Saturday, December 11, 2021

Uniknya Berbahasa Inggeris Sesama Kita

APABILA kita berada di Singapura, lazimnya lebih selesa dan memudahkan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana rata-rata penduduknya tidak kira bangsa bertutur dalam bahasa itu. Begitu jua bila berada di Bangkok, lebih sesuai berbahasa Inggeris bukan kerana ia bahasa pertuturan lazim seperti di Singapura, tetapi untuk memudahkan interaksi kerana rata-rata warga Bangkok bertutur dalam bahasa Siam.

Tetapi lain ceritanya bila berada di Jakarta atau Bandar Seri Begawan, bahasa Melayu dianggap bahasa pertuturan dan agak janggal jika kita berinteraksi dalam bahasa Inggeris dengan penduduk kedua-dua ibu kota tersebut.

Tetapi Kuala Lumpur agak unik sedikit kerana berkemungkinan lingua franca adalah bahasa Inggeris. Walaupun bahasa ibundanya adalah bahasa Melayu tetapi nampak gayanya warga kota ini lebih gemar berbahasa Inggeris.

Lazimnya bila warga kota Kuala Lumpur berlainan bangsa berkomunikasi, bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar. Malah kerap juga tercetus bahasa Inggeris lebih diutamakan bila warga kota yang sama bangsa berkomunikasi.

Bukan pelik jika mereka dalam kalangan bangsa Melayu, Cina dan India berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun sesama bangsa sendiri. Itulah uniknya Kuala Lumpur dan tidak keterlaluan jika diandaikan serupa senarionya untuk seluruh Malaysia.

Sebab itu jua beberapa hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur agensi kerajaan, swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilihat kurang berminat menggunakan bahasa Melayu dalam setiap aktiviti mereka. Tidak kira sama ada persidangan, mesyuarat, nama syarikat, nama projek mahupun jenama produk, bahasa Inggeris mendapat keutamaan.

Begitu jua apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucapannya menggunakan bahasa Melayu di pentas persidangan antarabangsa mengenai alam sekitar di Glasgow, Scotland baru-baru ini, ramai yang kagum. Ini kerana penggunaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa amat jarang sekali tercetus kecuali melibatkan pemimpin Indonesia.

Isunya bukan penggunaan bahasa Inggeris secara meluas di Malaysia tetapi bagaimana terpinggirnya bahasa Melayu. Tidak dinafikan bahasa Inggeris adalah penting sama ada sebagai sumber mendapat maklumat dan sebagai bahasa interaksi di peringkat antarabangsa.

Sebab itu jua dalam kajian mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan negara yang bahasa ibundanya bukan Inggeris, Malaysia berada di tangga 28 secara global dan tiga teratas hanya di belakang Singapura dan Filipina di Asia.

Tetapi pada waktu sama, bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan dan menjadi lebih menakutkan apabila ada rakyat negara ini langsung tidak fasih berbahasa Melayu walaupun telah menetap puluhan tahun atau dilahirkan di Malaysia. Walaupun bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi oleh Perlembagaan Persekutuan, tapi masih ramai yang ambil endah tak endah tentang penggunaannya.

Umpamanya Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa Melayu mestilah digunakan untuk maksud-maksud rasmi tetapi nampak gayanya kehendak ini tidak dituruti sepenuhnya. Malah Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah memperkukuhkan martabat bahasa Melayu.

PERANCIS
Ambil contoh wilayah Quebec, Kanada yang mana bahasa Perancis adalah bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam setiap urusan kerajaan, perniagaan dan mahkamah dan peruntukan ini dilindungi oleh perundangan. Malah iklan dan papan tanda seperti nama jalan juga mesti menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa utama.

Begitu jua dengan kanak-kanak daripada keluarga imigran dimestikan mendapat pendidikan di sekolah yang menggunakan Perancis sebagai bahasa perantara. Begitu ketat sekali Quebec menggunakan perundangan untuk mempertahankan bahasa Perancis sebagai bahasa ibunda mereka walaupun hanya 20 peratus rakyat Kanada bertutur dalam bahasa Perancis berbanding 60 peratus berbahasa Inggeris.

Pada Mei lalu, satu rang undang-undang yang dikenali sebagai RUU 96 diperkenalkan di Dewan Undangan Quebec untuk mempertingkatkan dan mempertahan kedaulatan penggunaan bahasa Perancis. Tidak dinafikan jika seseorang memandu dari Toronto ketika memasuki wilayah Quebec, seolah-olah kita berada di Perancis dan bukannya Kanada. Begitu hebatnya kesan bahasa Perancis di Kanada dan bagaimana penduduk Quebec begitu bangga dengan bahasa ibunda mereka.

Seharusnya juga rakyat Malaysia berbangga dengan bahasa Melayu kerana dari segi global, ia dituturkan oleh lebih 200 juta pengguna dan kedudukannya di tangga kesepuluh di belakang bahasa Inggeris, Mandarin dan Hindi yang menduduki tiga tangga teratas dalam kalangan 7,000 jumlah bahasa yang dipertuturkan.

Tetapi terdapat sedikit kesangsian rakyat Malaysia mengenai kebanggaan berbahasa Melayu dalam negara sendiri, apatah lagi jika berada di luar negara. Berbeza dengan rakyat Indonesia, mereka tetap selesa berbahasa Melayu sesama mereka walaupun berada di negara asing.

Mungkin amat sukar untuk kita mencapai tahap kebanggaan berbahasa ibunda seperti penduduk Quebec atau rakyat Indonesia walaupun Malaysia telah merdeka lebih dari enam dekad lamanya. Apakah masih tidak cukup peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga perundangan Akta Bahasa Kebangsaan 1967? Ia tetap menjadi tanda tanya.

Sebenarnya Quebec dan Indonesia begitu bangga sekali dengan bahasa ibunda mereka bukan sangat kerana peruntukan perundangan tetapi lebih menjurus kepada semangat dan jati diri penduduk dan rakyat negara tersebut.

Oleh: Azmi Hassan

No comments:

Post a Comment