Persamaan lebih banyak daripada perbezaan
ORANG Melayu terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Mereka juga sinonim dengan amalan bergotong-royong, saling membantu dan bekerjasama dalam apa jua keadaan. Ditambah pula dengan nilai ajaran Islam yang memang mahukan umatnya bersatu padu membina kekuatan dalam menegakkan syiar agama.
Masyarakat Melayu berbeza dengan masyarakat Arab jahiliah yang gemar berperang dan bermusuhan atas alasan kecil yang tidak munasabah. Bahkan orang Melayu, sejak dahulu lagi hidup bermasyarakat dengan harmoni tanpa perpecahan yang menghuru-harakan keadaan. Ini semua adalah kerana orang Melayu Islam mempunyai banyak persamaan yang mengatasi perbezaan.
SATU MATLAMAT SATU TUJUAN
Ia ibarat sebuah kapal yang menuju destinasi yang sama. Orang Melayu yang hebat akal fikiran dan mantap imannya sudah tentu meletakkan matlamat akhir kehidupannya untuk mencapai reda Allah.
Untuk mencapai keredaan-Nya, semua aspek kehidupan telah disusun atur agar selari dengan hukum syarak termasuklah dalam isu rumah tangga, kemasyarakatan bahkan dalam isu pentadbiran dan politik negara.
Dengan matlamat yang jelas, setiap orang Melayu berperanan melaksanakan apa yang termampu dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak tanpa mengira nama kumpulan mahupun warna bendera.
Menyentuh isu agenda umat Islam dan Melayu secara keseluruhan, ia tidak mampu dilaksanakan oleh satu-satu pihak tanpa sokongan orang lain. Tanggungjawab besar ini memerlukan kekuatan dan usaha bertali arus yang terhasil daripada semangat kerjasama sesama umat Islam dan orang Melayu.
Agenda ini yang sepatutnya menyatukan seluruh orang Melayu di negara ini kerana jika agenda ini tidak dibangunkan, kepada siapa lagi yang diharapkan kalau bukan orang Melayu itu sendiri.
IDENTITI DAN SEMANGAT KEMELAYUAN
Menelusuri sejarah tamadun Melayu di rantau ini, seharusnya akan melahirkan rasa kebanggaan dengan kegemilangan sejarahnya tanpa ada rasa sedikit pun memandang kaum lain dengan pandangan hina.
Ia adalah perasaan fitrah dalam diri manusia yang mengetahui asal usul keturunannya dan identiti ini perlu disemai agar lebih membuahkan rasa cinta kepada bangsa sendiri seterusnya menyemarakkan semangat perjuangan bangsa.
Bersatu padu di bawah identiti dan semangat ini tidak menjadikan orang Melayu bersikap rasis dan menindas kaum lain, sebaliknya menjadikan mereka lebih menghargai fitrah kejadian dan berusaha meneruskan survival bangsanya yang pernah mendaulatkan agama Islam satu ketika dahulu.
TANAH WATAN YANG DIWARISI
Negara ini menjadi tanah tumpah darah kita dan ia mesti dipertahankan. Kehilangan Pulau Temasik perlu dijadikan pengajaran agar umat ini perlu membentuk kuasa politik yang kuat, satu suara dalam menjaga tanah air daripada diceroboh dan terlepas ke tangan-tangan tidak bertanggungjawab.
Tanah inilah yang bakal kita wariskan kepada generasi anak cucu selepas kita. Tiada lagi tanah lain yang diperuntukkan khusus untuk bangsa Melayu selain daripada negara Malaysia. Tanah inilah yang menyatukan kita. Kita berjuang kerananya seperti mana datuk nenek kita berjuang untuk kita hari ini.
ANCAMAN YANG SENTIASA MENGINTAI
Realiti hari ini menunjukkan banyak ancaman yang dihadapi oleh agama, bangsa dan negara kita. Semuanya mengintai-intai peluang untuk menyusup dan menyebarkan racun merosakkan anak bangsa kita.
Arus hedonisme, hiburan melampau, penularan ideologi-ideologi celupan Barat seperti liberalisme, pluralisme dan humanisme dan banyak lagi virus lain amat membimbangkan kita.
Musuh-musuh yang kita hadapi adalah sama. Meskipun mereka dilihat nampak tersusun dan strategik, hakikatnya Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa mereka sebenarnya lemah.
Mereka berjaya melaksanakan impian jahat mereka adalah disebabkan kelemahan kita dan kewujudan kita yang terpisah-pisah dan tidak bersatu padu.
Bayangkan jika umat Islam tegas sebulat suara mempertahankan hak dalam apa-apa isu, nescaya tiada lagi suara sumbang yang berani menghina dan memperlekehkan maruah agama, bangsa dan negara.
KESATUAN ADALAH PENYELESAIAN
Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Apa yang penting adalah bagaimana kita menghadapinya, adakah dengan cara yang terbaik atau dengan cara lama yang sudah terbukti tidak memberi kesan sebaiknya.
Antara jalan keluar bagi permasalahan umat Islam khususnya bangsa Melayu di Malaysia hari ini ialah duduk semeja, berbincang dan bekerjasama sesama umat Islam.
Jika kita berterusan memberikan alasan perbezaan sebagai penghalang, cuba kita senaraikan apakah perbezaan yang ada di antara kita. Agama, budaya, tanah air, cara hidup, identiti dan bahasa antara perkara besar dalam kehidupan kita. Menariknya kita berkongsi agama, budaya, tanah air, cara hidup, identiti dan bahasa yang sama.
Namun, tidak dinafikan perbezaan itu tetap ada. Nama, paras rupa, warna kulit, warna bendera sudah tentu berbeza, tapi apakah perbezaan itu lebih utama sehingga mengatasi persamaan yang disenaraikan di atas?
Sudah tentu tidak. Bersatulah, membentuk kekuatan demi menjayakan agenda perjuangan agama, bangsa dan negara tercinta. - utusan
No comments:
Post a Comment