Friday, August 19, 2011

Jual Esso Malaysia Merugikan?

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Penjualan 65 peratus pegangan ExxonMobil International Inc. (ExxonMobil) di dalam Esso Malaysia Bhd. kepada San Miguel Corp. dilihat sebagai sesuatu yang merugikan kerana melibatkan industri minyak dan gas negara.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali mengakui bahawa Esso Malaysia adalah anak syarikat ExxonMobil yang mempunyai hak untuk menjualnya tetapi pertimbangan mungkin patut lebih dahulu diberikan kepada syarikat tempatan yang berkelayakan.

"Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba mereka (ExxonMobil) membuat pengumuman mengenai urusniaga tersebut, sedangkan perniagaan tersebut (Esso Malaysia) ditubuhkan dan beroperasi di negara ini.

Beliau berkata, semasa ExxonMobil mula-mula melabur di negara ini, perlu ada terma di dalam perjanjiannya dengan kerajaan yang menyebut bahawa syarikat itu perlu memberikan pertimbangan kepada syarikat tempatan terlebih dahulu jika mahu melupuskan pegangan.

Ini akan mengelakkan Esso Malaysia sewenang-wenangnya dijual kepada syarikat asing sedangkan ia beroperasi di negara ini malahan pekerja-pekerjanya juga adalah anak tempatan dan apa yang paling penting ialah Esso Malaysia menjalankan perniagaan aset sensitif negara iaitu minyak dan gas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau juga mempersoalkan apakah tiada syarikat tempatan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mampu memiliki kepentingan majoriti di dalam Esso Malaysia, sedangkan syarikat tersebut mempunyai prospek pertumbuhan yang cerah.

Esso Malaysia memiliki syarikat penapisan minyak di Port Dickson, Negeri Sembilan serta 560 stesen minyak Esso dan Mobil di seluruh negara.

" Jika syarikat asing boleh nampak potensi ini, kenapa syarikat-syarikat tempatan atau GLC tidak bersungguh-sungguh untuk memiliki Esso Malaysia, apakah mereka terlepas pandang?, ujarnya lagi.

Difahamkan meskipun sebelum ini Boustead Holdings Bhd. yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berminat untuk memiliki ekuiti Esso Malaysia tetapi mereka tidak pernah pun mengemukakan sebarang permohonan rasmi.

Menurut Alsedtek, apa yang mengecewakan tawaran yang dibuat oleh San Miguel Corp., pengeluar minuman keras terbesar di Filipina, sangat rendah, malah di bawah harga pasaran.

San Miguel menyatakan hasratnya untuk menguasai 65 peratus kepentingan anak syarikat ExxonMobil dengan menawarkan harga RM3.50 sesaham atau jumlah keseluruhannya RM614.25 juta.

Dalam pendapat senada disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Urusniaga, Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli pula melihat urus niaga tersebut akan merugikan para pemegang saham sedia ada.

Aset bersih sesaham Esso Malaysia sehingga 30 Jun lalu adalah RM3.28, hanya kurang 22 sen berbanding harga tawaran ataupun 1.06 kali nilai tempahan.

Tambah Nazzary, pasaran asalnya menunjukkan reaksi positif sebelum Esso Malaysia dan Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) yang mewakili San Miguel mengeluarkan kenyataan semalam.

Harga saham Esso Malaysia naik mendadak sebelum ditutup pada harga RM4.95, tetapi reaksi tidak berterusan kerana pelabur dipercayai kecewa dengan harga tawaran San Miguel.

Bisnes@utusan

No comments:

Post a Comment