MINGGU ini Kunta Kinte nak bincang pasal macam mana kita nak hadapi dan atasi suasana dunia yang makin tak menentu akibat perkembangan politik, perubahan cuaca dan bencana alam yang makin kerap berlaku.
Kunta Kinte dah banyak kali tulis dan bagi amaran mengenai bahaya abaikan pertanian sebab dalam semua kejadian dan keadaan ini kesan paling besar adalah ke atas pertanian dan bekalan makanan.
Kunta Kinte dah kata krisis yang datang adalah krisis makanan. Dah berpuluh tahun Kunta Kinte ungkit hal ini dalam komen-komen Kunta Kinte.
Bukan apa, tapi pasal Kunta Kinte lahir dan besar dalam masyarakat penanam padi yang serba kekurangan. Walaupun kita miskin, tapi kita bagi sumbangan besar kepada keselamatan negara dengan mengeluarkan makanan yang sangat-sangat diperlukan.
Ada makan semua jadi, tak ada makan semangat perjuangan pun boleh mati. Itulah yang kita buat dengan pengganas komunis dalam hutan masa darurat pertama 1948-1960. Kita sekat bekalan makanan kepada mereka.
Masa itu, kalau kita berjalan jauh, kita hanya boleh bawa makanan yang dimasak. Salah kalau bawa makanan mentah atau yang tahan lama macam beras, gula dan kopi sebab takut jatuh ke tangan pengganas komunis.
Jadi apa pun kita buat dan apa pun kita tuntut, kita jangan sekali-kali lupa kepada pertanian, terutama pengeluaran bahan makanan. Orang tua-tua kata, perut kenyang hati senang.
Jadi Kunta Kinte risaulah sikit bila dalam macam-macam dasar, rancangan dan transformasi kerajaan, Kunta Kinte tak begitu nampak keutamaan kepada pertanian, pengeluaran makanan dan keselamatan makanan.
Yang banyak Kunta Kinte dengar nak perluas perkhidmatan. Kunta Kinte tak kata itu salah. Memang betullah, lagi maju sesebuah ekonomi, lagi besarlah sektor perkhidmatan.
Tapi tak guna sektor perkhidmatan macam perbankan, pelancongan, perhotelan dan beli-belah yang besar kalau bekalan makanan tak cukup dan harga melambung.
Kunta Kinte bimbang fasal sikit sangat dengar mengenai persediaan kita hadapi kekurangan bekalan makanan global ini. Yang kita tahu, pengeluar makanan utama kita beras bukan saja tak bertambah malah makin kurang akibat cuaca, penyakit padi dan kekurangan tenaga buruh.
Tanaman padi boleh kata dah pupus di Negeri Sembilan dan Melaka. Sawah bendang dah jadi perumahan dan kilang atau dibiarkan jadi belukar tempat kera dan babi hutan.
Di negeri jelapang padi macam Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pun makin banyak bendang ditukar kepada perumahan, kegunaan awam dan perniagaan. Dalam masa sama, produktiviti merosot kerana amalan pertanian yang tak betul dan serangan musuh tanaman.
Kunta Kinte pun dah bertahun-tahun tak jumpa pegawai pertanian, pegawai haiwan dan pegawai pengembangan masuk kampung bagi nasihat dan petunjuk kepada pesawah, pekebun kecil dan penternak. Agaknya masing-masing duduk goyang kaki dalam pejabat berhawa dingin.
Betullah negara-negara Arab yang sedang alami revolusi rakyat sekarang diperintah oleh raja mutlak, presiden seumur hidup, presiden yang berkuasa terlalu lama, presiden yang ikut telunjuk bini dan macam-macam lagi kerenah.
Tapi apakah yang buat rakyat jelata tiba-tiba bangkit, berkorban nyawa berlawan dengan kereta kebal dan bom, ada kerana kerajaan yang tak adil, pengangguran yang tinggi, kekurangan bahan makanan dan harga yang melambung.
Dulu bolehlah kerajaan sekat dengan guna taktik kuku besi dan diayah media massa tradisional. Hari ini tak boleh lagi. Boleh sekat radio, televisyen dan surat khabar siar berita tunjuk perasaan, tapi maklumat tersebar juga melalui media internet macam laman-laman berita bebas, blog, Facebook, Twitter, YouTube dan macam-macam lagi. Bila Mesir tutup internet, ekonomi lumpuh tapi penunjuk perasaan boleh juga buat hebahan guna proksi di Eropah atau Amerika. Inilah yang dikata dunia tanpa sempadan.
Dalam revolusi siber ini, hatta bala tentera dan polis bersenjata pun tak boleh lawan sebab ratusan dan jutaan rakyat jelata – lelaki perempuan, tua muda, miskin, kaya – ambil bahagian dan dunia boleh tengok secara langsung 24 jam sehari melalui televisyen satelit.
Jadi kita kenalah berjaga-jaga dan bersiap sedia. Kerajaan di mana-mana pun tak boleh lagi buat sesuka hati atau cuba sembunyi perkara yang tak betul atau tak kena, apatah lagilah bagi kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Jangan sangka apa yang keluar dalam media massa arus perdana atau media tradisional orang percaya dan suka. Sekarang ini ada banyak saluran maklumat alternatif di tangan rakyat jelata. Mereka bukan saja boleh dapat maklumat alternatif, tapi mereka juga boleh bertukar-tukar berita dan berbincang.
Tak kiralah sama ada kerana masalah pengangguran, kekurangan makanan, kenaikan harga barang, salah guna kuasa atau rasuah, pemerintah hari ini eloklah berhati-hati dan berjaga-jaga.
Kita takut akan ada orang atau pihak yang cuba guna konsep ‘revolusi rakyat’ ini sebagai taktik menggugat pemerintah atau membuat rampasan kuasa dengan membelakangkan proses pilihan raya.
Tapi kalau sesebuah negara itu ditadbir melalui demokrasi dan kerajaan yang dipilih itu pula cekap dan amanah, Kunta Kinte tidak nampak mengapa harus terjadi tunjuk perasaan liar dan ganas.
Kita janganlah tiru orang lain semata-mata kerana kita bebas meniru. Kunta Kinte kata tunggu sajalah pilihan raya dibuat dan kita adakan tunjuk perasaan kita melalui peti undi. Insya-Allah kita selamat.
Kunta Kinte original
No comments:
Post a Comment