Tuesday, July 2, 2013

Bilakah Masa Sesuai Untuk Bercinta?

Sekali imbas tajuk di atas mungkin ramai menganggap bahawa saya seorang yang jiwang, atau tengah dilamun cinta mahupun kenapa kali ini cerita pasal cinta pula, selalunya lain.

Cinta merupakan suatu perasaan di mana seseorang itu menjadi terlalu sayang kepada sesuatu mahupun seseorang dan ia berlaku pada semua manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

Banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan cinta seperti cinta kepada Tuhan pencipta, sesama manusia, ibu bapa dan harta serta haiwan peliharaan.

Namun kali ini, saya lebih suka untuk berbicara mengenai cinta di antara manusia iaitu lelaki dan perempuan.

Saya akui, jika bercakap mengenai cinta golongan perempuan yang pastinya teruja dan lebih pandai menghargai cinta berbanding lelaki.

Persoalannya bilakah masa yang sesuai untuk seseorang itu mula bercinta?

Sesungguhnya, tiada jawapan yang tepat bagi memberikan masa yang sesuai untuk perkara itu, ia terpulang kepada seseorang itu untuk memberi dan menerima cinta.

Kita sering mendengar orang tua bercakap mengenai cinta selepas berkahwin, masih belajar jangan pandai-pandai hendak bercinta atau cari kerja dulu, baru bercinta dengan anak orang.

Namun akhirnya selepas habis belajar dan mendapat kerja, ada ibu bapa yang sibuk memaksa anak mereka untuk berkahwin, tetapi bagaimana?

Sebelum ini mereka sendiri menghalang untuk bercinta agar menumpukan perhatian kepada pelajaran dan masa hadapan yang lebih penting.

Mengikut statistik ramai lelaki mahupun perempuan yang sudah melebihi usia 25 tahun masih belum berumah tangga.

Jadi, bila masa yang sesuai untuk seseorang itu bercinta? Semasa di sekolah atau di kolej mahupun sedang bekerja? Yang pastinya tiada jawapan untuk persoalan itu.

Pembahagian masa, didikan ibu bapa mengenai perkara ini dilihat penting kerana kehidupan di zaman serba moden ini berbeza dengan kehidupan masa lalu.

Cinta bukan satu masalah, bahkan menjadi satu kekuatan pada seseorang itu untuk berjaya jika benar-benar tahu menjaga adab dan tatasusila.

Saya tidak menggalakkan pembaca terutama adik-adik untuk bercinta tetapi ia sudah menjadi lumrah manusia kerana tuhan menciptakan lelaki dan wanita.
Ingat, bercinta untuk satu tujuan iaitu ikatan perkahwinan. Jika hendak seronok-seronok baik tumpukan pada yang lebih penting kerana kesannya juga amat memeritkan.

Oleh : Ahmad Daniel Sabri

No comments:

Post a Comment