MENJADI tua merupakan satu proses semula jadi yang tiada seorang pun daripada kita terkecuali daripadanya. Malah memang lumrah di kalangan masyarakat kita bahawa apabila seseorang itu mencecah usia lebih setengah abad, gaya hidup mereka mula ‘perlahan’.
Keadaan menjadi lebih perlahan apabila usia mencecah 75 tahun ke atas.
Meskipun begitu, satu kajian yang dijalankan di Australia pula menunjukkan bahawa satu amalan harian golongan lelaki tidak banyak terjejas selepas mereka berusia 75 tahun ke atas termasuklah dalam hal berkaitan hubungan seks.
Laporan yang dipetik daripada Annals of Internal Medicine menunjukkan bahawa para penyelidik Australia mendapati hampir sepertiga kaum Adam yang lanjut usia masih lagi aktif secara seksual sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Menurut penyelidik utama dari Universiti Western Australia, Dr. Zoe Hyde hubungan seks di kalangan warga emas adalah penting.
‘‘Biarpun usia semakin lanjut namun keinginan untuk melakukan seks tetap wujud kerana ia merupakan asas dalam kehidupan berumah tangga dan juga merupakan cara untuk meluahkan kasih kepada pasangan,’’ ujarnya.
Meskipun hampir berusia 100 tahun, seorang daripada setiap lima lelaki masih menganggap bahawa seks amat penting.
Sememangnya, manusia mempunyai seruan batin dan perasaan syahwat. Tanpanya sukar untuk mereka berpasangan dan menghasilkan zuriat.
Jadi, hubungan intim seksual mustahak bukan saja untuk mendapat zuriat. Ia lebih kepada mengeratkan hubungan serta mendekatkan pasangan suami isteri, sambil memberi keseronokan dan kenikmatan batin kerana biarpun usia sudah meningkat namun keinginan seksual tetap ada.
Malah, tidak ada sebab kenapa pasangan yang berumur tidak boleh melakukan hubungan intim seksual.
Hubungan intim seksual tidak bermakna hanya hubungan melalui penetrasi sahaja.
Hubungan tanpa penetrasi ereksi juga satu hubungan seksual antaranya seperti sentuhan, pelukan, kucupan, geselan dan urutan erotik yang memberangsangkan.
Hubungan seksual perlu dilakukan tanpa tekanan kepada mana-mana pihak dan mengikut kemampuan pasangan.
Malah, satu kajian pernah dilakukan untuk mengetahui sama ada hubungan seksual itu mustahak untuk mereka yang sudah berusia.
Didapati 80 peratus daripada warga tua mengakui hubungan seksual mustahak dalam umur lanjut. Mereka juga setuju ia dapat meningkatkan kemesraan antara pasangan.
Malah mereka juga berpendapat tidak banyak kemudahan untuk mereka mendapat bimbingan dan rawatan mengenai masalah seksual jika diperlukan.
Jadi, kajian tadi jelas menunjukkan hubungan seksual mustahak dan tiada had atau batasan umur.
Jika pasangan memerlukan bimbingan mereka perlu mendapatnya tanpa halangan.
Anggota sulit lelaki yang berumur boleh terangsang walaupun tidak berada dalam keadaan ereksi dan boleh mencapai klimaks.
Keadaan itu juga sama juga dengan perempuan berumur, sentuhan kepada anggota sulit dan puting dapat memberi rangsangan dan nikmat syahwat.
Jadi, lakukan mana yang mampu dan dapat memberi keseronokan kepada diri masing-masing.
Lagipun hubungan suami dan isteri memang harus dari segi agama dan hubungan kelamin itu ibadah.
Oleh Zuhayati Yazid-utusan malaysia
Info menarik nie...
ReplyDeleteApa itu Skim Cepat Kaya ?