Friday, December 10, 2010

Surat Untuk Ragunath Kesavan

PRESIDEN Majlis Peguam, Ragunath Kesavan dilaporkan telah menuduh polis menggunakan kekerasan ketika demonstrasi perarakan yang dikepalai oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Saya tidak menggunakan perkataan diketuai kerana sebagai seorang Menteri Besar beliau sebenarnya tidak layak untuk menjadi ketua. Yang layak hanya sebagai kepala sahaja.

Sama seperti kepala kereta api dan macam-macam kepala lagi.

Namun bukan mengenai Menteri Besar Selangor yang hendak saya persoalkan. Orang yang tak layak menjadi ketua tidak layak untuk diperbicarakan.

Perkara yang hendak dipersoalkan adalah perihal Presiden Majlis Peguam ini. Bagi saya Ragunath juga tidak layak untuk menjadi ketua kepada Majlis Peguam kerana beliau secara tidak langsung telah menghalalkan tindakan seseorang seperti Khalid itu.

Ragunath telah menuduh pihak polis melakukan kekerasan ke atas pendemonstrasi jalanan dan tahukan beliau tindakan pihak polis itu sebenarnya tidak akan berlaku sekiranya Khalid tidak melanggar undang-undang dengan mengadakan demonstrasi tanpa permit dari pihak polis?

Kenapa tindakan polis yang harus dipersoalkan sedangkan kesalahan Khalid menganjurkan demonstrasi haram itu tidak pula dipersalahkan?

Ragunath, kalau saudara ada cita-cita untuk menjadi wakil rakyat dan berharap pihak PKR (Parti Keadilan Rakyat) mencalonkan anda sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 sekalipun, janganlah menghalalkan perkara yang salah dan menyalahkan orang lain yang bertungkus lumus menegakkan undang-undang yang dipelopori oleh kebanyakan peguam.

Saya berkata demikian kerana ada segelintir peguam yang tidak faham undang-undang yang mereka pelajari dan kerana itu mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar etika seorang peguam.

Sebab itulah pihak Majlis Peguam tidak berani bertindak ke atas peguam yang dituduh membunuh seorang jutawan kosmetik satu ketika dulu.

Presiden Majlis Peguam bila didesak untuk bertindak berkata, Majlis Peguam tidak punya kuasa untuk bertindak. Tapi bagaimana pula Presiden Majlis Peguam boleh menuduh pihak polis bertindak kasar ke atas pendemonstrasi sedangkan demonstrasi itu sendiri diadakan secara haram?

Niat membunuh adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. Baru niat pun dah kira salah, inikan pula melakukan sesuatu yang terang-terangan menyalahi undang-undang.

Berhimpun beramai-ramai tanpa permit dari pihak polis adalah satu kesalahan. Kalau buat juga, bermakna telah melakukan kesalahan. Kalau itu pun pihak Majlis Peguam yang berpresidenkan Ragunath kurang arif, maka saya berpendapat benarlah saudara Ragunath ini tidak tahu undang-un

Sepatutnya beliau harus melepaskan jawatan sebagai Presiden Majlis Peguam. Ragunath tidak layak digelar seorang peguam kerana seorang peguam seharusnya menegakkan undang-undang bukan mencabulinya.

Bersekongkol dengan Khalid yang telah berjanji dengan pihak polis untuk tidak berdemonstrasi dan beliau diiring pihak polis ke Istana Negara. Tapi Khalid mungkir janji.

Anda telah bersubahat dengan pihak yang melanggar undang-undang negara, dan anda tidak merasa malu untuk memanggil diri anda sebagai Presiden Majlis Peguam Malaysia.

Jika inilah karekter dan hati budi seorang peguam, saya percaya kelak negara akan ditadbir oleh samseng-samseng jalanan yang menegakkan sesuatu yang salah dan menghalalkan sesuatu yang haram.

Bagi seorang samseng, mana ada halal dan haram. Yang ada adalah apa yang mereka mahu mereka dapat.

Kepada pendemonstrasi jalanan, janganlah jadi lembu yang dicucuk hidung dan menyusahkan ratusan ribu orang yang tidak bersalah dan berkepentingan lain hanya kerana anda beranggapan anda akan mendapat sedikit habuan bila kepala samseng ini berjaya kelak.

Ingatlah, suatu hari nanti anda juga akan balasan ke atas apa yang telah anda lakukan.

Kepada pihak polis, jalankan tugas anda tanpa takut dan ragu.

MEZA
Sg. Buloh-utusan

Demo: Tak setuju Suhakam, Majlis Peguam tegur polis
SAYA tertarik hati dengan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia mengenai demonstrasi haram mengenai kenaikan tarif air yang diketuai oleh menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pada 5 Disember lalu.

Suhakam berkata, polis bertindak kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika menyuraikan demonstrasi itu. Majlis Peguam pula berkata polis bukan saja bertindak kasar tetapi juga menindas.

Sebagai penegak undang-undang, Suhakam dan Majlis Peguam sewajarnya tidak menyebelahi pihak yang melanggar undang-undang menganjurkan perhimpunan haram. Kenapa tidak menasihatkan Menteri Besar Selangor memohon permit?

Polis telah bertoleransi membenarkan perhimpunan itu diadakan walau pun haram. Kalau sudah melanggar undang-undang ikutlah arahan? Polis tidak pernah bertindak sebelum memberi arahan. Jadi tidak ada sebab mahu menyalahkan pihak polis.

Sebenarnya penunjuk perasaan yang melakukan provokasi terhadap polis sambil terjerit terlolong dan membaling batu. Kenapa anggota Suhakam yang hadir di situ tidak mencatatkan hal ini? Jadi apa tujuan beliau hadir? Untuk mencari kebenaran atau salah polis?

Suhakam janganlah berpura-pura berselindung di belakang slogan hak asasi manusia. Begitu juga majlis peguam yang berselindung di sebalik akta kebebasan bersuara atau kebebasan berhimpun.

Negara kita ada peraturan dan undang-undang, terutama kepada orang awam lain yang tidak terlibat dengan demonstrasi. Mereka juga mempertahankan hak asasi manusia untuk menjalani kehidupan yang aman dan tenteram bersama keluarga tanpa diganggu oleh peserta demonstrasi.

Kenapa Suhakam tidak melihat hak asasi orang terbanyak ini? Hak asasi manusia mereka juga perlu dilindungi.

Suhakam dan Majlis Peguam perlu bersikap adil, jujur dan ikhlas jika benar-benar mahu mempertahankan undang-undang dan memperjuangkan nasib rakyat. Jangan memihak dan mencari salah saja.

Kalau Suhakam dan Majlis Peguam mahu menjadi badan yang dihormati dan kata-katanya dipercayai masyarakat maka ia perlu bebas dan berintergriti. Jika tidak tak usahlah cakap soal kebebasan dan kebenaran. Polis sudah bertindak betul.

M. Hanafiah A. Samad
Parit Yusof, Muar, Johor- utusan

No comments:

Post a Comment