Sunday, December 26, 2010

Kisah Pantai Cenang...

SUDAH dua tahun Awang tidak ke Pulau Langkawi. Minggu lalu ketika berkunjung ke sana, Awang terganggu dengan beberapa perkembangan. Paling ketara ialah peningkatan mendadak spa dan pusat urut terutama di jalan di pesisir Pantai Cenang.
Ia bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. 
Spa, di kiri dan kanan jalan. Khabarnya, aktiviti tidak sihat mula menjadi perhatian pelancong asing mahupun tempatan. Awang khuatir tidak lama lagi Langkawi akan menjadi seperti Phuket. Apakah itu yang kita mahu?


Pusat urutan Thai juga banyak. Sepatutnya yang patut diberi keutamaan ialah pusat urutan tradisional yang diusahakan oleh orang tempatan. Nampaknya Langkawi makin ‘dikuasai’ elemen asing. Itu belum bercakap tentang bisnes lain terutama restoran. Awang berharap imej dan ciri-ciri keunikan tempatan Langkawi dapat dipertahankan walaupun kita mahu memperhebatkan industri pelancongan. Menyusuri jalan di Pantai Cenang itu benar-benar membuatkan perasaan Awang direntap.

Pantai Cenang tidak sedamai seperti suatu ketika dahulu. Mujurlah pengalaman berkenalan dengan Mashhor Salleh, 44, yang mengusahakan kedai menjual buku terpakai bahasa-bahasa utama dunia, mengubat sedikit duka. Beliau menjadi satu-satunya orang Melayu menjalankan perniagaan kecil itu atas nama Your Language Books Corner. Untungnya tidak besar tetapi Mashhor menjadi tumpuan ramai pelancong asing yang mencari buku bacaan termasuk bahasa Inggeris, Jerman, Sepanyol, Belanda, Rusia, Arab, Perancis, Itali, Finland, Jepun dan Korea. Bakti kepada Langkawi dan industri pelancongan tidak semestinya dengan hotel, spa atau restoran. Buku juga punya nilai besar. ‘‘Pelancong suka mencari buku dan novel dan saya bangga dapat menjadi jambatan ilmu,” kata Mashhor. Setiap hari beliau akan membaca sekurang-kurangnya intipati penting lima buah buku asing. Minatnya terhadap buku juga luar biasa. Dia ceria dan bertenaga bercakap tentang apa sahaja topik mengenai buku daripada penulis, gaya penulisan, kandungan sehinggalah industri buku. Sesiapa yang mengunjungi kedai kecil itu dilayan seperti tetamu. Jika buku yang dicari tiada dalam simpanannya, beliau boleh menghubungi sumber-sumbernya di luar negara. Menariknya lagi, sebahagian buku terbaik dunia dan sukar menembusi pasaran negara kita, beliau boleh ikhtiarkan sehingga ada.

Mesranya kepada pelancong juga seperti duta pelancongan. Dua kali ke kedainya, Awang dapat rasakan suasana itu. Ada sahaja pelancong yang melambai tangan. Kebanyakannya adalah pelanggan beliau yang pernah membeli atau menjenguk buku di situ. Orang seperti dia menjadikan Pantai Cenang istimewa. Terima kasih Mashhor.

Oleh : Awang Selamat

No comments:

Post a Comment