perkara yang sangat jelas dan termaktub menjadi kabur hanya kerana kita mahu menggunakan lensa barat dalam melihatnya.
Sekali lagi, saya, menolak ICERD.
Oleh : Datuk Seri Mohamad Hasan
No comments:
Post a Comment