Tuesday, December 14, 2021

Kos Perubatan: Tak Mampu Jangan Pergi Swasta

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang kurang berkemampuan disaran tidak mendapatkan rawatan di hospital swasta susulan dakwaan kenaikan premium insurans.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, permintaan mendapatkan penurunan harga tidak akan berlaku sekiranya golongan kurang berkemampuan mahu mendapatkan rawatan di perkhidmatan kesihatan swasta berikutan kosnya yang sedia tinggi.

Kata beliau, pihaknya juga tidak menafikan kos perkhidmatan kesihatan kerajaan juga agak tinggi, namun perkhidmatan itu mendapat subsidi sekali gus menjadikan kosnya seperti rendah.

“Sudah tentu jika tak mampu, maka jangan pilih pergi (perkhidmatan kesihatan) swasta, malah penurunan harga tidak akan berlaku jika diminta kerana kosnya memang tinggi.

“(Jadi boleh pergi perkhidmatan kerajaan kerana) perkhidmatan kesihatan kerajaan juga agak bagus bahkan boleh dilihat dengan cara mereka menangani Covid-19, tetapi perbezaannya seseorang itu tidak perlu membayar tinggi (diberi subsidi).

“Ini kerana bajet perkhidmatan kesihatan yang diperuntukkan kerajaan setiap tahun juga meningkat kerana kos kesihatan yang mahal tahun ke tahun. Namun jika mahu yang selesa dan pantas, maka itu pilihan pesakit yang mungkin memerlukan kos yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Khamis lalu, ruangan Forum Utusan Malaysia menyiarkan dakwaan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader bahawa berlaku peningkatan aduan oleh pengguna mengenai premium insurans kesihatan mereka yang melambung tinggi dalam tempoh beberapa tahun lalu berpunca daripada peningkatan bayaran perubatan dikenakan oleh hospital swasta.

Katanya, Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2019 menyatakan analisis data tuntutan insurans antara 2013 hingga 2018 menunjukkan perkhidmatan dan bekalan hospital membentuk komponen terbesar kos tuntutan, iaitu lebih 50 peratus daripada bil perubatan.

Menurut Dr. Kuljit, kenaikan premium insurans adalah satu masalah yang kerap berlaku dari masa ke semasa selari berikutan kenaikan kos peralatan dan perubatan kesihatan.

Katanya, kos pada masa dahulu mungkin rendah disebabkan mata wang negara yang stabil dengan negara yang membekalkan peralatan dan perubatan kesihatan lain.

“Jika kita lihat mata wang 10 atau 20 tahun lalu agak berbeza dan apabila kita tidak ada industri peralatan serta perubatan dalam negara. Harga setiap alat serta ubat yang dibeli itu tentu meningkat dari masa ke semasa,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga melihat faktor kedua berikutan keperluan dari segi kepuasan pesakit, keselamatan pesakit dan keutamaan rawatan yang diberikan setanding dengan negara luar.

“Ini kerana teknologi terkini dan terbaru sudah tentu meloncatkan harga berbanding teknologi lama sedia ada.

“Apa pun, rakyat perlu menjaga kesihatan, seperti negara lain juga, keutamaan selalu diberi untuk menjaga kesihatan kerana apabila seseorang itu sakit. Maka ia memerlukan kos yang mahal,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment