nuffnang

Friday, August 12, 2011

Konspirasi Gereja Pesong Akidah Tak Boleh Dibiar

Pihak berkuasa perlu siasat, ambil tindakan tegas elak keharmonian antara agama terjejas

KONTROVERSI berkaitan cubaan pihak tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam, seperti yang didakwa di sebuah gereja di Petaling Jaya minggu lalu tidak harus dipandang ringan oleh pihak berkuasa.

Kehadiran 12 orang Islam di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada majlis makan malam anjuran gereja terbabit sudah tentunya memerlukan penjelasan penuh dan segera oleh Kerajaan Negeri Selangor serta individu terbabit, iaitu tiga lelaki dan sembilan wanita yang membawa lapan kanak-kanak bersama mereka.
 
Apakah yang sebenarnya sudah terjadi? Di manakah silapnya? Mengapa boleh keadaan ini dibiarkan berlaku di sekeliling kita?

Kejadian di DUMC itu harus menyedarkan umat Islam seluruhnya dan pihak berkuasa supaya mempertahankan agama suci kita daripada dinodai oleh pihak tertentu.

Sebenarnya cerita mengenai umat Islam dipesongkan bukannya baru. Sejak beberapa tahun lalu pun sudah ada banyak kes mengenai orang Islam membuat permohonan kepada pihak berkuasa untuk menukar agama dan macam-macam lagi.

Justeru sudah tiba masa kita bersikap lebih tegas dan tidak membenarkan umat Islam terus dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini. Tidak cukup dengan isu halal haram, kini mereka cuba menyentuh soal akidah pula.

Semua pihak harus memainkan peranan dalam menangani isu ini. Kerajaan tidak boleh terlalu berlembut apabila berdepan dengan isu berkenaan. Undang-undang sedia ada, seperti Enakmen Nombor 1, 1988 iaitu Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran di kalangan Muslim) yang dikuatkuasakan di Selangor dan negeri lain sejak lebih dua dekad lalu hendaklah diguna pakai dalam tindakan terhadap pihak yang cuba merosakkan akidah umat Islam baru-baru ini.

Enakmen itu sudah pun dikuatkuasakan di semua negeri kecuali Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

“Mungkin atas sebab itulah perbuatan murtad dan menyebar dakyah banyak berlaku di Kuala Lumpur,” kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin.

Beliau menyeru kepada kerajaan supaya segera menggubal satu akta pencegahan dakyah agama lain bagi Wilayah Persekutuan.

“Gerakan ini sudah lama, cuma cara mereka berbeza. Saya tidak terkejut kalau DUMC melakukan perkara itu,” kata Zulkifli.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, dalam kes di Selangor, kesalahan yang disabitkan ialah kesalahan sivil dan bukannya kesalahan syarie kerana negeri berkenaan sudah pun mempunyai akta yang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan Muslim.

Gereja terbabit menafikan ia berhasrat untuk memesongkan akidah individu Muslim pada majlis yang dianjurkan dan menganjurkannya untuk tujuan amal.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu.

Katanya, ketika serbuan itu, ada anggota gereja sedang berucap dan menyelitkan perkataan al-Quran. Terdapat juga bukti ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Sebelum ini kita pernah terdengar cerita mengenai umat Islam yang dipercayai murtad dan menjadi pengikut pertubuhan Kristian selepas dijanjikan ganjaran sehingga RM60,000 bagi setiap kejayaan memesongkan akidah rakan mereka menerusi pembaptisan.

Mereka yang menyertai kumpulan berkenaan lebih mudah lupa pada pegangan agama asal buat seketika selepas diberi minuman air ‘suci’ (holy water) dan selepas menjalani upacara pembaptisan di dalam kolam renang.

Kumpulan terbabit juga dikatakan menjalankan aktiviti dakyah dengan mengadakan siri ceramah yang diadakan secara sulit, malah turut memiliki perpustakaan komuniti di Sri Manja, Jalan Klang Lama.

Gejala berkenaan lebih membimbangkan kita kerana gaya kehidupan bebas yang semakin diamalkan oleh anak muda zaman kini, yang tidak begitu menghiraukan soal halal haram dan akidah.

Pergaulan bebas dan pemikiran terbuka juga boleh menyebabkan golongan berkenaan mudah terpengaruh dengan sebarang dakyah yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu.

Apapun, dalam menangani isu berkenaan, kita berharap tiada pihak yang akan mempolitikkannya kerana ia boleh menyulitkan lagi keadaan.
 
Oleh : Razak Ghows

1 comment: