Hakikatnya, adakah semua makanan dibeli itu habis dimakan atau ditinggalkan saja dalam tudung saji untuk dibuang keesokan harinya kerana sudah basi? Perkara sebegini sering terjadi akibat kerakusan kita memenuhi tuntutan nafsu makan yang akhirnya mengundang pembaziran. Adakah kita sedar terdapat saudara kita di luar sana hanya memakan rumput dan kulit kayu?
Jika bernasib baik, dapatlah mereka makan sepotong roti dicicah dengan air kosong.
Sebagai makluman, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih dua juta pelarian Somalia yang majoritinya beragama Islam kekurangan zat dan terdedah kepada penyakit berjangkit serta kematian pada Ramadan ini. Sementara itu, di Tebing Gaza pula, pejuang cilik yang terdiri daripada anak kecil langsung tiada masa berfikir juadah apa yang ingin dimakan ketika berbuka selain mempertahankan maruah agama dan negara. Dua situasi yang berlaku di atas ini amat menginsafkan dan perlu dijadikan pedoman buat seluruh umat Islam di Malaysia.
Mulalah belajar cara berjimat cermat agar kesenangan dinikmati negara kita pada hari ini kekal buat selamanya. Mungkin kita perlu menggandakan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan mengurangkan sifat boros berbelanja ketika membeli juadah berbuka agar semua umat Islam di seluruh dunia dapat sama-sama menikmati kemanisan Ramadan yang berkat ini.
Oleh : Mohd Saipuddin Suliman
No comments:
Post a Comment