Tuesday, December 14, 2010

Kajian Suaram Tidak Jujur

Benarkah Malaysia kini kembali ke zaman masyarakat tertutup? Itu pandangan yang disuarakan oleh pertubuhan hak asasi manusia (SUARAM) dalam portal Malaysiakini, 9 Disember lalu.
Ahli jawatankuasa sekretariat Suaram, Hasbeemaputra Abu Bakar membuat dakwaan itu berdasarkan kajiannya kepada jumlah tangkapan dalam perhimpunan rakyat dan kawalan ketat ke atas media.

Mudah sungguh beliau membuat analisis. Apa disiplin ilmu yang beliau gunakan hingga membuat kesimpulan begitu?

Apakah Hasbeemaputra sudah bertanya kepada ribuan rakyat yang menjadi mangsa perhimpunan rakyat itu? Hak asasi manusia mereka juga mesti dihormati. Janganlah double standard bila membuat kajian.

Sejak bila Malaysia melalui zaman masyarakat tertutup? Sedangkan kita masih bebas mendengar radio, menonton televisyen, membaca akhbar dan majalah, melayari Internet, menonton TV Pas dan TV Selangor, dan membaca pelbagai akhbar yang diterbitkan oleh parti-parti politik.

Sementara parti-parti politik pembangkang tanpa mengira ada pilihan raya atau tidak - terus menganjurkan ceramah setiap hari. Tidak cukup dengan itu, mereka menganjurkan pelbagai perhimpunan sehingga berdemonstrasi di jalanan tanpa menghormati kesucian masjid.

Apakah itu bukan kebebasan bersuara? Apakah itu bukan kebebasan berhimpun, walaupun dibuat tanpa permit, polis masih membenarkannya?

Kalaulah Malaysia masyarakat tertutup, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bebas -- baik di dalam negeri malah hingga ke luar negara tanpa segan silu menghina, mencerca dan memburuk-burukkan negara sendiri. Tiada sekatan dan tindakan daripada kerajaan.

Bacalah akhbar parti Keadilan yang tiada permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih bebas diterbitkan dan dijual. Begitu juga akhbar Pas iaitu Harakah walau pun disyaratkan dijual kepada ahlinya saja, tetapi terus bebas dijual secara terbuka di merata tempat.

Itu yang Suaram kata ruang informasi semakin mengecil dan kawalan ke atas media? Itu belum lagi membaca penulisan di dalam blog, Facebook dan Twitter. Apa yang mereka tidak tulis. Penuh dengan fitnah dan putar belit fakta. Sesiapa saja boleh melayari dan membacanya. Bebas untuk percaya atau tidak.

Apa yang Suaram hendak lagi? Jadi di mana logiknya Suaram mengatakan Malaysia kini kembali ke zaman rakyat tertutup seperti di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hakikatnya zaman Dr. Mahathir juga tiada sekatan dan memberi kebebasan dalam banyak hal.

Semua parti pembangkang diberi hak menerbitkan akhbarnya sendiri. Kecuali yang melampau hingga menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara tentulah dikenakan tindakan.

Itu adil kerana negara ini ada peraturan dan undang-undang yang mesti dihormati.

Suaram tentu suka membaca Suara Keadilan dan Harakah. Soalnya itukah corak kewartawanan yang Suaram mahu? Tajuk-tajuk beritanya saja sudah misleading pembaca. Di mana kejujuran, kebenaran dan keikhlasan yang menjadi etika kewartawanan?

Kalau ini zaman rakyat tertutup sebenarnya yang tertutup adalah pemikiran Hasbeemaputra, termasuk Suaram yang menolak realiti semata-mata kerana membenci kerajaan. Jika beliau seorang yang jujur, ikhlas dan terbuka tentulah kajiannya adil.

Saya cuma mahu mengingatkan Hasbeemaputra, kembalilah kepada Islam sebenar. Tidak ada kebebasan yang mutlak seperti yang beliau mahukan.

Burung yang bebas berterbangan di angkasa dan ikan yang berenang di lautan pun terbatas pergerakannya. Inikan pula manusia seperti Habeemaputra. Atau, beliau manusia istimewa anugerah Tuhan?

Namun, kebebasan itu bukan seperti oksijan yang kita sedut di udara.


Oleh: M. Hanafiah A. Samad
          Parit Yusof, Muar

1 comment:

  1. salam...

    mohon anda linkkan blog saya dalam blog list anda. saya sudah berbuat demikian.

    ReplyDelete