Saturday, December 18, 2021

Waktu Untuk Pisahkan Agama & Negara Oleh Kerajaan Pusat

Siti Kasim, peguam merangkap aktivis, telah mengeluarkan kenyataan di laman Twitter beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Kerajaan Pusat memisahkan agama dan negara.

“Tepat sekali. Kenapa ada sesetengah orang Melayu yang keliru? Ianya kerana bertahun-tahun didoktrinasi dan ‘dibasuh’ oleh jentera-jentera kerajaan bagi mencemarkan minda orang Melayu dengan versi Islam yang tertentu. Islam Arab. Bukan Islam menurut al-Quran. Waktu untuk pisahkan agama & negara oleh Kerajaan Pusat.” Berikut merupakan kenyataan penuh beliau.

Ulasan tersebut dibuat berdasarkan sebuah ciapan lain oleh Dato’ Mohd Zaid bin Ibrahim, seorang ahli politik parti DAP, yang menyatakan bahawa masalah asimilasi kaum di Malaysia berpunca daripada kaum Melayu sendiri.

“Pemimpin Melayu seperti Dr. M sering merungut kenapa kaum bukan Melayu tidak mahu berasimilasi. Tidakkah mereka tahu masalahnya adalah kaum Melayu sendiri? Kaum Melayu tak tahu sama ada mereka nak jadi Melayu ataupun Arab,” ujar Dato’ Zaid Ibrahim dalam ciapan beliau.

Siti Kasim dalam sebuah ciapan lain turut mengkritik mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah.

“Wahai Tun @chedetofficial, siapa yang membenarkan pindaan terhadap Perkara 121 ketika zaman 80-an dahulu yang kini dirampas oleh sesetengah golongan bagi memberi kuasa yang lebih kepada Mahkamah Syariah? Inilah asal-usul segala permasalahan kita sekarang. Kembali kepada Perlembagaan Persekutuan kita yang asal,” ujar beliau.

Menurut laporan portal Malaysiakini baru-baru ini, mantan Perdana Menteri Malaysia tersebut telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak dalam ulasan beliau tentang cabaran mengasimilasikan pelbagai kaum di Malaysia, dimana beliau menggunakan budaya masyarakat Cina yang mengekalkan penggunaan chopstick sebagai contoh cabaran tersebut. - www.samudera.my

No comments:

Post a Comment