Wednesday, February 16, 2011

Apalah Mutu Layanan Peniaga Melayu!

DASAR kerajaan membantu peniaga Melayu dan bumiputera tidak pernah berkurang, malah bertambah. Lihat sekarang, sudah ada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan satu daripada lima tumpuannya ialah keusahawanan dan penciptaan kekayaan.

Ketika kita terus melangkah ke depan, jenguk-jenguk juga kepuasan hati pelanggan terhadap urusan perniagaan bumiputera, khususnya peniaga kecil Melayu. Dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan ini, pandai-pandailah peniaga Melayu menyesuaikan diri dengan perubahan sekeliling.

Walaupun asas-asas perniagaan sudah ada dalam diri tetapi faktor utama patut ada ialah sikap sedia memberi layanan terbaik kepada pelanggan. Sikap layanan ‘endah tak endah’ peniaga Melayu baik pengusaha kedai runcit atau restoran masih belum memuaskan.

Masih dapat dilihat layanan tak mesra pelanggan dan lambat. Jika begini layanan yang diterima pelanggan, jangan harap mereka akan datang lagi ke kedai anda. Bukan niat hendak memburuk-burukkan bangsa sendiri tetapi amat-amat berharap mereka berubah.

Kalau mereka sendiri tak mahu berubah sikap, terserahlah. Yang menanggung beban bukan saya tetapi peniaga itu sendiri.

Sebagai pelanggan, saya juga ingin melihat perniagaan orang Melayu berjaya dan mampu membuka cawangan perniagaannya di tempat lain. Kenapa ada segelintir peniaga Melayu berjaya buka banyak cawangan. Jawapannya adalah kerana layanan.

Kalau layanan tidak bagus, perniagaannya akan hadapi masalah. Belajarlah daripada layanan dan budaya perniagaan kaum lain terutama Cina dan Mamak.

Tak perlu sangat premis yang cantik, memadai jika kedai itu bersih dan memberi layanan yang terbaik, kita yakin perniagaan itu akan maju. Kalau kita masuk ke kedai Cina atau Mamak, kita akan disapa oleh pelayan atau tuan punya kedai dengan hormat. Kalau ke kedai Cina, kita biasa dengar sapaan

“Ok tuan, mahu cari apa?” dengan nada lemah lembut. Nada layanan yang sama kalau ke restoran Mamak, “Bos, sila duduk dulu, mahu minum, makan apa?”

Kalau kita ke kedai runcit atau restoran peniaga Melayu, bayangkan bagaimana layanan yang kita terima. Ada masa kita dilayan, ada masanya langsung tak dipedulikan.

Pandai-pandai kita cari apa barangan yang kita ingin beli. Begitu juga layanan di restoran atau warung peniaga Melayu. Kita kena banyak bersabar untuk membuat pesanan.

Peniaga Melayu yang saya sebutkan ini perlu muhasabah atau menilai diri. Lihat dan nilai sendiri kenapa pelanggan bangsa sendiri kurang datang ke kedai anda tetapi sanggup ke kedai orang lain terutama bukan Melayu.

Cermin diri, lihat wajah anda – adakah manis atau muka masam mencuka. Bagaimana nada suara anda melayan pertanyaan pelanggan, mesra atau tidak.

Seperti mana orang Melayu yang lain, saya juga bertekad untuk membantu peniaga Melayu. Tetapi ada kala rasa terkilan dengan perangai dan layanan peniaga bangsa kita yang ambil mudah soal layanan.
Jangan ada sikap peniaga - “nak beli, belilah, tak nak orang lain akan beli”- kelak yang rugi anda sendiri.

sumber : azman.anuar@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment