EPISOD hubungan Pas dengan DAP yang turut dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah banyak diperkatakan. Setiap kali Dr. Mahathir mengkritik Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau tangkas menjawab balas.
Dalam episod terbaru mengenai Pas dan DAP, Mursyidul Am Pas itu menyuarakan, hubungan tersebut membolehkan Pas memperkenalkan Islam kepada DAP kerana perkara itu gagal dilakukan oleh UMNO.
Bagi Nik Aziz, hasil hubungan akrab tersebut, serangan DAP terhadap Islam telah bertukar. Kata tok guru itu, “serangan DAP kepada Islam, alhamdulillah sekarang ini bertukar daripada langkah mayat kepada boleh berunding.”
Akibat kenyataan seumpama itu juga, dapat dilihat sekarang keghairahan pemimpin DAP keluar dan masuk masjid serta surau tanpa menjaga sensitiviti umat Islam.
Apa yang telah ditarbiah dan didakwahkan oleh Nik Aziz kepada pemimpin DAP? Tak nampak pun kebaikannya, di sebaliknya semakin bertambah angkuh beberapa wakil rakyat parti itu bertindak kurang ajar dan biadab ketika memasuki kawasan ibadat umat Islam.
‘Lesen’ kononnya DAP sudah memahami Islam itu dipergunakan apabila DAP ghairah ‘menonjolkan soal keislaman’ sebagai pendekatan baru untuk menarik orang Melayu kepada parti tersebut.
Amat memeranjatkan sebuah parti yang menolak penubuhan Negara Islam melakukan perubahan nilai. Tidak pernah pun ada dalam perjuangan sosialis DAP selama ini ghairah menonjolkan unsur-unsur keislaman.
Perkara yang sangat pelik ini sedang wujud dan harus diberi perhatian serius. Ini kerana kita tidak mahu orang Melayu Pas, PKR, Melayu liberal dan Melayu yang tidak memihak sesiapa terlupa bahawa di belakang parti itu ada pemimpin yang tidak menitik beratkan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi, Perkara 153 yang menjamin keistimewaan orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Kerana mahu menunjukkan kesetiakawan dengan DAP, perjuangan Pas yang asal untuk menegakkan hukum Hudud kini telah berubah menjadi perjuangan membela bangsa lain iaitu DAP. Hudud tinggal kenangan.
Masihkah anda ingat bagaimana Nik Aziz mengatakan beliau tidak berbangga dengan kejadian dirinya sendiri sebagai bangsa Melayu. Jadi tak menghairankan kini Nik Aziz bersama-sama DAP amat lantang menentang Islam dan Melayu.
Sebagai parti politik, Pas sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan kepentingan politik mereka terjamin dan menghalalkan apa yang mereka lakukan.
Kalau dulu mereka kata bekerjasama dengan orang kafir, kita akan jadi kafir, tetapi kini mereka melakukan perkara sama dan dipertahankannya dengan pelbagai alasan.
Pas menuduh UMNO kafir apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC tetapi kini mereka melakukan perbuatan sama apabila bersekongkol dengan DAP.
Banyak situasi sudah kita lihat bagaimana Nik Aziz sanggup menukar tafsiran terhadap Islam kerana politik. Beliau antara pemimpin Pas paling cekap memanipulasi pemikiran dan menukar tafsiran dalam apa-apa isu termasuk menjadikannya selari dengan kehendak rakan bukan Islam.
Sekali lagi, masihkah anda ingat bagaimana Pas menghalalkan tindakan khatib mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong dengan alasan untuk menarik bukan Islam kepada Islam.
Begitu juga kes Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mencemari kali kedua kesucian institusi Islam dengan memakai pakaian ketat dalam majlis senamrobik di pekarangan masjid.
Apakah semua ini dilakukan oleh Nik Aziz kerana percaya DAP lebih menghormati Islam daripada UMNO. ‘Ustaz dan ustazah’ DAP sudah mampu memberikan salam dan membaca hadis walaupun belum berkhatan dan mengucap?
Sejak kebelakangan ini, atas nama perkongsian matlamat politik, batas-batas kesucian Islam cuba dilanggar. Selain ruang solat dimasuki, ayat-ayat suci al-Quran dibaca dan diterjemah oleh pemimpin bukan Islam dalam DAP dan PKR.
Janganlah kerana hendak undi politik, maka Nik Aziz dan Pas membiarkan DAP dan bukan Islam lain mencemarkan kesucian agama kita?
Azman Anuar-utusan
No comments:
Post a Comment