Thursday, August 18, 2011

Makanan Penentu Mustajabnya Doa

RAMADAN al Mubarak tiba lagi. Di Malaysia sudah menjadi satu budaya apabila tiba Ramadan bermulalah pesta makan. Di sana sini terdapat bazar Ramadan yang menjual pelbagai kuih muih dan juadah.

Peniaga terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang tidak pernah berniaga, peniaga gerai makan, pengusaha restoran dan lain-lain. Malah ada juga sebahagian hotel yang turut meriahkan penjualan makanan di bazar Ramadan.

Kini penduduk bandar dan warga kota lebih gemar makan di luar disebabkan kesuntukan masa untuk memasak atau meraikan keluarga, rakan taulan dan sebagainya. Bagi yang bekerja pula majikan selalunya menganjurkan program di hotel-hotel.

Kadang-kadang mereka langsung tidak menyelidik sama ada tempat itu mendapat sijil halal atau tidak.

Setiap umat umat Islam mesti memahami bahawa mencari, memilih dan mendapatkan rezeki yang halal merupakan fardu ain.

Makanan merupakan suatu keperluan asas dan tidak boleh diambil secara sambil lewa kerana ia akan memberi kesan kepada manusia secara fizikal dan spiritual.

Makanan memberi kesan kepada sikap, tabiat, tingkah laku, pemikiran, minda, kesihatan, kecantikan, saiz, perlakuan seks dan sebagainya.

Islam meminta supaya manusia memakan sesuatu yang halal lagi baik (rujuk al-Baqarah ayat 57, al A'raf ayat 160 dan Taha ayat 81).

Sebagai contoh, firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata (al-Baqarah: 168).

Allah SWT berfirman dalam ayat lain yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu beriman (al-Baqarah: 172).

Dalam surah al Maidah ayat 88 Allah SWT menegaskan bahawa pengambilan makanan dan minuman yang baik adalah tanda keimanan seseorang.

Terdapat juga beberapa hadis yang menjelaskan kelebihan memakan makanan yang halal antaranya sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Daging yang tumbuh daripada hasil yang haram maka nerakalah yang layak baginya (riwayat Tabrani)."

Dalam hadis lain, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Baguskanlah pemakanan kamu nescaya Allah akan perkenan permintaan kamu (riwayat Tabrani)."

Islam telah memberi panduan mengenai makanan yang halal dan haram. Rasulullah SAW bersabda di dalam suatu hadis yang bermaksud: Perkara halal itu jelas dan perkara haram itu jelas, tetapi di antara dua perkara ini ialah perkara-perkara yang syubhat (ragu-ragu). Oleh sebab itu, sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara syubhat, telah membersihkan dirinya pada agama dan kemuliaannya. (riwayat Imam al-Bukhari).

Isu status makanan yang terjual merupakan satu isu yang tidak berkesudahan. Apa yang menjadi persoalan adalah timbul keraguan mengenai status makanan yang terjual di pasaraya, restoran, hotel dan sebagainya.

Tahun lepas masyarakat Malaysia digemparkan dengan isu bufet Ramadan yang disajikan oleh sebahagian hotel yang tidak mendapat sijil halal. Pelbagai faktor penyebab kekeliruan tersebut.

Antara faktor paling utama adalah pengendali makanan itu sendiri. Ramai bukan Muslim terlibat sebagai pengendali makanan di Malaysia.

Bukan semua mereka mendapat pendedahan yang secukupnya untuk menyediakan makanan yang halal dan berkualiti menurut perspektif Islam. Malah terdapat juga umat Islam sendiri yang kurang arif.

Sudah tiba masanya perkara ini ditangani dengan saksama agar segala kekeliruan dapat diselesaikan.

Semua pihak harus memainkan peranan dan tidak hanya membiarkan sesetengah pihak sahaja yang mengendalikannya.

Usaha ini hendaklah dijalankan secara berterusan dan tidak bermusim atau berkala.

Ini amat perlu supaya makanan yang disediakan benar-benarl menepati piawai yang ditentukan oleh syariat Islam dan Malaysia sebagai destinasi hab halal tidak diragui.

Oleh : Prof. Madya Asmak

1 comment:

  1. SALAM,
    APA YG KITA MAKAN MENJADI DARAH DAGING KITA ! SETUJU DGN N3 INI.

    ReplyDelete