TERPEGUN sebentar apabila menatap akhbar yang melaporkan sikap segelintir warga pemandu di lebuh raya berebut mencuri beras yang tumpah akibat kemalangan.
Ada rasa hairan, jelik dan hampir tidak percaya itulah sikap yang ditunjukkan oleh warga kita yang ratanya terkenal sebagai pemurah, peramah, sopan santun dan suka membantu.
Seperti ada yang tidak kena, kerana sebelum ini turut dilaporkan bahawa perkara yang sama berlaku apabila sebuah pacuan empat roda yang membawa syiling kemalangan maka gempar pemandu di lebuh raya mengutip syiling berkenaan yang diibaratkan seperti rezeki jatuh dari langit. Insiden terbaru lebih menyayat hati apabila pemandu dan kelindan yang parah dibiarkan malah mengakibatkan seorang daripadanya maut.
Melalui pengamatan, terdapat dua perkara yang mungkin menyebabkan situasi ini berlaku. Yang pertama mungkin sikap pemandu kenderaan berat di lebuh raya negara ini memang menjengkelkan. Keganasan corak pemanduan mereka mengundang rasa benci pemandu lain yang melihat sikap mereka seperti samseng jalanan.
Senario kedua, ramai pengguna lebuh raya di negara kita terdiri daripada pelbagai golongan terutama di peringkat bawahan dan pertengahan. Mereka sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang yang kebelakangan ini melampaui jangkaan akal dan amat terdesak mengurangkan kadar perbelanjaan isi rumah yang sentiasa meningkat.
Kepada kumpulan ini, apa sahaja sumber tanpa mengira halal haram dan makruh sekiranya terbuka akan dipergunakan sepenuhnya tanpa ragu-ragu lagi demi kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai pengetahuan bahawa semua barangan berkenaan sudah diinsuranskan dan sudah tentu pemilik dan pemandu berkaitan akan dibayar ganti ruginya oleh pihak yang menginsuranskannya.
Selebih dari itu, tanggung jawab sosial, tata susila, etika dan budi pekerti mulia nampaknya bukan lagi sesuatu yang dititik beratkan dan dimasukkan dalam agenda nasional kita. Malah subjek yang pernah diajar di sekolah rendah pada satu ketika dahulu sudahpun dimansuhkan.
Bolehkah kita menuding jari kepada para pelakonnya sahaja sedangkan para pengarah terlepas dari menanggung akibat. Lantas kita jangan pula nanti pura-pura lupa bahawa tentu masih ada perkara-perkara yang lebih dahsyat akan keluar selepas ini selepas melihat pembuangan bayi, pengabaian ibu bapa dan warga emas malah sikap brutal yang keterlaluan kumpulan orang muda di negara ini melewati format budaya timur yang kita agungkan satu ketika dahulu.
Lt. Kol (K) Dr. Ahmad Zaki B. Ismail
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia
beras mahal kot skunk...hehehe
ReplyDelete