TINGGAL kurang seminggu negara kita bakal meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-54. Jangan tanya soal kemeriahan sambutan sebab jelas kali ini amat lesu. Saya tidak tahu di mana silapnya tetapi ramai yang mengaitkan merdeka kali ini serentak dengan bulan Ramadan maka ramai yang tidak begitu bersemangat untuk menyambut merdeka. Mereka lebih teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Mungkin ada yang berfikir lebih baik wang yang ada dibelikan pakaian baru untuk anak-anak atau diri sendiri berbanding Jalur Gemilang untuk dikibar di luar kediaman atau pada kenderaan. Mereka membuat pilihan, kibar Jalur Gemilang atau berbaju baru 1 Syawal nanti. Tapi berapa kerat yang berfikiran seperti ini?
Inilah pemikiran orang kita. Walaupun kita sudah merdeka selama 54 tahun tapi masih ramai di kalangan kita dibelenggu pemikiran seolah-olah kita masih di bawah penjajah. Mungkin ketaksuban kepada politik kepartian menjadi penyumbang pemikiran kalangan orang kita yang masih terikat dengan akal dan buah fikiran yang jumud.
Masakan tidak, mereka anggap negara Malaysia yang merdeka sejak 31 Ogos 1957 ini sudah hancur musnah dek angkara kezaliman pemerintahan kerajaan sekarang. Katanya selama kita merdeka, banyak kemusnahan berlaku di sana-sini. Tapi bila saya minta tiga perkara yang dinyatakan itu sampai hari ini masih gagal beri jawapan.
Saya tidak mahu banyak, cukup senaraikan tiga kehancuran yang disebabkan kezaliman pemerintahan kerajaan yang memerintah tapi saya boleh senaraikan berpuluh-puluh kemajuan dan pembangunan yang sudah dibawa kerajaan sejak merdeka.
Peliknya, mereka yang asyik menuduh ini sebenarnya bersenang-lenang hasil makan gaji dengan kerajaan yang dimaki-hamun setiap hari. Anak-anak mereka masih selesa ke sekolah dengan selamat, bersekolah di sekolah yang lengkap dengan kerusi-meja dan ada yang berhawa dingin. Buku-buku tak perlu dibeli sebab semuanya sudah disediakan oleh kerajaan. Zalim kah kerajaan kita?
Bila kita tegur mereka begitu emosi sebab katanya itulah perjuangan... perjuangan untuk rakyat. Membebaskan rakyat daripada belenggu kezaliman kerajaan. Tapi bila diberi bonus waima setengah bulan gaji, masing-masing terdiam sambil berkira-kira untuk membelanjakan wang bonus mereka. Perjuangan konon!
Itu mereka yang makan gaji kerajaan yang zalim ini. Mereka yang bercucuk tanam pula tidak susah untuk mengusahakan tanaman mereka asalkan sedikit rajin. Sebabnya bila tak ada baja, mereka akan diberi baja. Bila susah nak pasarkan hasil tanaman, ada pihak yang sudi mengambil hasil tanaman mereka untuk dijual di pasaran.
Inilah hasil kemerdekaan negara yang kita capai selama ini. Andai kita masih di bawah penjajah apakah kita mampu menikmati semua ini. Tapi mereka tidak nampak atau sengaja membutakan mata mereka sebabnya mereka meletakkan kebenaran berdasarkan politik kepartian mereka. Maknanya jika mereka tidak menyokong parti kerajaan maka apa yang kerajaan buat selama ini semuanya tak betul. Payah...
Cubalah sesekali kita menjenguk nasib negara-negara lain di sekeliling kita. Cubalah lihat betapa sukarnya kehidupan mereka sehinggakan terpaksa merantau ke negara kita untuk mencari sesuap nasi. Bukan setakat gaji kerajaan yang hanya cukup untuk pakai sebuah basikal malah mereka yang bercucuk tanam pun sekadar cukup untuk mengisi perut sendiri.
Rakyat kita beruntung sebab walaupun kita baru merdeka 54 tahun berbanding negara-negara lain yang jauh lebih lama merdeka, tetapi nyata kita berjaya membangunkan negara kita dalam masa yang singkat. Dan hasil kemerdekaan ini kini dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta rakyat-rakyat negara asing yang mencari rezeki yang melimpah-ruah di bumi Tanah Melayu ini. Bertuah kan?
Itu mereka yang pemikiran mereka masih dibelenggu tapi ada juga yang benar-benar memanfaatkan kemerdekaan. Mereka ini kebanyakannya golongan muda dan remaja tapi tak kurang juga yang sudah berusia. Bagi mereka sebagai negara merdeka dan sebagai rakyat yang merdeka kita boleh buat apa saja. Nah kau!
Bagi mereka batasan agama, adat resam dan budaya bangsa serta kadang kala undang-undang negara sudah tak penting lagi, sebaliknya apa yang penting ialah kebebasan. Bebas melakukan apa sahaja termasuk dalam pergaulan, ucapan, penulisan dan lain-lain. Mereka semua ini meredah apa sahaja di hadapan mereka asalkan apa yang mereka inginkan tercapai. Itu pemikiran remaja dan anak muda biasanya.
Pergaulan bebas sehingga meningkatnya kes-kes pembuangan bayi, remaja-remaja beruniform sekolah yang merokok atau meneguk minuman keras, pengambilan syabu dan ekstasi adalah contoh-contoh permasalahan sosial di kalangan generasi merdeka di negara kita. Mereka sudah tidak kenal hukum haram-halal kerana kebebasan mengatasi segalanya. Bila ditegur atau dilarang, mereka akan kata "kami anak-anak merdeka!"
Mereka ini sebenarnya golongan yang tidak faham erti kemerdekaan atau menyalahgunakan kemerdekaan itu sendiri. Bila keadaan itu berlaku ramai yang menuding jari kepada mak atau bapa. Puak-puak yang taksub kepada politik kepartian pula tak habis-habis nak salahkan kerajaan atau parti yang memerintah. Tapi masalahnya bertindak salah, tak bertindak lagilah salah! Susah...
Ada juga yang kaitkan kemerdekaan dengan demokrasi. Sebab demokrasi mereka boleh berbuat apa sahaja asalkan atas nama rakyat. Menghuru-harakan negara, memporak-perandakan ekonomi, politik dan perpaduan rakyat bagi mereka itu semua adalah demokrasi dan undang-undang konon tidak dapat diatasi dengan demokrasi. Malaysia negara merdeka dan kita boleh buat apa sahaja demi rakyat. Konon...
Jadi inilah antara sebahagian pemikiran rakyat kita selepas 54 tahun merdeka. Banyak lagi sebenarnya yang perlu dilakukan jika mahu melihat negara khususnya pemikiran rakyat kita mencapai kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya. Mengisi kemerdekaan bukan hanya sekadar menegakkan pembangunan fizikal tetapi lebih payah adalah pembangunan rohani.
Oleh : Lukman Ismail
SALAM,
ReplyDeleteSELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN ! PIHAK LF AKAN MENGAMPUNKAN SEGALA DOSA (JIKA ADA, YG SENGAJA ATAU TIDAK SENGAJA)