UMAT Islam sentiasa mengharungi cabaran dari segenap aspek. Sebagai salah seorang pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, saya merasakan cabaran yang dihadapi ini semakin getir dari hari ke sehari.
NGO seharusnya bersifat nonpartisan terhadap politik kepartian, mereka harus mendokong sesuatu pandangan tanpa mengambil kira apakah pandangan parti-parti politik tertentu.
Walaupun tidak menyertai pilihan raya, NGO khususnya NGO Islam Malaysia melihat pilihan raya sebagai salah satu wadah perubahan masyarakat.
Atas prinsip tersebut NGO Islam sentiasa menjalin hubungan dengan parti politik tanpa mengira sama ada parti kerajaan ataupun pembangkang.
NGO sebagai kuasa ketiga hendaklah dilihat sebagai melengkapi perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.
Adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Apatah lagi, sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam sebagai pasak dalam sistem politik, ekonomi dan undang-undang.
Islam yang dinyatakan di sini adalah Islam dalam erti kata yang sebenar iaitu sebagai sebuah cara hidup, bukan terhad kepada amalan ritual atau ibadah khusus semata-mata.
Ini juga termasuk menjaga integriti dan ketelusan badan perundangan seperti Parlimen dan agensi kerajaan agar bebas daripada rasuah, salah guna atau menjadi ejen perpecahan di kalangan umat Islam.
Pembetulan secara dalaman atau intra umat Islam juga perlu dilakukan bagi memastikan negara akan maju dan dapat mendaulatkan Islam kerana umat Islam adalah komposisi penting dan terbesar di dalam demografi rakyat Malaysia.
Manakala dalam isu inter agama pula, umat Islam daripada kalangan NGO dan pertubuhan politik mestilah bersatu atas asas akidah yang satu.
Terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh umat Islam yang memanggil umat Islam duduk semeja untuk menyelesaikan segala permasalahan antara agama dengan hikmah yang didasari oleh jurisprudens Islam itu sendiri.
Penghinaan terhadap agama Islam sebagaimana yang ditonjolkan oleh pasangan bukan Islam yang mengucap selamat berbuka puasa dengan bah kut teh yang mengandungi sup khinzir amat menguji kesabaran umat Islam di bulan yang mulia ini.
Tahun lepas pula sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan iklan berbuka puasa dengan menyajikan sajian khinzir. Hatta lagu Negaraku dipermainkan juga tiada tindakan diambil kerana dikatakan pelakunya telah memohon maaf.
Lemahnya kesatuan umat Islam
Malah banyak lagi penghinaan- penghinaan terhadap agama Islam yang dilakukan tanpa sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa. Gejala ini akan tetap berterusan sekiranya tidak ada tindakan tegas diambil.
Umpamanya suatu ketika dahulu terdapat cadangan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) bertujuan mempromosi kebebasan berlandaskan fahaman sekular-liberal.
Tindakan mempersendakan Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik dan penghinaan terhadap ajaran Islam perlu ditangani dengan penuh hikmah tetapi tegas dan tidak berkompromi dengan perkara yang mencemarkan Islam.
Bukan itu sahaja malah campur tangan duta asing di dalam kes berkaitan Islam juga terang-terangan telah berlaku yang melanggar adab dan tatacara diplomatik sejagat. Tekanan kepada pihak berkuasa dalam isu Rang Undang-Undang Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 juga menzahirkan betapa lemahnya kesatuan umat Islam yang dibahagikan oleh blok-blok politik kepartian.
Penyeragaman undang-undang Islam juga masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti rakan mereka peguam sivil masih belum menjadi realiti.
Malah undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan masih belum dapat dikuatkuasakan di seluruh negara.
Sehingga hari ini Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang tersebut.
Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar
No comments:
Post a Comment