KERANA kepentingan politik, Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh bertukar angin. Kini Nik Aziz seperti lalang ditiup angin terpaksa melentuk semula kepada orang Melayu. Bagaimana begitu mudah Nik Aziz dapat menarik kata-katanya dahulu bahawa beliau tidak bangga pun jadi dan dilahirkan sebagai Melayu.
Perubahan mendadak itu pun berlaku setelah satu kejadian mendapati pihak pembangkang akan kehilangan 34 kerusi Parlimen jika Pas gagal mengembalikan sokongan Melayu pada pilihan raya umum akan datang. Apabila tersentak dengan hasil kajian itu barulah Nik Aziz mula mengubah nadanya.
Tok Guru Pas itu menyatakan bahawa perjuangan terhadap Melayu perlu diutamakan. Katanya; "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia)."
Malah kata Nik Aziz lagi, kaum paling dominan adalah orang Melayu. Sudah tentu perubahan nada dan pendirian beliau itu menjemput tanda tanya.
Sehingga hari ini kita belum mendengar sepatah pun perkataan mohan maaf daripadanya. Nik Aziz kena minta maaf kerana banyak kenyataan dan tindak-tanduknya memudaratkan kepentingan agama dan bangsa Melayu.
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan itu beberapa kali menolak perjuangan terhadap bangsa Melayu kerana menganggap ia tidak dilakukan oleh Islam selain turut menolak perjuangan nasionalis kerana dakwanya, ia bercanggah dengan ajaran Islam.
Apakah perubahan pendirian ini sebahagian strategi Nik Aziz dan Pas ini benar-benar ikhlas untuk mempertahankan hak Melayu atau hanya kerana agenda mahu menang dalam pilihan raya?
Pemikiran seumpama ini dapat dibaca oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melihat Nik Aziz sebagai oportunis. Bila sedar mereka tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu, Pas mahu balik kepada Melayu. Esok bila sudah dapat sokongan orang Melayu, mereka balik kepada ideologi lama kononnya, perjuangan bangsa bukan perjuangan Islam.
Kenyataan Nik Aziz kini berubah-ubah. Bukan mustahil hari ini mereka bercakap lain dan esok mereka cakap lain. Jadi Nik Aziz perlu berhenti menjadikan kaum Melayu sebagai umpan politik terbarunya.
Hakikatnya Pas bukan berjuang kerana Islam tetapi lebih cenderung untuk memegang kuasa sehingga mereka sanggup mengeluarkan fatwa politik bahawa golongan yang menolak Pas adalah masyarakat jahiliah serta menolak Islam.
Jika benar Pas memperjuangkan nasib orang Melayu, mengapa mereka tidak memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang dan negeri lain?
Kenapa pemimpin Pas sanggup menjadi 'bisu dan pekak' walaupun DAP sering mengganggu gugat urusan agama Islam?
Pas terlalu banyak berdolak-dalik berhubung pendirian dan hala tuju parti itu apabila bekerjasama dengan DAP.
Selain faktor kejutan kajian tersebut, Pas dipercayai akan menggunakan isu agama dan bangsa Melayu ini untuk meraih simpati pengundi di Merlimau dan Kerdau menjelang pilihan raya kecil pada 6 Mac ini.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment