Wednesday, December 29, 2021

Apabila Hospital Lebih Menghargai Wang Dari Segalanya....

Jurutera dakwa perkhidmatan hospital swasta lambat faktor isteri maut
 JOHOR BAHRU: Seorang jurutera mendakwa kecuaian perkhidmatan van ambulans sebuah hospital swasta, di sini mengakibatkan isterinya yang berusia 40 tahun meninggal dunia dalam satu kejadian pada 15 Disember lalu.

Ng Chin Heng, 45, berkata, isterinya sebelum ini didiagnos menghidap kanser otak dan kanser paru-paru sejak Jun tahun lalu dan mendapatkan rawatan awal di Petaling Jaya, Selangor sebelum ini.

Katanya, pada hari kejadian, isterinya tiba-tiba muntah selepas makan malam kira-kira pukul 9 malam dan dia terus menghubungi jururawat peribadi memberitahu keadaan itu sebelum diminta menghubungi pihak hospital swasta untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans.

“Dalam panggilan berkenaan, operator meminta butiran peribadi saya dan isteri termasuk penyakit dihidapnya dan juga alamat kediaman kami. Operator itu beberapa kali memberitahu cas ambulans adalah sebanyak RM650 dan bertanya sama ada saya mampu membayarnya. Saya beritahu saya akan bayar asalkan isteri dapat dibawa ke hospital dengan segera.

“Tetapi operator hospital itu sekali lagi bertanyakan sama ada saya mampu membayar cas tersebut, ketika itu saya sedikit kesal dan marah kerana perkara itu saya sudah jawab sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Tambah Chin Heng, setelah menunggu kira-kira 10 minit, dia menerima satu lagi panggilan telefon daripada pemandu ambulans yang memaklumkan mereka sedang bersiap untuk bertolak dan meminta saya menyediakan wang RM650.

“Ketika itu saya berasa sangat sedih kerana mereka bukan sahaja kerap membangkitkan soal wang bayaran ambulans tetapi mereka juga sangat lambat bertindak ketika isteri saya sudah semakin nazak.

“Beberapa minit selepas panggilan itu, saya dapati isteri saya sudah tidak lagi bernafas dan saya terus menghubungi hospital berkenaan untuk membatalkan perkhidmatan ambulans berkenaan.

“Saya sangat kecewa dengan perkhidmatan yang disediakan pihak hospital swasta berkenaan dan berharap mereka akan melakukan penambahbaikan agar kejadian itu tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri sebelum pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir ke rumahnya mengesahkan bahawa isterinya sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Ang Tun Chek berkata, pihaknya berharap hospital swasta berkenaan akan lebih peka terhadap mutu perkhidmatan diberi kakitangan mereka agar kejadian sama tidak menimpa individu lain.

Dalam pada itu, pihak pengurusan hospital yang dihubungi memaklumkan mereka maklum akan kejadian tersebut dan akan melakukan siasatan berhubung perkara itu. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment