Monday, March 14, 2016

Hati-Hati Dengan Projek Bernafsu Tinggi

Projek hartanah Forest City di Johor yang baru dirasmikan dikatakan bakal mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035. Jika dihitung bermula tahun 2016 ini, iaitu 19 tahun ke hadapan, purata bagi setahun peluang pekerjaan yang bakal wujud itu sebanyak 11,579 peluang.

Peluang ini dikatakan muncul dalam sektor industri di bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan. Projek ini berkonsep atau bercirikan mesra alam.

Ini satu angka yang agak besar dan fakta yang menarik, yang seharusnya akan menggembirakan rakyat Johor.

Namun, pertama sekali kita wajar berhati-hati dengan ramalan angka-angka ini kerana realitinya, belum tentu mengikut perkiraan yang dijangkakan. Keadaan mata wang ringgit dan harga pasaran minyak mentah sedunia hari ini sudah menceritakan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

Kedua, kita perlu melihat anatomi bagaimana projek-projek ini direncanakan dalam aspek proses dan pelaksanaannya termasuk dalam aspek pemantauannya.

Ramalan peluang kerja
Ramalan ini amat mudah dibuat kerana kebiasaan bagi setiap projek pembangunan yang dibuat, pastinya ia berdasarkan input dan output.
Contoh langsung yang sangat jelas iaitu, setiap premis bangunan atau premis fizikal (jalan atau taman), pastinya memerlukan penyelenggaraan. Maka peluang pekerjaan pertama itu muncul disini.

Kita ambil contoh projek yang telah selesai dibangunkan. Pusat Janakuasa Tanjung Bin di Tanjung Piai. Antara banyak peluang pekerjaan yang wujud disitu, yang ditawarkan kepada buruh tempatan adalah pekerjaan dalam aspek pembersihan, yakni pekerjaan dalam kategori buruh kurang atau tidak mahir.

Begitu juga dengan kontraktor tempatan, peluang kerja atau tender yang wujud kebanyakannya dalam aspek keselamatan, pemantauan dan juga kebersihan. Yang mana, kerja-kerja ini bukan berasaskan kemahiran dan pengetahuan (teknologi).

Soalnya, daripada pengalaman ini, adakah prospek seperti ini yang dimaksudkan (akan wujud) peluang pekerjaan untuk warga tempatan dalam jumlah 220,000 peluang pekerjaan, dari tiga bidang utama itu?

Ini belum kita tinjau projek di Pengerang yang sedang berjalan. Setakat yang kita tahu, projek-projek di Pengerang, banyak menggunakan tenaga kerja mahir yang pakar dari luar yang dikatakan ia tidak dapat dibekalkan oleh tenaga tempatan, baik kontraktornya mahupun juruteranya.

Projek Forest City yang sedang berjalan ini juga menggunakan sumber tenaga daripada luar khususnya China termasuk subkontraktor dan buruhnya.

Proses
Jika kita tinjau aspek pelaksanaan projek-projek mega di Johor ini, ada beberapa perkara fundamental yang mendatangkan persoalan yang sehingga kini, masih tidak jelas kedudukannya.

Sebagai contoh, bagaimana Country Garden dipilih sebagai pemaju dalam projek Forest City ini? Adakah memang tidak perlu tender terbuka untuk projek seperti ini yang boleh disertai oleh pemaju-pemaju tempatan yang berkebolehan?

Begitu juga dengan proses penambakan laut yang luas itu. Bagaimana projek yang tidak wujud dalam perancangan Wilayah Iskandar sebelumnya, tetapi hari ini ada? Bagaimana ia boleh berlaku sedemikian rupa?

Contoh-contoh ini mendorong satu persoalan, adakah kerajaan telah mengkaji sehalus-halus prospek dan kesan pelbagai aspek daripada projek ini?

Proses-proses ini amat penting dalam apa jua jenis pembangunan yang melibatkan kos yang besar dan kesan jangka masa yang panjang khususnya yang melibatkan sosioekonomi rakyat tempatan.

Merobohkan sesuatu tidak sesukar membinanya, membina sesuatu tidak sesukar mengekalkannya. Maka kemapanan projek-projek mega di Johor ini harus diberi perhatian yang lebih oleh semua pihak.

Berkaitan dengan projek di Wilayah Iskandar. Keghairahan projek perumahan di Wilayah Iskandar ini telah diberi amaran agar berhati-hati oleh sekumpulan penganalisis dari Maybank bahawa kemungkinan terdapat lebihan bekalan rumah yang akan memburukkan keadaan dan boleh berlaku perang harga hartanah dan perumahan di kawasan Selatan Johor.

Ini tidak baik untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang di negeri Johor khususnya. Malah, semua projek-projek ini dimonopoli oleh syarikat dari China. Keadaan di Selatan Johor menjadi sangat sukar dan terhad dalam persaingan ekonomi.

Landasan keretapi berkembar
Projek bernafsu tinggi dalam bentuk landasan keretapi berkembar di Johor juga menimbulkan banyak persoalan. Kontrak ini juga telah diberikan kepada syarikat China yang tidak pernah ada pengalaman atau reputasi membuat apa-apa projek pembinaan di Malaysia. Bagaimana perkara ini boleh berlaku tanpa ada tender terbuka? Apakah justifikasinya?

Kita juga tidak dibekalkan dengan maklumat sama ada syarikat ini akan mengimport ribuan pekerja asing untuk bekerja di sini sepertimana Country Garden lakukan di Johor Bahru, atau akan menggunakan tenaga tempatan.

Kita tidak menolak pembangunan, malah kita mahu ekonomi negeri dan negara berkembang maju. Namun, kita mahu pihak kerajaan berhati-hati dengan projek berskala besar agar ia tidak membebankan generasi akan datang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment