DUNIA Islam terus berkecamuk. Selepas huru-hara yang dicetuskan oleh apa yang disifatkan oleh media Barat sebagai kebangkitan rakyat, dua pemimpin negara Arab telah tumbang dan beberapa lagi dalam keadaan terancam.
Bermula dengan kejatuhan Presiden Tunisia, selepas itu Presiden Mesir dan pergolakan yang sama sudah merebak ke Libya, Yemen dan Bahrain. Perkembangan ini dikhuatiri akan terus merebak ke lain-lain negara Arab. Teori domino menjadi kenyataan semula?
Apakah pergolakan yang berlaku akan mengubah sistem pemerintahan dan membawa kebaikan kepada umat Islam di negara-negara berkenaan? Jawapan kepada soalan ini belum berkepastian. Yang pasti pemimpin-pemimpin yang sudah lama memerintah telah ditumbangkan dan akan digantikan dengan pemimpin baru yang belum tentu dapat mengembalikan keamanan dan memenuhi tuntutan rakyatnya.
Agak menarik betapa pergolakan berdarah mutakhir ini melibatkan lebih banyak negara Islam. Barangkali perkembangan terbaru ini membuatkan kita terlupa kepada nasib Afghanistan, Palestin dan Iraq.
Segalanya memungkinkan kita bertanya, apakah ini merupakan bala bencana atau sekadar ujian yang akan memberikan kekuatan baru kepada Islam dan umat Islam untuk bangkit semula? Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui dan kita hanya boleh menunggu putaran masa untuk menelurkan jawapan kepada soalan ini.
Perkembangan di dunia Islam pada zaman moden sungguh mencubit pemikiran. Kita lihat betapa tanah yang terkaya di dunia (berdasarkan pendapatan per kapita) adalah negara-negara Islam yang dikurniakan Allah dengan limpahan rezeki minyak petrol dan gas.
Malangnya, yang termiskin juga negara-negara Islam. Tidak perlu diperincikan satu persatu nama negara-negara itu kerana umum sangat mengetahuinya.
Kenapa boleh jadi begitu? Sepatutnya negara-negara Islam yang kaya menolong negara-negara seagama yang miskin sama ada dalam bentuk bantuan, pinjaman atau pelaburan. Ke mana mengalirnya rezeki yang Allah limpahkan kepada mereka?
Salah satu rukun Islam ialah membayar zakat yang tujuannya supaya orang-orang yang kaya boleh membantu saudara seagama yang miskin.
Setakat ini fardu membayar zakat kita laksanakan di peringkat individu dan syarikat. Kenapa tidak diperluaskan kepada peringkat antara negara? Ingin kita menjemput para pemimpin, ilmuwan dan ulama Islam membincangkan perkara ini. Banyak negara Islam yang mempunyai lebihan pendapatan berbilion mata wang masing-masing.
Inilah hakikatnya. Kita orang Islam mengaku bahawa agama yang kita anuti dan Allah redai ini adalah addin atau cara hidup. Tetapi kebanyakan kita tidak mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya sama ada di peringkat individu, masyarakat, negara dan antara negara.
Bertelagah
Jika umat Islam dalam satu rumah boleh bertelagah dan berpecah, apatah lagi di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa.
Inilah keadaan sebenar yang menimpa umat Islam pada hari ini. Bunuh membunuh, tipu menipu, jatuh menjatuh, fitnah memfitnah dan pelbagai lagi perbuatan yang bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW . Musuh disokong, tetapi saudara seagama dizalimi.
Dan setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul dengan berselawat dan berarak. Balik ke rumah atau pejabat, sebilangan kita kembali berperangai seolah-olah kita bukan umat Muhammad.
Tidak usahlah kita cerminkan diri kita dengan semua sifat terpuji Rasulullah. Ambil sahaja bab benar (sidik) dan amanah, betapa ramai yang gagal mencontohi dua sifat mulia baginda ini. Lihat siapa yang banyak melakukan rasuah?
Mutakhir ini kita sesama kita sudah bertelagah pula mengenai sama ada Maulidur Rasul patut disambut besar-besaran kerana ia bukan fardu. Tidak cukup dengan banyaknya perbezaan fahaman dan pendapat yang belum selesai, kita tokok satu lagi bibit permusuhan sesama kita.
Kenapa umat Islam boleh jadi begini? Betapa Islam bermula daripada seorang insan bernama Muhammad akhirnya berkembang ke seluruh dunia sebagai agama yang paling pesat pertumbuhannya, tetapi umatnya kini lemah dan daif. Satu ketika dulu empayar Islam berkuasa hingga ke Eropah, akhirnya empayar ini runtuh, dan sebuah demi sebuah negara Islam dijajah oleh bukan Islam.
Pada hari ini kita lihat pula sebuah demi sebuah negara Islam yang merdeka dilanda pertumpahan darah dan huru-hara yang memusnahkan kesejahteraan dan menggelapkan masa depan.
Sedangkan Allah berfirman,''kamulah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan manusia, mengajak manusia melaksanakan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran." Ke mana hilangnya anugerah Allah buat kita umat Islam.
Kenapa jadi begini sedangkan kita sepatutnya umat yang memimpin? Mudah-mudahan Allah membukakan pintu hidayatNya supaya kita dapat mencungkil jawapannya. Insya-Allah kita akan sambung bicara minggu depan.
Akhir kalam renungilah maksud ayat al-Quran ini.
''Maka datanglah sesudah mereka (nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW dan umat mereka) pengganti-pengganti yang menyia-nyiakan solat dan mengikut hawa nafsu, maka mereka kelak akan menerima bencana." - 19:59
Salam hormat dari hamba yang amat kerdil di sisi Allah Yang Maha Besar.
Oleh : Maulana Arrif
No comments:
Post a Comment