nuffnang

Saturday, August 13, 2011

Di Sebalik Makna Perlembagaan

Setiap kali berlaku kejadian dan usaha untuk memesongkan akidah umat Islam dan seterusnya menghakis martabat sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang berlaku di Gereja Methodist, Damansara Utama pada 3 Ogos 2011, tindakan umat Islam bukanlah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan.

Ada yang berdemonstrasi dalam jumlah yang kecil, parti-parti politik Melayu/Islam sibuk menyalahkan satu sama lain dan cuba memperoleh manfaat politik daripadanya dan ada juga yang menyerahkan memorandum kepada pihak-pihak tertentu dengan merujuk kepada frasa-frasa tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai manifestasi ketidakpuasan hati mereka terhadap pihak tersebut.

Kemuncak daripada tindakan itu, mereka akan mengadu pula kepada Tuanku Sultan untuk mempertahankan ketertinggian dan kesucian agama Islam.

Sedar atau tidak umat Islam tidak lagi boleh selama-lamanya terlalu bergantung kepada perlindungan atau papahan undang-undang untuk mempertahankan mereka. Tanpa menidakkan keperluan kita memartabatkan dan meletakkan undang-undang negara pada tempat yang tinggi, kadang-kadang pergantungan yang keterlaluan pada perlindungan itu akan menyebabkan umat Islam dan bangsa Melayu kelihatannya menjadi umat yang begitu lemah dan tidak bermaya.

Dalam kes tuntutan kalimah Allah oleh agama Kristian sedikit masa dahulu, hasrat kita untuk mendapatkan perlindungan dengan merujuk kepada Enakmen Pengawalan Agama Islam Negeri-Negeri dan keputusan Kabinet yang melarang penggunaan kalimah tertentu yang selama ini dianggap eksklusif untuk umat Islam jelas tidak menjadi kenyataan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes tersebut membenarkan permohonan pihak gereja Roman Katholik untuk menggunakan Kalimah Allah.

Kita tidak punya banyak pilihan selain keluar segera dari kepompong mentaliti bergantung kepada perlindungan undang-undang dan bangkit bergerak sebagai satu umat yang dirasakan kehadirannya.

Untuk renungan kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang telah wujud lama sebelum merdeka telah diiktiraf di dalam Perlembagaan dan ini memberikan hak kepada agama Islam untuk diberikan keistimewaan mengatasi agama lain. Peruntukan undang-undang memberikan pengiktirafan kepada agama Islam hingga sesiapa yang didapati menyebarkan agama lain kepada orang Islam boleh dikenakan hukuman atas kesalahan jenayah.

Bagaimanapun pada hari ini, penggunaan kalimah yang dulunya eksklusif milik orang Islam dan pelbagai dakyah bagi memesongkan akidah umat Islam menggunakan teknologi maklumat yang canggih boleh sahaja dibaca oleh anak-anak kita dengan membuka komputer di dalam rumah dan tidak lagi mampu disekat oleh peruntukan undang-undang yang ada.

Di hujung jari anak-anak kita pada hari ini, mereka boleh membuka pelbagai perakuan daripada rakyat Malaysia yang murtad dengan pelbagai tohmahan dan kejian terhadap agama Islam. Tidaklah lagi menghairankan apabila lagu Allahuakbar dan Alhamdulillah telah boleh dinyanyikan di gereja-gereja bagi menyerapkan kalimah Allah dengan agama mereka.

Lebih daripada itu banyak peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan kini diterjemahkan dalam konteks yang diterbalikkan hingga apabila Perkara 3(1) dalam Perlembagaan berkaitan peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan disebut, maka peruntukan berkaitan kebebasan kepada semua orang untuk mengamalkan agama mereka sendiri juga adalah dijamin. Ia kelihatannya menjadi lebih dominan dan penting pula sehingga pihak agama lain itu boleh pula melepasi batasan yang digarispandukan oleh peruntukan Perlembagaan.

Hujah kebebasan beragama inilah yang digunakan untuk menghalalkan tindakan mereka menyebarkan dakyah agama kepada umat Islam. Bible telah dicetak dan boleh dibaca dalam bahasa Melayu, kalimah Allah telah mula digunakan, bantuan-bantuan kebajikan seringkali tiba lebih awal dan mewah daripada bantuan Majlis Agama Islam Negeri dan mereka menggambarkan agama mereka sebagai agama yang begitu mudah dan relevan untuk zaman ini.

Perlindungan terhadap undang-undang dalam kes yang dikendalikan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) boleh menjadikan umat Islam dihampakan sekali lagi apabila tindakan JAIS memanggil 12 orang saksi beragama Islam dalam kes tersebut dijawab dengan pelbagai notis daripada para peguam bagi menidakkan kuasa JAIS memanggil saksi-saksi tersebut.

Sebagaimana kesukaran dalam menangani isu murtad, pihak berkuasa agama akan menghadapi pelbagai halangan bagi membuat pendakwaan terhadap pihak-pihak terbabit. Ironinya, jika pendakwaan yang dibuat terhadap orang Islam pun kelihatannya begitu sukar, apatah lagi jika pendakwaan itu hendak dilakukan terhadap orang bukan Islam yang menyebarkan dakyah agama mereka terhadap orang Islam.

Lebih mengaibkan pasca tindakan JAIS terhadap gereja tersebut, terdapat pula permohonan maaf daripada pihak berkuasa di Negeri Selangor terhadap gereja tersebut. Apa sudah jadi dengan umat Islam di negara kita.

Umat Islam jelas tidak lagi boleh menggunakan skrip lapuk bagi mempertahankan agama Islam. Demonstrasi dengan jeritan sekadar 2-3 kerat yang hadir, memorandum atau kutukan tidak menghadirkan apa-apa impak kepada pihak gereja. Perlu diakui bahawa perlindungan undang-undang hanya boleh melindungi umat Islam pada satu tahap sahaja.

Apabila serangan dan gerakan itu menjadi begitu meluas, perlindungan itu akan akhirnya jatuh juga menyembah bumi. Perlindungan undang-undang juga membawa erti kebergantungan yang keterlaluan terhadap agensi atau jabatan kerajaan sahaja.

Tanpa menidakkan usaha-usaha yang telah agensi ini lakukan, kita juga hendaklah mengakui bahawa sebahagian besar penggerak agama Islam pada hari ini adalah mereka yang makan gaji sedangkan gerakan agama lain didukungi dan dilaksanakan dengan sepenuh jiwa secara sukarela oleh badan-badan dan organisasi NGO mereka.

Tidak ada gunanya juga kita asyik menyalahkan gereja-gereja atas usaha yang dilakukan oleh mubaligh mereka. Lihatlah sahaja bagaimana mereka berjaya mengumpulkan anak-anak pelbagai bangsa untuk menghadiri kelas-kelas tuisyen, pengijazahan kelas-kelas tadika di dalam gereja mereka.

Mereka hadir tepat pada waktu yang diperlukan oleh golongan yang memerlukan dengan membawa imej yang begitu segar dan lembut. Sampai bila kita harus berasa takut, bersembunyi dan berlindung di sebalik perlindungan pelbagai undang-undang seolah-olah kita ini adalah umat atau bangsa yang cacat atau kurang vitamin hingga kita perlu sahaja setiap masa dipapah untuk mendepani gerakan mereka.

Para profesional, ahli korporat, ulama, ilmuwan, anggota perkhidmatan awam dan setiap individu Muslim seolah-olah berada dalam zon beku tahap maksimum hingga tidak langsung boleh bergerak untuk menyusun gerakan dakwah yang lebih segar bagi menyaingi gerakan yang dibuat oleh pihak gereja.

Akhirnya kita mengambil jalan mudah bagi mengatasi kelemahan dan kebejatan pemikiran kita dengan menyerahkan semuanya di bawah bebanan Jabatan Kerajaan, Majlis Agama dan akhirnya berlindung di bawah kuasa Tuanku Sultan.

Gerakan mempertahankan dan menyebarkan agama Islam dan hak-hak orang Melayu sambil meraikan hak-hak agama lain dalam negara majmuk hendaklah dibuat dengan lebih terancang, boleh dijiwai dan tersusun oleh setiap organisasi Muslim.
 
Oleh : Ikbal Salam
Penulis ialah Peguambela & Peguamcara di Johor Bahru

No comments:

Post a Comment