Pernah seorang kenalan (bukan sahabat saya) memberitahu, "Tak guna kalau jujur sangat dengan orang. Bini pun perlu ditipu sekali-sekala.."
Ada kalanya, terfikir juga..mungkin ada benarnya kata-kata si fulan itu.
Tapi, bila difikirkan semula, mengapa sampai perlu berbohong dalam sesebuah hubungan? Bukankah pendustaan itu suatu pengkhianatan, dan berdusta itu merupakan salah satu daripada tiga ciri munafiq?
Rasulullah s.a.w sendiri bersifat amanah, dan digelar Al-Amin. Sudah pastinya Baginda tidak pernah berbohong, hatta kepada isteri-isteri Baginda.
Cuma...jika seseorang manusia itu mempunyai jalan hidup yang fasiq, sudah pasti dia tidak dapat lari daripada berbohong.
Ada individu yang memilih untuk berbohong dari A hingga Z. Bermula dari usia, nama sebenar, tempat tinggal, status diri, hinggalah kepada status kewangan, kecenderungan dan kesukaan serta perasaan, semuanya bohong. Tidak kiralah apa alasan yang memerlukan untuk dia berbohong..ataupun memang orang sebegini tidak memerlukan sebab untuk berbohong!
Untuk kategori manusia yang berbohong secara suka-suka sebegini, seluruh kehidupan mereka adalah hampa dan kosong. Saya tidak mahu ada kaitan langsung dengan individu sebegini. Minta Allah jauhkan dari mereka. Nak bercakap mengenai mereka pun saya tak ada 'mood'.
Seorang suami yang curang dan melanggar batas syariat, sudah tentu sukar untuk berkata jujur terhadap isterinya.
Apabila ditanya sebab mengapa pulang lewat, jika dia menjawab dengan jujur "tadi abang ada date dengan girlfriend, rakan sepejabat", alamatnya perang dunia bakal tercetus. Jika si suami itu jenis yang lebih suka beralah, mungkin dia akan dikenakan 'perintah berkurung' sebagai hukuman paling ringan. Jika kedua-dua pihak tiada yang mahu mengalah, jawabnya kemungkinan besar mereka bakal turun-naik mahkamah syariah...dan berakhir dengan perceraian.
Hmm. Boleh jadi, sebab itulah ramai orang memilih untuk berbohong, kononnya sebagai jalan keluar yang 'paling selamat'.
Saya kata: jika mahu benar-benar selamat, pilihlah jalan hidup yang bersih dan lurus...supaya tiada keperluan untuk berbohong!
Ya..bunyinya cukup mudah. Tapi perlaksanaannya cukup payah.
Ada kalanya, jalan hidup yang dipilih sudah cukup bersih, tetapi realiti kehidupan yang rumit dan kompleks seakan memaksa kita agar menyembunyikan perkara yang benar.
Ramai juga individu yang memilih untuk berbohong dalam hal-hal tertentu sahaja dan bersikap jujur dalam hal-hal yang lain. Mungkin ini yang menjadi pilihan majoriti manusia hari ini.
Jujur dalam hal perasaan, tapi berbohong dalam hal kewangan.
Jujur dalam persahabatan, tetapi menipu dalam hal kerja.
Jujur kepada rakan dan keluarga, tetapi berbohong kepada pelanggan.
Apakah susah sangat hendak menjadi jujur sepenuhnya??
Ya..terdapat beberapa orang yang meluahkan pendapat; "Buat apalah nak berlaku jujur, kalau kejujuran itu tidak dihargai!"
Payah juga sebenarnya. Seorang bekas penagih dadah contohnya, akan berhadapan dengan kesulitan mencari kerja, atau mencari jodoh. Begitu juga halnya dengan lelaki atau wanita yang pernah terlibat dengan seks luar nikah. Seorang lelaki yang mahu berpoligami tetapi tidak mendapat restu isteri, hasratnya pasti terhalang selagi dia memilih untuk berlaku jujur sepenuhnya. Pasangan yang berkahwin secara diam-diam, juga menghadapi masalah untuk tidak berbohong pada keluarga dan rakan sekerja. Seorang peniaga yang tidak sebulu dengan politik parti yang berkuasa, juga berhadapan dengan kesulitan dalam banyak hal jika kecenderungannya tidak disembunyikan.
Maka tidak hairanlah jika ramai di kalangan individu dalam kategori sebegini, yang terpaksa mengambil jalan 'mudah' untuk berbohong.
Di sinilah silapnya. Berbohong bukanlah satu jalan yang mudah. Mungkin ia merupakan jalan pintas, tetapi ianya bukan mudah.
Ramai orang yang memilih untuk berbohong kerana mahu mengelakkan diri daripada kesulitan. Tetapi hakikatnya berdusta hanya menambah kesulitan yang ada.
Mungkin ada beberapa perkara yang menjadi mudah sekiranya berbohong, tetapi itu hanyalah dalam jangka masa pendek. Untuk jangkamasa panjang, pembohongan mendatangkan kesulitan yang lebih besar.
Contoh paling mudah, kita ambil contoh solat. Seorang anak yang malas untuk bersolat, akan berbohong apabila ditanya oleh orangtuanya samada dia bersolat atau tidak.
Hari berlalu. Sepanjang anak itu bersekolah, hinggalah dia melanjutkan pelajaran di universiti, tamat belajar dan mula bekerja, hinggalah dia berumahtangga dan memiliki zuriat. Dia mungkin boleh membohongi orangtuanya, tetapi dia tidak dapat membohongi orang yang hidup bersama dengannya.
Moral yang pertama: tiada pembohongan yang benar-benar 'selamat'. Lambat laun pasti akan terbongkar juga kepada pengetahuan insan yang anda bohongi. Ketika itu, pembohongan sudah TIDAK BERGUNA LANGSUNG kerana tembelang sudah pecah.
Dan, apabila orang ini berpindah (atau sebenarnya terpaksa pindah) ke alam barzakh, pembohongan adalah mustahil untuk dilakukan. Dan kejujuran pula tidak membantu. Tipu pun kena, tak tipu pun kena. Sebab dia telah memilih jalan hidup yang salah.
Moral yang kedua: jika memilih jalan hidup yang salah, di akhirnya nanti anda akan menanggung rugi..ketika itu, sama sahaja samada anda berbohong ataupun berkata benar. Sudah terlambat. Hukuman tetap tidak dapat dielakkan.
Kesimpulannya, pilihlah jalan hidup yang benar-benar bersih dan lurus. Mungkin ada sedikit kesulitan di peringkat awal, tetapi untuk jangka panjang amat besar manfaatnya.Dijamin pasti kita tidak akan menyesal di kemudian hari.
Akhir sekali, pesan untuk diriku dan para pembaca sekelian..Berlaku jujurlah selagi belum terlambat.
MalaysiaRia/Pondok Hearty
No comments:
Post a Comment