Wednesday, December 1, 2021

Bila Politik Melayu Ada ‘Nas, Dalilnya…’

ITU pentingnya sejarah. Ada faktanya, iktibar dan pengajaran.

Pada 13 Julai 2015 bila mana bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu diterajui kumpulan progresif Pas, bukan main marah lagi kepemimpinan Pas.

Lantas keluar amaran akan hantar surat kepada 22 ahli mereka yang menyertai parti baharu dinamakan Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

Amanah lepas itu sertai Pakatan Harapan (PH) dan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Mengejutkan, Amanah menang 11 kerusi, cuma kurang dua kerusi dari 13 diperoleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Itu kisah Amanah yang sama sekali berbeza dengan puak lompat parti yang meninggalkan UMNO. Amat kecewa akar umbi UMNO apabila ‘pelompat’ ini yang menang PRU14, semuanya atas tiket UMNO, kos belanja UMNO biayai kempen mereka, bahkan undipun diraih daripada ahli dan penyokong UMNO, semuanya hasil masyhul dari UMNO.

Kembali pada sejarah lagi. Pada PRU 9 Mei 2018 itu, Barisan Nasional yang memenangi 79 kerusi, hanya tinggal 41 kerusi selepas wakil rakyatnya lompat ke parti lain.

Pas boleh bayangkan tragedi melanda UMNO ini terkena batang hidung Pas. Pas cuma bernasib baik sahaja kerana Mat Sabu dan orangnya gentleman tinggalkan Pas, biarpun belum ketahuan untung nasib mereka dalam politik, waima PRU14.

Sebab itu sebilangan pemimpin Pas jangan hipokrit. Kalau benar-benar berjuang untuk kepentingan Islam dan orang Melayu, jujur seperti mana yang dikata, ajaklah semua parti yang berasaskan Melayu termasuk Amanah sekali sertai gabungan politik besar berdepan dengan saingan politik mereka dalam PRU15.

Tetapi kalau ikut kenyataan Mursyidul Am parti itu pada 29 Februari 2020 sebelum esoknya Presiden Bersatu angkat sumpah PM8, Pas sedia terima mana-mana pimpinan, ahli parlimen atau ahli biasa dari Amanah untuk kembali kepangkuan parti itu bagi membentuk gabungan baharu. Tidak ada kenyataan sedia terima Amanah sebagai gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) diketuai PM8.

Pas bersungguh-sungguh mahu satukan UMNO dan Bersatu hinggakan tak sensitif dengan sejarah hitam UMNO yang banyak hilang kerusi Parlimen dan DUN akibat dicuri Bersatu. Sanggupkah pula Pas suruh Bersatu terima Amanah sebagai gabungannya?

Sejarah sekali lagi singgah, seperti mana berlaku dalam peralihan kuasa di Perak sebelum ini. Kita maklum gelagat ADUN Pas dengan Istana waktu itu.

Kejujuran dalam hidup penting. Di Melaka, Muafakat Nasional dipraktikkan ketua menterinya dengan beri ruang kepada pemimpin Pas negeri dalam pentadbiran, tetapi di Kelantan, Terengganu dan Kedah ada tak?

Pas sinonim dengan watak ‘pendamai’ antara dua parti Melayu dalam usaha mewujudkan kerjasama ke arah PRU15.
Berebut niche pengundi yang sama serta sejarah singkat Bersatu yang merupakan serpihan UMNO, menjadikan kerjasama dengan dua parti itu bagi Pas ‘lebih senang diucap dari dibuat’.

Di luar sana orang Melayu termasuk akar umbi UMNO, bahkan orang Pas sendiri dok perhati ‘tindak tanduk’ sebilangan pemimpin parti tertentu.

Bimbang orang Melayu – akan ada sahaja ‘nas dan dalil’ dalam lakukan sesuatu.

Oleh: Zulkifli Jalil
Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment