Tuesday, August 16, 2011

PAS Tidak Perjuangkan Agama Islam

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pas bukan sebuah parti politik yang dipertanggungjawabkan untuk memperjuang dan mempertahankan agama Islam di negara ini kerana ia adalah tanggungjawab umat Islam di negara ini dengan kepimpinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Bekas Fellow Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, perkara itu telah dinyatakan dalam Perlembagaan Negara dan Perkasa tidak perlu mengiktiraf Pas bagi menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mahu pertubuhan itu menggantikan Pas dalam memperjuangkan Islam seolah-olah mengiktiraf peranan parti politik tersebut, sedangkan ia banyak membawa kerosakan kepada perpaduan dan kepentingan Islam di negara ini.

"Ini ekoran daripada tindakan Pas yang semakin celaru terutamanya apabila mereka bersekedudukan secara haram dengan parti pembangkang lain yang sehingga hari ini belum menjadi sebuah pakatan rasmi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Perkasa yang mahu mengambil alih tugas Pas untuk menjadi benteng mempertahankan kesucian agama Islam.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan tersebut terpaksa dibuat walaupun ia bukan pertubuhan politik kerana Pas yang selama ini mendakwa parti Islam telah gagal memperjuangkan cita-cita mahu menubuhkan negara Islam.

Sementara itu, Naib Presiden II Persatuan Belia Islam Malaysia (Pembina), Nor Hasni Hayati Hanapi berkata, Perkasa boleh cuba mengambil alih tugas Pas bagi memelihara perpaduan dan persaudaraan umat Islam negara ini tanpa dipengaruhi mana-mana sentimen parti politik.

"Perkasa boleh mencuba, namun biarlah masyarakat yang menilai sendiri sama ada mereka berjaya atau tidak dalam mempertahankan kesucian Islam.

"Saya menyokong tindakan Perkasa kerana akhir-akhir ini pendirian Pas semakin longgar dan masyarakat negara ini dapat melihat sendiri parti politik itu sering bertoleransi dan bertolak ansur dengan perbuatan orang bukan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, beliau menyokong tindakan Perkasa itu kerana tugas membela nasib orang Islam adalah tanggungjawab mereka yang beragama Islam.

"Saya juga menyokong mana-mana pihak yang beragama Islam yang mahu mengambil tindakan yang sama seperti Perkasa kerana kita dapat melihat kesan percakaran dan perpecahan umat Islam di Selangor serta Pulau Pinang telah merugikan umat Islam sendiri.

"Sikap Pas yang menyokong langkah DAP melarang membaca al-Quran menggunakan pembesar suara adalah bukti kukuh parti politik itu menggunakan Islam bagi tujuan politik semata-mata," katanya.

utusan malaysia

No comments:

Post a Comment