Thursday, December 16, 2021

Untuk Kesekian Kalinya, Jujurlah Sikit Pemimpin UMNO

Rakyat siang malam memikirkan bagaimana mahu berdepan masa depan yang semakin sulit. Jaminan pekerjaan dan ekonomi keluarga. Isu pendidikan anak-anak dan seribu macam persoalan kehidupan.

Sedangkan pemimpin bersilat menepis serangan politik. Mengelak gerak dan mengatur muslihat untuk terus berkuasa, walau tembolok sudah sendat dengan harta benda.

Rata-rata kita dipaksa untuk mempercayai bahawa UMNO-BN akan kembali berkuasa dengan kepimpinan jitu Zahid-Najib.

Untuk mengambil kesempatan momentum kejayaan di Melaka, Ismail Sabri didesak bubar Parlimen hujung Disember ini. Dia kena akur kerana ini adalah kehendak akar umbi.

Inilah masanya Zahid boleh tunjuk kuasa siapa bos. Mereka yang kritik Zahid dan Najib akan terima hukumannya apabila nama mereka tidak ada dalam senarai calon PRU15.

Ramai menteri UMNO dalam kabinet PN yang tidak sealiran dengan Zahid. Tunggulah nasib masing-masing.

Masa depan menteri-menteri UMNO dalam politik tidak semestinya berakhir kalau mereka dipinggirkan. Ada banyak pilihan lain. Banyak boleh bertanding tetapi bukan pakai lambang dacinglah.

Cuma agak pahit untuk ditelan.Tetapi ini baru betul perjuangan. Ada selekoh tajam dan ada yang boleh membawa maut.

Tetapi tidak hairan akan ada yang berubah haluan. Cium tangan mohon restu. Mahu lupakan perbuatan silam. Tiba-tiba jadi pendokong setia yang geli tekak mendengarnya.

Adab orang Melayu selalunya tidak menegur perbuatan salah orang lain secara berdepan. Nanti takut digelar biadap. Yang diamalkan ialah cakap di belakang. Yang diistilahkan sebagai mengata.

Mengata boleh sampai ke mengumpat. Silap-silap jadi fitnah. Lebih baik ditegur secara bersemuka walaupun ada yang tidak mahu menerimanya.

Akibat cakap berdepanlah Muhyiddin tersingkir dari parti. Yang lain mahu terus berkuasa terpaksalah terus bercakap dibelakang. Mereka terus dengan karakter split personality. Kalau berdepan tersenyum lebar, sesaat menoleh mencuih bibir sampai ke lantai.

Menteri-menteri UMNO dalam kerajaan PN perlu berhenti berlakon. Nyatakan pendirian masing- masing. Jika anda betul-betul menentang kemungkaran nyatakan ketegasan anda.

Jangan asyik bersembunyi di sebalik kenyataan yang setengah masak. Janganlah disebabkan RM50 ribu sebulan maruah tergadai. Untuk kesekian kalinya, cubalah jujur sedikit. Besar sangatkah pengorbanan ini?

Oleh: Fuad Abdul Rahman

No comments:

Post a Comment