nuffnang

Friday, July 12, 2013

Kuasa Senyuman

SEKUNTUM senyuman yang kamu lemparkan mampu untuk menceriakan kehidupan insan lain. Betul, hanya dengan berbekalkan sekuntum senyuman sahaja.

Kamu juga akan mendapat manfaat yang pelbagai untuk kesihatan hasil daripada senyuman kamu itu. Senyuman bagaikan satu senaman dalaman yang dapat merangsang sistem saraf otak, hormon dan tubuh kamu.

Jadi, jika kamu ingin sentiasa tampil sihat dan bertenaga, berikan senyuman kamu yang paling manis buat mereka yang berada di sekeliling kamu dan teruskan membaca!

10 sebab mengapa kamu perlu senyum
Senyuman bukan hanya sekadar tindak balas gerak muka, tetapi turut mempunyai hubungan dengan penghasilan endorphin di dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi. Jadi, ia turut menjadikan seseorang itu berasa jauh lebih selesa dan yakin dengan diri sendiri.

Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah dengan menambah kemasukan oksigen dalam darah dan hal ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan dengan lebih cepat.

Mengakhiri senyuman dengan ketawa mampu menyahaktifkan bahan kimia dalam badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan juga ulser.

Senyuman adalah ekspresi muka yang terhasil dengan merengangkan otot di hujung mulut dan di sekeliling mata.

Kajian juga menunjukkan senyuman merupakan respons daripada rangsangan tertentu yang menggambarkan kegembiraan.

Penyelidik Jerman menjelaskan bahawa mereka yang memiliki ekspresi raut wajah yang senang hati, tampil menarik termasuk kelihatan lebih muda daripada usia mereka yang sebenarnya.

Universiti Illinois, Amerika Syarikat telah melakukan satu kajian yang membuktikan bahawa apabila seseorang itu gembira dan selalu tersenyum, hayatnya boleh mencapai satu dekad lebih berbanding mereka yang tidak senyum.

Menurut kajian sains, senyuman akan melepaskan sejenis hormon yang dipanggil endorphin iaitu hormon yang membuatkan manusia berasa gembira.

Tahukah kamu, apabila kita senyum badan kita akan menghasilkan antibodi dan Sel T atau sel darah putih yang akan memberikan imunisasi optimum kepada badan.

Senyuman dapat mencegah sakit sembelit pada waktu pagi. Pergerakan Peristaltik (gerakan otot pada saluran pencernaan) usus masih perlahan, namun apabila kamu tersenyum pada waktu berkenaan, gerak usus tersebut akan terangsang akibat daripada kontraksi otot perut hasil daripada kesan senyuman kamu tadi.

Senyuman juga boleh dijadikan penawar pada penyakit rohani yang kronik.

Oleh : Laili Suhana

No comments:

Post a Comment