nuffnang

Saturday, December 11, 2010

Sikap Sebenar PKR Dan DAP Terhadap Pas

SELAMA ini apabila Muryidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan yang dilihat menyokong pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, beliau pasti akan disokong oleh pemimpin kedua-dua parti berkenaan.

Biarpun kadang kala kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dilihat bertentangan dengan pendirian sesetengah pemimpin Pas tetapi oleh kerana ia memihak kepada PKR dan DAP, maka beliau akan dibela.

Tetapi dalam isu cadangan melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri kalau mimpi pembangkang menawan Putrajaya menjadi kenyataan Nik Abdul Aziz menerima layanan sebaliknya.

Ia hanya kerana apabila Mursyidul Am Pas tersebut menegaskan, Kit Siang boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri jika Penasihat DAP itu menjadi seorang muslim yang taat.

Anwar menganggap itu kenyataan peribadi Nik Abdul Aziz dan mempertahankan hak Kit Siang untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Di pihak DAP pula, Karpal Singh dalam satu kenyataan meminta Nik Abdul Aziz mengkaji peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Pendek kata, kedua-dua parti itu yang selama ini dilihat sudah lama memperkotak-katikkan Pas demi kepentingan politik mereka menolak menentang kenyataan Nik Abdul Aziz.

Pendirian PKR dan DAP ini seharusnya memberikan pengajaran bukan sahaja kepada Pas tetapi juga Nik Abdul Aziz bahawa kedua-dua parti itu sama sekali tidak akan bersetuju dengan sebarang pandangan Pas jika ia menyentuh kepentingan mereka.

PKR dan DAP hanya ingin memperalatkan Pas bagi meraih undi demi mencapai cita-cita mereka untuk menguasai Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mereka tidak pernah mahu menghormati pendirian Pas apatah lagi jika menyentuh soal-soal Islam.

Pas bukannya tidak mengetahui perkara ini tetapi sengaja melupakannya demi menjaga hati kedua-dua parti tersebut. Tetapi dalam masa yang sama PKR dan DAP tidak pernah mempunyai niat sedemikian.

Bagi mereka, Pas hanya perlu menyokong sahaja apa juga yang dicadang atau dilaksanakan oleh PKR dan DAP. Dalam bahasa mudah, Pas hanya layak menjadi ‘pak turut’, bukannya memberi cadangan atau menentang tindakan kedua-dua parti berkenaan.

Mungkin penyokong-penyokong Pas tidak bersetuju dengan pandangan ini, tetapi itulah hakikat yang perlu mereka terima.

Pas tidak akan berupaya melakukan apa-apa selagi bekerjasama dengan PKR dan DAP. Kalaulah dalam soal pelantikan Timbalan Perdana Menteri pun Pas tidak boleh memberi pandangan, apatah lagi isu-isu lain.

Kita juga seharusnya tidak terkejut dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Pas bahawa mereka tidak dibawa berbincang berhubung soal pelantikan itu.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin Pas harus bertindak jujur dan bertanya sesama sendiri sejak bila pula PKR dan DAP mendapat pandangan Pas sebelum membuat sesuatu kenyataan atau tindakan?

Sebagai contoh dalam isu pilihan raya bagi memilih ahli majlis daerah seperti mana dicadangkan oleh DAP di Selangor baru-baru ini, ia juga tidak diketahui oleh Pas tetapi atas nama pakatan mereka dipaksa untuk menyetujuinya.

Semua ini sudah menampakkan ketidakjujuran kedua-dua parti itu dalam bersahabat dengan Pas.

Kita juga tidak harus lupa bagaimana DAP menentang perjuangan Islam yang cuba dibawa oleh Pas dan demi kepentingan bersama Pas seolah-olah sudah tidak lagi berani bercakap soal itu.

Satu lagi fakta yang tidak harus dilupakan oleh PKR dan DAP atau mungkin di kalangan sesetengah pemimpin Pas ialah Pas bukanlah calang-calang parti.

Justeru apabila Anwar lebih mengutamakan Kit Siang berbanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri jelaslah sudah ada hasrat tersembunyi untuk memastikan dalam pilihan raya umum akan datang, Pas tidak akan diberi kerusi melebihi apa yang bakal diperolehi oleh PKR dan DAP.

Maknanya, Pas akan ditentukan berada pada kedudukan ketiga di kalangan parti-parti pembangkang bagi membolehkan PKR dan DAP menguasai semua jawatan penting dalam kerajaan jika pembangkang merampas tampuk pemerintahan negara.

Mungkin bagi pemimpin Pas apa yang lebih penting sekarang ialah menang dulu pilihan raya barulah bercakap soal kedudukan tetapi mesej yang boleh dipelajari oleh Pas ialah sudah ada kecenderungan oleh Anwar untuk mengutamakan DAP dalam apa juga segi.

Semua ini perlu disedari oleh Pas supaya dalam pilihan raya umum akan datang parti itu tidak diibaratkan seperti melukut di tepi gantang dan akhirnya mengakibatkan ‘yang dikejar tak dapat dikendong berciciran.’

Oleh Zulkiflee Bakar-utusan

No comments:

Post a Comment