Hikmah berpuasa itu sendiri mencegah kita bermulut celupar seperti menggalakkan orang lain benci-membenci satu sama lain. Misalnya menghasut orang lain boikot-memboikot, tidak kira produk, masjid mahupun surau.
Hari ini manusia berpolitik tanpa mengira batas masa hingga soal agama dan kepercayaan (akidah) mahu dijadikan bahan atau modal mereka. Boikot biarlah perkara yang baik seperti produk yang menaja keganasan zionis terhadap rakyat Palestin bukannya memboikot membuta-tuli. Nanti digelar orang manusia gasar pula.
Sebaik-baiknya bulan Ramadan kita berazam untuk mengimarahkan surau atau masjid. Perpecahan akibat kempen pilihan raya lalu buat-buat lupa sajalah. Komuniti tidak kira daripada penyokong parti UMNO dan Pas perlu bekerjasama demi ummah. Jangan pula dalam tazkirah semua orang 'ditembak' hingga penceramah melihat diri sebagai manusia sempurna sedangkan Allah SWT maha menilai niat kita itu berceramah berasaskan politik atau bersifat mendidik.
Sepatutnya para ustaz dan penceramah agama tidak kira yang suka membuat lawak mahupun menyanyi sebagai kaedah berdakwah gunakan ia sebagai cara untuk memantapkan akidah ummah yang semakin sakan dengan penderaan, buang bayi, bunuh-membunuh kerana wang, lumba haram dan macam-macam lagi.
Gunakan bakat berdakwah untuk membetulkan akidah ummah, jangan gunakan ia sebagai wadah untuk mengkritik dan membasuh seorang dua orang Islam yang rosak akidah mereka.
Pada bulan Ramadan yang mulia gunakan ia dengan amalan memantapkan akidah dengan ibadah seperti solat lima waktu, melakukan perkara sunat dan berzakat. Jangan pula mengejar juadah yang tidak dapat dicari semasa bulan biasa.
Pada masa orang sibuk bersiap ke masjid untuk berbuka sebelum bersolat jemaah, jangan pula kita leka di bazar Ramadan. Jika ke bazar tersebut sekalipun pakailah pakaian yang mengikut ajaran Islam. Yang perempuan elok bertudung dan yang lelaki jangan pula menjadikan bazar Ramadan tempat mengurat wanita.
Justeru, pada bulan Ramadan marilah kita berlumba-lumba beribadah dan memperkukuhkan akidah agar tiada pihak yang merosakkannya dan seterusnya menjadikan umat Islam terus berpecah-belah. Bacalah al-Quran yang semakin berhabuk.

Oleh : Abdul Razak Idris
No comments:
Post a Comment